Penuh 'mesra dan kasih sayang'.. itulah ungkapan yang acapkali diucapkan oleh Pengerusi Tetap Mesyuarat Agung PAS Kapar, Cikgu Wahab. Ia juga sinonim dengan suasana yang berlaku di dalam mesyuarat agung kali ini. Kebiasaan mesyuarat agung dilalui dengan suasana 'panas' dan 'tegang' walaupun mesyuarat agung PIBG apatah lagi mesyuarat agung parti-parti politik, tetapi ia tidak berlaku dalam mesyuarat agung ini.

Walaupun jawatan kedua tertinggi iaitu Timbalan Yang Di-Pertua berlaku pertandingan, ia tidak langsung menggambarkan berlakunya perpecahan dan berpuak-puak dalam PAS Kapar. Bertambah manis, apabila jawatan Naib Yang Di-Pertua yang dijangka berlaku pertandingan sengit telah terjadi sebaliknya apabila calon Hj Shamsul Bahari memberi laluan kepada Ustaz Noornajhan untuk menyandang jawatan tersebut.
Begitu juga bagi jawatan Ketua Urusan Ulamak yang menyaksikan Ustaz Wan Hamidi Wan Mat menang tanpa bertanding apabila penyandangnya Ustaz Hj Ibrahim Hj Omar tidak mempertahankan jawatan tersebut. Sebaliknya beliau hanya sudi untuk dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa dan memenanginya sebagaimana kehendak perwakilan.

Sepanjang mesyuarat agung tersebut juga, para perwakilan begitu matang melontarkan idea cadangan dan kritikan sehingga disambut baik oleh semua yang hadir sama ada dari segi emosi dan fikiran. Tuan Hj Khusrin yang juga dicalonkan sebagai Timbalan YDP, nampaknya begitu senang melontarkan cadangan-cadangan bahkan menaruh keyakinan yang tinggi kepada ahli jawatankuasa yang ada dan yang akan dilantik untuk menggalas amanah parti.

Beliau mencadangkan kepada semua perwakilan agar menyerahkan perkara-perkara tertentu yang agak sensitif dan menyentuh strategi parti kepada ahli jawatankuasa untuk memikirkannya dan mencadangkan agar ia tidak dibahaskan panjang lebar di dalam mesyuarat agung ini. Beliau bimbang jika ia dibahaskan di dalam mesyuarat ini dan akan mempunyai keputusan yang perlu dilaksankan, ia akan memberi implikasi besar terhadap parti yang bukan sahaja membabitkan kawasan Kapar bahkan parti keseluruhannya.

Seorang lagi perwakilan iaitu Hj Rahmat yang telah berjaya menempatkan dirinya semula di dalam saf ahli jawatankuasa PAS Kapar, sering mengingatkan kepada para perwakilan tentang halatuju mesyuarat agung kali ini. Beliau yang juga 'orang lama' dalam PAS Kapar sering melontarkan idea-idea bernas dan berani supaya bukan sahaja menghidupkan suasana dalam mesyuarat agung tersebut bahkan juga memberi tauladan khususnya kepada generasi muda untuk berani bersuara.

Begitulah indahnya suasana kemesraan dan kasih sayang di dalam PAS Kapar. Semoga suasana ini akan terus dapat dipelihara. Ruang-ruang 'syuuz zhan' (buruk sangka) perlu dielakkan dan ditangani segera melalui tarbiyah, usrah, perjumpaan, mesyuarat dan sebagainya. Pemimpin perlu rajin mendampingi akar umbi dan begitu juga akar umbi perlu memahami dan bersama-sama kepimpinan. Insya Allah jemaah akan menjadi kuat atas dokongan semua ahli di semua peringkat.


Satu siri lawatan turun padang Ketua dan AJK DPPK sesi 2009/11 akan diadakan dalam tempoh terdekat ini. Antara objektif lawatan ini adalah untuk mendekatkan ukhuwwah antara kepimpinan peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan pemuda-pemuda PAS peringkat cawangan.

Siri program tersebut akan diadakan pada tarikh dan tempat-tempat seperti berikut:-

1- DUN Selat Klang akan diadakan di Balai Kg Sg Udang pada 22 April 2009 (Rabu) Jam 9.30 malam. Kordinator program di DUN ini ialah Ustaz Mohd Yusri selaku Timbalan Ketua DPPK 09/11.

