Tak sangka betul itu yang bakal saya temui. Perjalanan saya ke Taiping bukanlah dirancang sangat kerana banyak program-program di Meru dan sekitarnya pun tak kurang juga walaupun tiada pilihanraya kecil di situ. Tapi kerana ingin melihat apa yang berlaku di Bukit Gantang pasca pilihanraya kecil, dihalakan juga motokar ke sana.

Oleh kerana, saya sampai pun agak lewat sekitar jam 2 pagi, tidak banyak aktiviti yang berlaku di Bukit Gantang sekitar Changkat Jering di mana tempat 'exit' dari lebuhraya Pantang Lalu Undur Selalu / PLUS. Seperti lazim di mana-mana pilihanraya di Malaysia ini, kibaran bendera lambang BN tetaplah menjadi penyemak utama di sekitar kawasan pilihanraya.

Setelah menyegarkan diri dengan secawan kopi, kami mencari-cari tempat untuk berehat sementara menunggu subuh menjelang. Kami memilih untuk meletakkan kenderaan berdekatan sebuah masjid di bandar Taiping, mengambil kira faktor ia terletak di bandar dan mungkin kurang tumpuan kerana berada di luar kawasan pilihanraya berdasarkan tiada bendera parti dicacakkan di situ. Mudah untuk kami solat subuh nanti dan membersihkan diri.

Terdapat juga jemaah lain di masjid tersebut yang datang dari luar kawasan untuk tujuan pilihanraya. Kami berehat sekejap sambil menunggu waktu fajar. Kami dikejutkan dengan laungan azan subuh beberapa ketika. Nyata agak nyenyak tidur kami. Suasana sudah berubah, jemaah semakin ramai dan berpusu-pusu. Untuk mengambil wudhuk sahaja sudah menunggu 15 minit. Solat jemaah dibuat beberapa kali kerana ruang solat tidak mencukupi. Malah bekalan air masjid tersebut juga kehabisan!

Rupa-rupanya percaturan kami tersilap kerana masjid itulah yang paling dekat dengan tempat penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Orang ramai, penyokong PAS segera bergegas berarak dengan pakaian dan bendera masing-masing walaupun waktu masih awal dan gelap lagi. Tetapi penyokong PAS tidak sendiri kerana diiringi pasukan Polis dan FRU yang entah berapa trak berpusu-pusu seperti akan berlaku kekacauan dahsyat di Taiping.

Kami menyusur arus manusia yang ramai itu kerana kami pun tidak tahu arah dituju. Ketika itu seakan-akan bandar Taiping sudah ditawan olah pasukan orang berbaju hijau. Mereka datang dari setiap penjuru, sampailah di kawasan berbukit di mana orang ramai, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul dan bersorak-sorai seperti baru menang perang! Di situlah, di Dewan Majlis Perbandaran Taiping akan diadakan penamaan calon untuk pilihanraya ini.

Akan tetapi, agak menghairankan kerana tiada penyokong lawan di sekitarnya. Langsung tidak ada, bendera BN bahkan orang-orang BN pun tiada, yang ada hanya polis dan FRU. Tersilap tempat kah kami? Oleh kerana, sudah terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat di sini ditambah dengan kehadiran para pemimpin bahkan calon juga melalui kawasan berkumpul ini, kami yakin penyokong-penyokong BN yang tiada di situ.

Semakin ramai penyokong calon PAS yang hadir sampai penuh ruang yang dikhaskan sehingga orang ramai terpaksa menawan bukit-bukit di belakang mereka, itupun masih tidak mencukupi. Sehinggalah kemunculan penyokong-penyokong BN yang mula berarak masuk memenuhi tempat kumpul mereka yang tidak penuh pun, para penyokong PAS masih tidak putus berarak memenuhi kawasan mereka.

Sorak-sorai penuh mesej dan sindir, nyata menggamatkan. Teriakan seperti RASUAH, RASUAH, RASUAH... ALTANTUYA, ALTANTUYA, ALTANTUYA.. nyanyian, zikir dan selawat bergema tidak sudah-sudah. Ombak manusia juga dibentuk dari orang ramai yang memenuhi lereng bukit seperti menyambut pasukan bola sepak. Perhimpunan hari ini cukup mengujakan dan paling meriah! Paling kurang 20,000 orang di situ.

