Terlalu sukar untuk meluangkan masa menjenguk ke cawangan-cawangan sedangkan tinggi benar harapan mereka supaya pemimpin dapat turun ke cawangan. Tak payah lah pemimpin pusat, cukup sekadar pemimpin kawasan ataupun dewan-dewan di peringkat kawasan sahaja.

Maklumlah masing-masing pun sudah banyak tugas dan tanggungjawab. Saban hari ada sahaja jemputan program mesra rakyat yang perlu dihadiri. Dari program surau, masjid taman perumahan, kampung, rumah ibadat sampailah program bersama Menteri Besar dan Sultan perlu disantuni dengan baik. Itu belum lagi dikira mesyuarat peringkat kerajaan dan parti, begitu juga perkara mengejut seperti kematian dan bencana!

Sampai terlupa rupanya cawangan sendiri sudah lama tidak disantuni, sampai setahun! Rupa-rupanya fitrah manusia itu sama, semakin kita jauh, semakin banyaklah ruang prejudis itu timbul! Syaitan bertandang jua ke hati-hati kita. Dengki dan buruk sangka mula bersarang. Cerita kedai kopi jadi bahan hidangan ala usrah. Mana yang fitnah mana yang fakta ditelan semahunya.

Akhirnya, ahli sendiri memfitnah pemimpinnya atau sekurang-kurangnya mengiyakan fitnah itu. Apabila fitnah itu berleluasa, pemimpin juga kadang-kadang jadi lupa dan hilang punca. Fitnah dibalas dengan hujjah, hujjah dilatari dengan amarah, amarah disogok dengan kedudukan. Ahli dihukum oleh pemimpin yang berkedudukan dan amarah dengan hujjah.

Ketenangan dalam jemaah jadi kucar. Akhlak dan ukhuwah dipendam atas nama menegakkan kebenaran. Kemaafan tidak kedengaran, merendah diri sudah hilang. Syaitan dan sekutunya girang tidak terkata. Jerangkap sudah mengena!

Justeru berterus-teranglah wahai sahabat, kalau benar kita julang, kalau ada yang salah kita betulkan, yang di atas sangat perlu yang di bawah, yang di bawah kamulah yang menaikkan yang di atas!. Kita punya masa untuk mengkoreksi! Jangan lagi kita bercakap di belakang! Tiada usaha membetulkan kesilapan pemimpin kita. Silap kita kerana kita mendengar bisikan syaitan! Mereka pembantu setia musuh kita dan musuh Islam.

Kita perjuangkan Islam habis-habisan dengan cara dan akhlak Islam. Kita hikmah dan tegas dengan cara Nabi SAW. Kalau ada orang yang mahu memporak-perandakan kita ayuh kita satukan doa-doa kita supaya dihancurkan orang ini hatta mereka di kalangan adik-beradik kita sekalipun! Kerana kecintaan kita adalah untuk Islam, Allah dan Rasulnya.

;;