2- DUN Sg Pinang pula akan diadakan pada 24 April 2009 (Jumaat) jam 9.30 malam di sebuah restoran di Teluk Kapas. Kordinator program di sini ialah Ustaz Mohd Fikri Hj Bostammi Al-Hafiz selaku AJK DPPK 09/11.

3- DUN Meru akan diadakan di Pusat Khidmat DUN Meru pada 27 April 2009 (Isnin) jam 9.30 malam. Kordinator untuk DUN Meru pula ialah Ustaz Mohd Farid Zainal selaku Naib Ketua DPPK 09/11.

4- DUN Sementa pula akan diadakan pada 28 April 2009 (Selasa) jam 9.30 malam. Kordinator program di sini ialah Sdr Ir Hasrul yang juga Setiausaha DPPK 09/11.

Perjumpaan dalam lawatan ini akan diisi dengan sesi ramah mesra iaitu jamuan makan selain sesi taaruf terutamanya di kalangan ketua-ketua pemuda cawangan yang baru dilantik. Ketua-ketua pemuda cawangan juga akan diminta untuk mencadangkan seorang wakil DUN yang bakal dilantik sebagai AJK DPPK 09/11.

Melalui cadangan mereka ini diharapkan wakil yang dicadangkan nanti dapat menjalankan amanah terutamanya menghubungkan DPPK dengan pemuda-pemuda cawangan. Wakil ini akan bertindak sebagai 'orang tengah' yang akan melancarkan proses penyampaian dan penyebaran maklumat antara pemuda cawangan dan DPPK secara dua hala.

Selain itu, terdapat pengisian-pengisian lain dan arahan-arahan yang bakal diterima oleh pemuda-pemuda cawangan untuk dilaksanakan. Walaupun program ini adalah acara santai, namun diharapkan ia dapat memberikan impak yang baik dari segi dalaman DPPK itu sendiri.

Tahun Sukar yang Mendewasakan...


Tengahari tadi selepas bermesyuarat berkenaan perpindahan operasi bas ke Klang Sentral buat ke sekian kalinya, saya bersama rakan-rakan ahli majlis iaitu Hj Termizi, Hj Razali dan Azmizam menerima pelawaan Hj Ismail untuk makan tengahari di tempat pilihan beliau. Tanpa disangka-sangka kenderaan Hj Ismail yang kami naiki, menerima kecelakaan dihempas motorsikal yang datang dari arah bertentangan dengan lajunya memotong dua kenderaan di selekoh dengan garisan berkembar! Pemandunya yang tercampak sehingga ke belakang kenderaan kami meraung kesakitan. Walaupun tiada pendarahan berlaku, kereta ambulan dipanggil untuk keselamatan dan mudah-mudahan penunggang itu tidak mengalami kecederaan dalaman yang serius!

Itu adalah cerita yang berlaku pada hari ini, setelah pada sebelah paginya dalam mesyuarat bersama Yang Berhormat dan Ahli-ahli majlis telah berjaya mengumpulkan suara majoriti untuk satu keputusan mantap berkenaan perpindahan operasi bas ke Klang Sentral. Sebenarnya, tiada apa-apa keputusan baru yang dicapai, hanya mungkin kalau boleh dikatakan sebagai satu pungutan suara untuk melihat pandangan sebenar setiap kepimpinan di Klang berkenaan isu ini. Itu sahaja.

Sukar juga untuk menghadapi isu perpindahan bas ini rupanya. Terlalu banyak pihak yang berkepentingan di sini dan di sana menyuarakan hak mereka tak kiralah dengan cara apa sekalipun, ada yang bising-bising sahaja, ada yang menulis surat, ada yang membuat kenyataan akhbar, ada juga yang berpiket membantah dan sampai memboikot serta tidak menghiraukan keputusan majlis. Ditambah lagi dengan peruntukan undang-undang kepada majlis yang terhad, pihak yang sepatutnya membuat penguatkuasaan tidak memberi kerjasama terbaik, pegawai-pegawai majlis sendiri yang kurang efisien dan macam-macam lagi cabaran yang terpaksa ditempuh!