Namun, yang menggemparkan ialah penyokong-penyokong BN yang tenggelam dek kemeriahan penyokong PR. Kakak-makcik berselendang merah tak kelihatan, adik berskaf merah jambu juga entah ke mana, apalagi abang-pakcik yang berbaju biru itu. Mereka sudah tenggelam bahkan sudah jadi spesis terancam di Taiping. Boleh dimasukkan muzium ataupun zoo saja kerana jumlah mereka tak sampai pun 1/10 dari jumlah yang hadir.

Apa pun, kerja kuat penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tetap dituntut di Bukit Gantang. Gambaran sedikitnya penyokong BN ketika hari penamaan calon tidak boleh menjadikan PAS selesa sehinggalah pengumuman kemenangan PAS dengan majoriti berganda di Bukit Gantang nanti.

Kahwin Bukan Penghalang Perjuangan


SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA KETUA PEMUDA PAS JYSU
SDR IKHMAL DAN PASANGANNYA

Alam perkahwinan merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh setiap syabab. Hidup berkeluarga merupakan salah satu anugerah Allah swt kepada hambaNya. Manusia akan merasa dirinya bahagia bersama pasangan hidupnya apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak yang menjadi qurrata'ain.

Namun tidak dinafikan, sebilangan syabab merasa bimbang dengan perkahwinan. Bimbang perkahwinan akan menjadi penghalang untuk aktif berjuang. Fenomena ini memang berlaku, walaupun bukanlah semua syabab begitu. Bahkan dimomokkan kepada syabab-syabab yang belum berrumahtangga.. 'alah kau belum kahwin, bolehlah..'

Sebenarnya, bagi sesiapa yang inginkan alasan untuk lari dari perjuangan, dia tak perlu menunggu selepas berkahwin. Sebaliknya, jika seseorang yang menghayati perjuangan, dirinya akan mendapati perkahwinan adalah satu lagi sebab utama mengapa dia perlu aktif berjuang.

Hakikatnya, perjuangan menegakkan Islam memerlukan masa yang panjang. Rasulullah SAW telah meletakkan asas sifat perjuangan Islam begitu. Justeru, apabila kita memilih perjuangan Islam, kita telah meletakkan asas bahawa kejayaan dan hasil perjuangan kita itu kemungkinan besar kita tidak merasainya. Ia akan dirasai oleh generasi-generasi seterusnya.

Jadi, siapakah generasi-generasi seterusnya kalau bukan anak-anak kita? Anak-anak kita yang lahir dari perkahwinan yang suci itu. Adakah kita mahu anak-anak kita hidup dalam suasana masyarakat jahil ataupun dalam masayarakat yang cintakan Islam? Sebab itu, kita perlu menggembleng fikrah dan tenaga bersama pasangan kita itu untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

Syabab mesti berusaha menggembleng fikrah supaya pasangannya juga faham, hakikat perjuangan bukanlah untuk memenangkan Parti PAS dalam pilihanraya sahaja. Bahkan untuk membina masyarakat dan negara Islam yang dirahmati dan diredhai Allah swt. Bila kita berjaya menyemai fikrah itu dalam keluarga kita nescaya masing-masing akan berlapang dada dan ghairah untuk aktif berjuang!

InsyaAllah, kemanisan berumahtangga akan lebih dirasai kelazatannya dengan nikmat yang berpanjangan kerana merasa yakin diri telah menggalas tanggungjawab bukan hanya kepada tubuh isteri dan anak-anak sahaja bahkan kepada Allah swt dan ummah seluruhnya. Jika tidak, ianya tidak lebih dari merasa nikmat yang sedikit dan letih yang berpanjangan serta perasaan bersalah terutama apabila melihat ummah lemah dengan maksiat dan gejala sosial yang tidak berkesudahan..

Selamat Berjuang di Bukit Gantang

SMS terkini dari Setiausaha PAS Kawasan Kapar mengatakan ' Jadual Bertugas PAS Kapar di Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang: Tempat bertugas UPU Pasir Hitam DUN Trong pada 29 - 31 Mac dan 7 April (Pembuangan undi). Ketua Petugas PAS Kapar ialah YB Dr Hj Abd Rani bin Osman (YDP PAS Kapar) 019-3422151. Urusetia bertugas Tn Hj Rahmat 019-2490860.

