Wala' itu adalah Prinsip Asas Jemaah

Lama sudah tiada membuat post dalam blog ini. Acapkali juga digagahkan untuk menulis, tetapi acapkali juga banyak unsur yang mengganggu. Akhirnya, dibiarkan sepi sekejap supaya mendapat ketenangan. Ribut besar sedang melanda minda dan hati kita di sini dan sana, sampai kadang-kadang kita hilang pertimbangan lupa kepada asas dan prinsip.

Betul juga kekadang hidangan blog sini dan sana membuat kita bingung. Kadang-kadang juga membuat kita percaya kepada kebathilan dan kadang-kadang juga ia menjauhkan peribadi dan prinsip asal kita. Sampai terbawa-bawa kepada keputusan-keputusan yang menurut hawa nafsu semata dengan mendahulukan akal dan menidakkan wahyu. Ia cukup bahaya sebenarnya!

Tak percaya bagaimana sebahagian kita boleh menelan isu Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS ingin membawa parti ke pangkuan UMNO. Kalau logik mudah pun kita boleh katakan bahawa Presiden lah barangkali orang yang terakhir akan berbuat demikian kalaupun seantero ahli PAS bersetuju dengan langkah itu. Tetapi kerana kita dihidangkan dengan logika tanpa batasan ditambah dengan asam pedas fitnah dan kekaburan, sebahagian kita mungkin menerima logik ini untuk digagaskan sebagai fakta.

Sungguh malang kerana ia ditelan semahunya oleh mungkin lebih sebahagian perwakilan kalaupun kurang sedikit daripada itu. Lantas, ia mudah dikambus dengan polemik ulama' dan profesional yang sebenarnya hanyalah wayang media yang tak tahu asal puncanya diwujudkan atas dasar sengaja ataupun sekadar telahan. Itupun juga disambut berulang-ulang juga macam menimang bulu rotan, makin ditimang makin rancaklah permainan. Sekali terjatuh, dilambung lagi dan terus ditimang sampai berulang-ulang macam tidak jemu akhirnya keletihan.

Sewajarnya, kita sudah dewasa dengan sepak terajang itu. Kita orang yang ada prinsip, ada akhlak, ada peribadi. Kalau datang apapun berita, hebat dan lazat mana pun berita itu tetapi dari sumber yang boleh dipertikaikan timbanglah dengan ayat quran 'fatabayyanu'. Itu arahan wajib! Janganlah mangsakan pimpinan kita, bahkan pimpinan tertinggi kita dengan telahan yang tiada asas. Malunya kita nanti yang paling gerun besarnya dosa kita itu!

Tak payahlah diulang-ulang polemik kerajaan perpaduan kalau kita tidak faham isi kandungnya. Fahamkan dahulu, carilah nasnya dahulu, sediakan faktanya dahulu baru kita berhujah. Hujah kita pun mestilah berasaskan ingin memperbaiki bukan menghentam individu yang telah kita angkat jadi pimpinan kita.

Kita memilih pemimpin kerana kita ingin memberi wala' kepadanya atas urusan yang tidak mampu kita galas. Kita beri sepenuh kepercayaan kerana kita memilih pemimpin atas dasar Iman dan Taqwanya. Bukan atas dasar lain! Kerana kita percaya dan yakin pemimpin kita memiliki Iman dan Taqwa itu, lantas kita mengharapkan mereka membawa kita menunjuk jalan yang benar dengan sifatnya itu.

Tiba-tiba ada orang lain pula yang menghantui kita dan meracuni kita sampai seolah-olah pemimpin yang kita pilih itu seperti tidak cukup taqwanya sampai sanggup untuk kita memberi wala' kepada orang yang sebenarnya kita lebih tidak pasti. Jangan bermain dengan wala' kerana orang yang kita beri wala' itu akan mengheret sekali dengan kita ke mana mereka akan pergi. Syurgakah atau nerakakah?

Kalau anda yakin anda memberi wala' kepada bakal ahli syurga, dan menidakkan taqwa yang dimiliki oleh seorang yang dipanggil Tok Guru. Pergilah dengan keyakinan anda itu, keyakinan yang disandarkan kepada andaian semata-mata kerana nafsu geram dan buruk sangka anda kepada pemimpin yang selama ini anda yakini taqwanya.

Jika kita mahu dihormati pandangan kita, berilah pandangan dengan cara yang terhormat. Terhormat itu mesti dengan akhlak dan adab. Apatah lagi akhlak dan adab itu sangat besar nilai prinsip dan pahalanya dalam jemaah kita. Tidak mengapa jika kita berlainan pendapat dengan sesiapa pun hatta kepada presiden juga, tetapi sampaikanlah ia dengan penuh penghormatan bahawa kita ini lemah dan sentiasa ingin memberi wala' kepada pemimpin kita.

Semoga adab dan prinsip berjemaah ini dapat kita semua pelihara kerana ia akan menyuburkan lagi gerakan kita. Ia akan membajakan benih ukhuwah dan mahabbah sampai kita takkan terkesan dengan sewenang-wenangnya dengan tohmah media, blog dan kata-kata orang yang tiada asasnya itu.

;;