Itu semua, gara-gara saya diamanahkan untuk menjadi ahli majlis oleh parti. Mahu tidak mahu terpaksa juga menghadapi pelbagai permasalahan yang bukan masalah saya pun, untuk diselesaikan. Itu belum lagi masalah-masalah dalaman majlis yang melibatkan jabatan-jabatan serta berbondong-bondong aduan masyarakat sampai di meja saya untuk diambil perhatian. Apalagi fitnah dan cerita-cerita panas yang dikaitkan dengan ahli majlis, setiap inci pakaian dan peralatan yang digunakan oleh kami akan cuba dikaitkan dengan wang rasuah dan hadiah kontraktor.

Sungguh! Itulah yang berlaku pada saya dan rakan-rakan ahli majlis dalam tempoh setahun ini, ada yang sampai keretanya di simbah cecair seperti asid dan juga pelbagai ugutan itu dan ini dan juga surat layang. Belum lagi kisah rakan-rakan yang terpaksa menghadapi cabaran dalaman parti dek kerana jawatan maka berlaku perpecahan, cabar-mencabar dan sebagainya terpaksa diharungi. Pengalaman yang ini saya tiada.

Oleh sebab itu, cepat-cepat saya pulangkan semula ke dalam mesyuarat PAS Kawasan untuk membuat penilaian adakah khidmat saya sebagai ahli majlis yang dicadangkan parti perlu diteruskan atau pun tidak. Saya akan terima dengan patuh sebarang keputusan kerana saya akan merasa sangat lega jika jawatan itu diberi pada orang lain dan dalam masa yang sama jika saya diberikan semula kepercayaan itu maka pilihan yang ada ialah saya mesti melaksanakannya bersungguh-sungguh.

Saya tidak akan menjadi seperti Khairy Jamaludin yang berpura-pura menerima kedudukannya yang tidak dilantik menjadi menteri tetapi dalam masa yang sama membuat serangan hendap kepada pentadbiran DS Najib. Sungguh! Saya akan memikirkan sepenuhnya untuk membina barisan pemuda yang kukuh di Kawasan Kapar ini kerana saya baru sahaja menyandang semula sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar yang juga begitu lain cabarannya.

Maknanya akan kurang lah skop cabaran yang bakal saya terima. Banyaklah masalah-maslaah yang bukan masalah saya itu tidak perlu untuk saya ambil peduli sangat. Banyak juga perkara yang kurang menjadi keutamaan sebelum ini akan menjadi keutamaan untuk saya selepas ini seperti memperkasakan tarbiyah pemuda, memperkasakan PASTI, memperkasakan ekonomi, menyambung pelajaran dan sebagainya.

Tetapi jika parti masih menghendaki saya sebagai ahli majlis, akan saya hadapi segala cabaran, mesyuarat, tikam lidah, aduan, piket, surat layang, fitnah, sikap pegawai, sikap ahli majlis, sikap Yang Berhormat, sikap EXCO, sikap media, sikap wartawan dan yang pasti elaun yang tak cukup makan itu juga! Semuanya kerana Islam dan jamaah, insya Allah. Ia akan mendewasakan!

Pada 12 April 2009 telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS, Kawasan Kapar yang dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi bin Abd Rani. Pada majlis perasmian itu juga dihadiri oleh YB Dr Hj Abd Rani Osman yang merupakan YDP PAS Kawasan Kapar selain barisan kepimpinan PAS Kawasan Kapar dan wakil-wakil daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kapar, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kelab Penyokong PAS (KPP) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).


Pada sesi perasmian, ucapan telah dimulakan dengan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ustaz Haidar Taslin yang menekankan kepada keperluan untuk memantapkan organisasi dalaman bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berusaha ke arah itu dengan menerapkan konsep 'Management by Objective' (MBO) dan 'teamwork' dalam pentadbirannya selain memberi fokus terhadap pembinaan ahli yang akan menguatkan dewan.

Dalam ucapan YB Dr Hj Abd Rani Osman pula, beliau telah menegur sikap-sikap negatif yang perlu diubah bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti dan kepimpinannya. Sikap acuh tidak acuh dalam sesuatu perkara perlu ditangani kerana hakikatnya PAS melaksanakan kerja-kerja Islam dan jika ahli-ahli PAS mempunyai sikap yang demikian akan menyebabkan orang akan memandang serong terhadap agama ini.