SMS terdahulu daripada Sdr Aszmi Anuar - Pengarah Unit Amal Selangor mengatakan 'Kapar ditugaskan di Pulau Pasir Hitam, 45 minit perjalanan dengan bot dari Kuala Terong. Beliau meminta supaya membawa bersama risalah-risalah berbahasa cina di samping pasukan perubatan, peralatan memasak dan jaket keselamatan.' Maklumat juga diterima pengundi di pulau tersebut sekitar 300 orang dan PAS tewas di sana sebelum ini dengan 50 majoriti.

Ketua Pemuda PAS Kapar ditugaskan untuk mengendalikan rombongan Kelab Penyokong PAS (Kaum Cina dan India) ke Bukit Gantang untuk tujuan kempen dijangka pada 4 dan 5 April. Diucapkan Selamat Berjuang untuk semua!!

UMNO yang Semakin Buta


Di saat rakyat semakin celik untuk menilai keburukan UMNO, di saat itu jugalah ahli UMNO sangat buta untuk menilai diri mereka. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai untuk dipadankan dengan suasana politik semasa.

Untuk apa digantung permit Harakah dan Suara Keadilan sampai saat ini pun tiada siapa yang pasti. Siapa pun pasti boleh meneka reaksi umum kepada perkara ini ialah kemarahan dan rasa tidak puashati pasti meluap-luap bukan sahaja di kalangan pembaca akhbar-akhbar itu, bahkan yang tidak membacanya juga!

Menyekat maklumat pada zaman IT ini ibarat menutup bangkai gajah dengan nyiru. Semua orang boleh tahu walau dari jarak berbatu-batu. Bahkan keputusan nekad Suara Keadilan untuk terbit seperti biasa pasti bakal disambut seperti goreng pisang panas yang baru siap dihidang dengan secawan kopi pekat ketika waktu hujan lebat baru reda.

Begitulah tidak belajarnya UMNO/BN dari kesilapan-kesilapan mereka. Adakah mereka terlalu tolol untuk memahami itu semua atau mereka terlalu buta untuk melihat apa yang di depan mata?

Nah, berita terkini Pemuda UMNO sudah dapat ketua yang baru! Ketua baru mereka adalah orang yang didapati bersalah politik wang/RASUAH, tetapi dibebaskan. Sayap sebuah parti yang memerintah negara rela berketuakan seorang kaki rasuah! Kemudian mencerca-cerca orang lain adalah petualang? Tahniah Pemuda UMNO, tahniah Khairy Jamaludin.

Siapa yang lebih petualang kalau bukan kaki rasuah? Susah sangat ke untuk faham itu? Kenapa terlalu buta untuk memilih orang lain yang sekurang-kurangnya tidak disabitkan sebagai kaki rasuah? Kalau sayap pun sudah bergeluput dengan rasuah, apalah yang diharap badan?

Semakin jelas, UMNO sudah tidak boleh diharapkan dan diselamatkan lagi. Sudah sampai ketikanya Pemuda PAS segera bangkit untuk menggantikan ruang yang bakal kosong sekejap lagi. Asahlah minda, asahlah kepimpinan, masyarakat sedang menunggu kita. Waktunya sudah sangat hampir, ibarat fajar sadiq menjelang subuh.

Sangat menarik jika kita analisa kenyataan-kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden kita. Bukan sekali kenyataan-kenyataan mereka mencabar minda semua orang! Ya, semua orang termasuklah ahli dan pemimpin PAS tak terkecuali wartawan media dan lebih-lebih lagi pemimpin lawan!!

Biasanya, cerita baru akan dicipta dengan kenyataan mereka yang cukup mendebarkan hati terutama ahli dan pemimpin PAS semua peringkat. Ia akan kelihatan sangat negatif, provokatif dan mendedahkan peluru-peluru media sesumpah BN untuk dimuntahkan kepada PAS.

Dari dulu lagi memang begitu. Memang sukar untuk menjawab pada permulaan isu itu ditimbulkan! Isu 'Barua', 'Tuhan Samseng' dan terkini isu 'Kerajaan Perpaduan'. Tetapi lumrahnya, isu ini akan diperdebatkan di sana-sini, dalam ceramah, dalam kuliah, dalam email, dalam blog, akhirnya ia akan jadi lumat selumat-lumatnya sampai betul-betul difahami dan tak berani lagi pihak lawan untuk memainkan isu itu. Begitulah kesudahannya.

Karisma Tuan Guru kita memang begitu. Sebab itu orang hormat, orang sayang pada mereka. Orang yang suka marah-marah akan jadi malu sendiri akhirnya. Orang yang suka merendahkan dan meremehkan akhirnya orang itu jugalah yang akan menjulangnya.

Ketika, Parlimen Bukit Gantang diisytiharkan kosong, bukan sedikit suara yang meminta supaya Hj Ir Nizar dijadikan calon untuk ukur sejauhmana sokongan rakyat pada beliau dan Pakatan Rakyat. Tuan Guru Nik Aziz menolak atas alasan beliau Menteri Besar dengan penolakan yang bersungguh-sungguh, sampai semua orang yakin Hj Ir Nizar tidak akan dicalonkan untuk kerusi itu. Semua orang termasuklah BN/UMNO semua peringkat.

Sejak itu, Hj Ir Nizar cuma dijadikan bahan berita media kerana krisis di Perak, tidak lebih dari itu. Wajahnya kerap dalam media kerana berita-berita yang diciptanya. Orang ramai yang perihatin, cuba mencari berita sebenar dan memberi simpati pada beliau sebagai orang yang teraniaya.

Akhirnya, beliau dijulang sebagai calon Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang ketika UMNO dan media seluruhnya sibuk dengan Mesyuarat Agong mereka yang sarat isu dan rasuah itu. Hj Ir Nizar dibiarkan media tanpa berita-berita memburuk dan membunuh karektor beliau. Hj Ir Nizar telah terpahat wajahnya yang perlu diberi simpati di dalam sanubari rakyat.

Media UMNO/BN telah mensia-siakan masa yang panjang yang telah diberikan oleh SPR untuk membunuh karektor Hj Ir Nizar kerana tertipu dengan kenyataan Tn Guru Nik Aziz. Sebab itu ahli PAS semua jangan gelabah lah dengan Tuan Guru kita, sabar sedikit, nanti ada berita baik di penghujungnya. Tunggulah saja isu kerajaan perpaduan pula.

Satu Tahun Meniti Kematangan

SELAMAT MENYAMBUT SATU TAHUN
PEMERINTAHAN PAKATAN RAKYAT DI NEGERI SELANGOR


Sedar tak sedar sudah setahun Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di negeri Selangor dan beberapa negeri yang lain iaitu Pulau Pinang dan Kedah. Manakala Kelantan pula sudah jauh ke depan, namun Perak terumbang-ambing tidak ketentuan. Dalam tempoh itu, bukan sedikit pengalaman dan pengajaran telah dikutip di sepanjang perjalanan liku dan onak, pahit dan jerih suasana baru memerintah ini.

Umum mengetahui tragedi bersejarah di negeri Perak telah memahat kesan yang sangat mendalam di dalam lipatan sejarah negara. Ia sepatutnya menjadi iktibar untuk semua terutama pemimpin dan negarawan agar berjiwa besar dan memandang jauh ke hadapan.

Suasana politik negara tidak lagi seperti sebelum PRU 12, BN yang menerajui pemerintahan negara tidak lagi boleh dianggap kerajaan yang stabil kerana telah kehilangan 2/3 majoriti. Pakatan Rakyat pula tidak menjadi kerajaan yang kuat di negeri-negeri yang diperintahnya kerana situasi yang sama bahkan suasana baru memerintah itu menuntut banyak perkara rumit untuk diselesaikan yang bukan sedikit untuk dikorbankan.

Suasana PRU 13 akan datang pula masih tidak ketentuan lagi. Sedang suasana semasa semakin menuntut kepada kejituan kepimpinan Negara bagi memimpin rakyat menghadapi situasi yang kian sukar saban hari. Situasi kesan ekonomi global nampaknya semakin dirasai rakyat, sedang pemimpin Negara masih dibuai arus politik tak tentu sini dan sana.

Justeru apabila Tuan Guru Presiden telah melontarkan idea ‘unity government’ pasca Muktamar Sanawi PAS Pusat. Ramai yang sangsi dengan idea ini dan tidak kurang juga yang sinis dengannya walaupun belum mendapat keterangan lanjut. Bahkan media segera melaga-lagakan pandangan berbeza Tuan Guru Presiden dan Tok Guru Mursyidul Am.

Apa pun perkara ini perlu diperhalusi secara matang dan segar. Forum Muktamar Sanawi PAS Pusat adalah ruang yang paling tepat untuk para ahli bijaksana PAS untuk sisi idea ini untuk dilumatkan dan dalami maksud sebenarnya oleh semua.

Pemuda Kapar Perlu Mencorak Parti

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL
"Wahdah Pemangkin Khaira Ummah"

Kemeriahan mesyuarat agung sedang dirasai di sana-sini. Ketika ini cawangan-cawangan PAS di Kawasan Kapar sedang bermesyuarat agung sebelum Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Kawasan Kapar pada 22 Mac 2009 diikuti dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada 12 April 2009 dan diakhiri dengan PAS Kawasan Kapar pada 26 April 2009.

Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Namun, desas-desus pemilihan baru seperti tidak kedengaran sebagaimana tahun-tahun pemilihan yang lazim. Dalam PAS, ahli melalui cawangannya berhak mencalonkan siapa sahaja yang dirasakan layak sebagai pemimpin. Tiada istilah lobi-melobi atau menurut arahan pimpinan, dan harapnya begitulah selamanya.

Ahli dididik supaya menjadi matang untuk memilih pemimpin. Pemilihan bukan atas faktor populariti dan kedudukannya tetapi dipilih berdasarkan taqwa dan kepimpinannya. Begitulah keadaannya, walaupun selepas PAS memeperolehi kemenangan di Selangor melalui Pakatan Rakyat. Ahli dididik supaya memilih pemimpin berdasarkan merit jamaah dan merit Islam bukan bersandar pada faktor semasa.

Tidak semestinya kerana seseorang itu ada jawatan dalam kerajaan, maka dia perlu 'dimasukkan' dalam saf kepimpinan parti dan jamaah, tak kiralah sama ada seorang Ahli Parlimen, ADUN, EXCO atau Ahli Majlis sepatutnya ia tidak mempengaruhi ahli untuk membuat pencalonan dan pemilihan.

Ahli perlu sedar bahawa jawatan-jawatan tersebut hanya diperolehi oleh seseorang individu itu atas ihsan parti dan jamaah. Seorang YB hanya akan menjadi YB setelah parti dan jamaah memilihnya sebagai calon pilihanraya dan memenangi pilihanraya tersebut. Begitu jugalah yang lain-lainnya. Maka, bukan sahaja ahli bahkan semua individu yang telah memiliki jawatan ini juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh menjadikan alasan jawatan untuk menjadi pimpinan parti dan jamaah.

Justeru, ahli khususnya pemuda perlu matang membuat pemilihan. Ahli Majlis tak semestinya perlu kekal sebagai Ketua Pemuda. Sebaliknya, Ketua Pemuda boleh dilantik sebagai ahli majlis jika dipersetujui parti. Ahli Pemuda digalakkan untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang mempunyai kriteria layak sebagai Ketua Pemuda dan AJK nya.

Pencalonan ini penting bagi menggarap kekuatan parti. Muka-muka baru dan mempunyai kelayakan kadang-kadang tidak dilihat oleh pimpinan perlu segera ditonjolkan oleh cawangan-cawangan. Lebih-lebih lagi muka baru di kalangan Saf Pemuda. Bukanlah bermaksud yang sedia ada tidak layak dan perlu diganti, tetapi mencari pengganti yang lebih afdhal adalah satu keutamaan kerana ingin melihat parti dan jamaah menjadi lebih kuat. InsyaAllah

Satu perkara yang pihak kerajaan BN rumuskan bila menghadapi himpunan bantahan oleh rakyat ialah bertindak lebih keras! Apatah lagi himpunan raksasa. Begitulah yang dapat kita lihat dalam himpunan PPSMI pada Sabtu yang lalu.


Saya dan rakan-rakan hadir hanyalah dengan jangkaan untuk meramaikan acara sambil peluang untuk berjalan kaki di jalan utama di tengah-tengah ibukota yang biasanya sesak oleh kenderaan dan tiada siapa pun memilih untuk berjalan kaki di situ.

Setelah memilih untuk menaiki kenderaan awam daripada Stesen Bas Klang Sentral, tak terasa langsung tekanan sekatan jalan raya oleh polis cuma agak bimbang dengan hujan dan lewat ditinggalkan oleh kumpulan perarakan.

Sampainya di Central Market melihat ramai lagi anggota Unit Amal solat di surau sudah terasa bahang kejayaan himpunan ini walaupun tak sehebat Himpunan BERSIH. Selesai solat kami menuju Masjid Negara tempat tumpuan himpunan melalui susur Dayabumi. Keluar susur jalan itu sudah terlihat kumpulan perarakan terdiri dari mahasiswa lelaki dan perempuan penuh semangat. Kumpulan ini terus menuju Istana Negara kerana kumpulan dari Masjid Negara pun sudah berlepas ke sana.

Kami menelusuri Jalan Kinabalu menuju 'Federal Highway' dan mungkin ke Jalan Kg Attap untuk berhimpun di depan Istana Negara. Namun hembusan gas pemedih mata yang telah dilepaskan khabarnya di depan Istana Negara sudah cukup menyesakkan! Ketika ini sudah bercantum beberapa kumpulan yang entah dari mana tersekat di 'Federal Highway'.

Oleh kerana sekatan yang dibuat di depan Istana Negara, kumpulan di 'Fedaral Highway' hanya mundar-mandir di situ. Sekejap maju dan sekejap berundur semula setelah ditembak gas pemedih mata. Tetapi kumpulan yang berjumlah lebih 5000 orang ini tetap juga melakukan beberapa kali cubaan untuk bercantum dengan kumpulan Istana Negara, walaupun akhirnya diarahkan pulang semula ke Masjid Negara kerana memorandum telah berjaya diserahkan. Beberapa das tembakan gas sempat juga dilepaskan sebelum kami segera ke Masjid Negara.

Berjalan ke Masjid Negara terasa terharu dengan sikap-sikap peserta perarakan. Suasana mesra sambil bertukar-tukar ayat paling berbisa untuk Polis dan Pemimpin Negara dihiasi dengan gelak ketawa, terasa kegembiraan yang terus melupakan kepedihan gas yang telah dirasai sekejap tadi. Namun kegembiraan kami segera dirangsang oleh adegan semburan cecair dan tembakan gas sekali lagi betul-betul di hadapan Masjid Negara.

Setelah reda sekejap, terasa keinginan yang membuak-buak untuk merasai pula bisa semburan dan gas di sana pula. Kumpulan kami berjalan bersusun melintasi depan 'truck' FRU yang membuat semburan dan berkubu di dalam masjid. Baru sebahagian berjaya meloloskan diri ke dalam masjid semburan dan tembakan yang ditunggu-tunggu menerjah masuk ke halaman dan ruang masjid.

Kali ini lebih lagi jumlahnya sampai kiri dan kanan bahu saya dihujani tembakan dan terasa seperti lagak Keanu Reeve dalam Matrix! Setelah berlari mencari ruang untuk bernafas, baru sedar wanita dan kanak-kanak rupanya sama menderita di dalam masjid itu, terduduk dan bergelimpangan menangis merasai sedikit derita ala Ghaza diserang Yahudi.

Keadaan akhirnya reda, kesakitan yang dirasai beransur hilang. Keberanian peserta himpunan kembali menguasai. Berkumpul sekejap di dalam masjid dan di luarnya sambil berhadapan dengan 'truck' FRU yang tidak tahu bakal menyembur atau tidak. Setelah beberapa ketika berkumpul, bermesra bertemu kawan-kawan sekampung, kawan-kawan lama, bertanya khabar, merakam gambar dan bertukar pandangan, 'truck' FRU yang ganas itu beredar dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Barulah terasa haus dan lapar. Segera berkumpul dengan rakan-rakan untuk mencari habuan tekak dan perut pula...

Adegan terkini drama Perak semua sudah tahu bahkan seluruh dunia pun tahu. Sidang DUN paling bersejarah diadakan di bawah sepohon pokok seperti Raja Pasir Dua Butir bersemayam di atas takhtanya di bawah pokok. Itu dalam filem Allahyarham P.Ramlee Laksamana Do-Re-Mi.

Satu masa nanti peristiwa ini akan direkodkan di dalam buku teks pelajaran Sejarah anak-anak kita sebagai peristiwa penting. Itupun kalau buku sejarah itu masih ditulis dalam Bahasa Melayu. Manalah tahu kalau pelajaran Sejarah pun bakal menjadi seperti PPSMI. Maknanya pemerintah sedia ada kini akan kekal hingga zaman itu dan pelajaran Sejarah akan diinggeriskan maka tiadalah peristiwa sidang di bawah pokok dalam lipatan sejarah!

Oleh itu, hiruk pikuk ini perlu segera ditamatkan. Kalau tidak semua akan jadi celaru. Bayangkan nanti negeri Perak akan mempunyai menteri besar sebanyak 17 orang dalam tempoh sebelum pilihanraya umum berlangsung! Bagaimana mungkin dasar kerajaan negeri dapat dibentuk? Apakah jenis belanjawan yang akan dinikmati oleh rakyat Perak? Atau tiada langsung belanjawan?

Rakyat Perak akan jadi mangsa kerana ketamakan kuasa Menteri Fa-So-La yang merampas pemerintahan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan. Alasannya terlalu remeh hanya kerana tidak mendapat restu untuk mengahwini puteri baginda seperti hanya kerana sokongan ADUN yang berpaling tadah dan mempunyai kes rasuah di Mahkamah yang sedang dibicarakan.

Menteri Fa-So-La mempunyai kekebalan seperti kebalnya pemimpin BN dengan SPRM dan Mahkamah!. Namun Menteri Fa-So-La boleh dibunuh dengan buluh runcing dan ditikam di tapak kakinya! Laksamana Do-Re-Mi akan melaksanakan tugas ini. Dalam filem tersebut mereka berjaya kerana ia filem!

Laksamana DO-Re-Mi ini mungkin akan muncul dari dua bukit iaitu Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Seorang lagi mungkin dari Batang Ai. Mereka ini akan bawa bersama alat-alat ajaib dan buluh runcing iaitu suara rakyat yang keramat itu.

Lewat PRU-13, tiada siapa nafikan Himpunan BERSIH itu telah mencipta gelombang yang benar-benar menghempas tembok UMNO-BN sehingga musnah sebahagian besarnya termasuk kubu-kubu kuatnya seperti di Selangor.

Ketika berlaku Himpunan BERSIH itu bukan sedikit kecaman diterima oleh pimpinan Pakatan Rakyat (ketika itu Barisan Alternatif) yang cuba dikaitkan dengan isu keganasan, demonstrasi jalanan sehinggalah gelaran monyet kepada peserta-peserta BERSIH. Namun, itu semua sedikit pun tidak menyekat gelombang BERSIH.

Kemudian diteruskan pula dengan gelombang HINDRAF. Nasib himpunan HINDRAF lebih malang lagi sehingga pemimpinnya di'ISA'kan. Tindakan-tindakan agresif kerajaan hanya menyemarakkan gelombang rakyat sehinggalah kekalahan teruk BN di tempat-tempat tertentu.

Kini, gelombang baru pula sedang dicipta. Penciptaan gelombang ini nyata berbeza dari gelombang-gelombang terdahulu. Isunya berbeza, orangnya berbeza dan tanggapannya pun berbeza.

Gelombang ini sedang diketuai oleh MB Ir Nizar. Auranya sangat berbeza dari aura pemimpin yang memimpin himpunan-himpunan terdahulu. Gelombang ini dicipta sedikit demi sedikit, isunya digarap dari semasa ke semasa, kefahaman rakyat dibina lebih mendalam, kemuncaknya belum dapat dilihat. Tapi rakyat mengharapkan ia sangat hebat!

Mungkin gelombang inilah yang akan betul-betul meranapkan semua sisa BN yang ada. Mungkin gelombang inilah sebenarnya gelombang rakyat. Ia bukan dicipta sesiapa, bukan juga dirancang sesiapa. Ia adalah milikNya. Doa kita untuk kemenangan Islam.

;;