Ustaz Azman Shafawi yang telah memberi ucapan perasmian pula, telah menghuraikan senario terkini yang dihadapi oleh parti yang perlu difahami oleh setiap ahli. Hakikatnya, pendekatan dakwah dan politik yang dibawa oleh parti berbeza-beza mengikut suasana dan tempat. Justeru, ahli tidak boleh sewenang-wenangnya membanding-bandingkan sesuatu perkara tanpa asas yang kukuh. Namun, PAS mempunyai dasar dan matlamat yang sama iaitu untuk menegakkan Islam dengan memberi kefahaman yang jitu kepada masyarakat tentang agama ini.

Pada sesi perbahasan pula, DPPK telah menetapkan setiap pemuda cawangan mestilah diwakili oleh seorang pembahas. Para pembahas telah menyampaikan pelbagai cadangan, teguran, kritikan dan pandangan bagi meningkkatkan prestasi DPPK dan kualiti ahlinya. Rata-rata pembahas sangat perihatin dengan aspek tarbiyah (pendidikan) yang sangat perlu dipertingkatkan demi menghadapi cabaran semasa seperti yang diutarakan oleh wakil pemuda cawangan Meru Barat, Kg Delek Tengah, Teluk Kapas, Kg Delek Baru dan Jalan Dusun.
Selain itu, aspek komunikasi dalaman juga perlu dipertingkatkan sebagaimana yang disentuh oleh wakil pemuda cawangan Sg Saim, Simpang Tiga Jalan Yadi, Kg Delek Baru dan Taman Meru Indah. Pelbagai cadangan seperti meningkatkan jaringan SMS dan e-mail, melantik wakil DUN di dalam AJK DPPK, meningkatkan fungsi laman web/blog dan membina notis board DPPK.
Aspek ekonomi pula menjadi fokus dalam perbahasan daripada wakil pemuda cawangan Teluk Kapas, Taman Berkat, Jalan Yadi Sungai Udang, Batu Belah dan Meru Tengah. Mereka mencadangkan agar laman web Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (LEPU) diaktifkan agar ahli boleh bertukar maklumat perniagaan di dalam web ini, mewujudkan zon perniagaan untuk ahli pemuda dan menjana aktiviti pelaburan melalui bantuan-bantuan para peniaga di kalangan ahli dan penyokong.
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-21, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ini telah ditamatkan jam 5.30 petang dengan pengumuman barisan ahlijawatankuasa baru yang telah diundi oleh para perwakilan. Ketua menang tanpa bertanding iaitu Ustaz Haidar bin Taslin, manakala Timbalan Ketua pula disandang oleh Ustaz Yusri bin Miskan. Naib Ketua pula dimenangi oleh Ustaz Mohd Farid bin Zainal. Lapan AJK yang dipilih pula ialah Ir Hasrul Misrin, Adri, Mohd Izwan, Ahmad Fikri, Kheirul Farid, Mohd Farizan, Mohd Zainuri dan Mohd Azeman.



Alhamdulillah segala puji bagi Allah swt tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan baginda SAW dan ahli keluarganya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pimpinan PAS Pusat khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat, pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, PAS Kawasan Kapar, ahli-ahli PAS khususnya di kawasan Kapar ini, sahabat-sahabat seangkatan di dalam Pakatan Rakyat, rakan-rakan Kelab Penyokong PAS, NGO-NGO, tuan-tuan guru, alim-ulamak serta muslimin-muslimat pendokong dan penyokong PAS yang dikasihi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui tahun yang ke-21, sempena dengan mesyuarat agungnya kali ini. Dalam tempoh ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui pelbagai episod suka duka dalam lembaran perjuangannya dan telah sedikit-sebanyak membentuk saf kepimpinan di kawasan Kapar ini.

Kewujudan dewan ini sebagai sayap perjuangan parti di kawasan Kapar, telah memberi impak kepada perjuangan panjang untuk menegakkan Islam meskipun pelbagai ujian terpaksa ditempuh yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit terutamanya dari golongan terdahulu.


Memperkukuh Organisasi

Allah SWT telah berfirman di dalam surah As-Soff: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan Allah dengan berbaris-baris seumpama bangunan yang tersusun”. Saiyidina Ali Karamaullahu Wajhah pula ada mengatakan “Kebenaran yang tidak tersusun (organisasi) akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun (organisasi)”.

Dalam menyusur arus perubahan yang dijunjung rakyat, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melihat peri pentingnya usaha dan idea baru untuk memperkukuhkan organisasi dewan ini bagi melaksanakan tanggungjawab dan peranan dakwah dengan lebih berkesan. Beberapa perubahan dalam struktur organisasi ahlijawatankuasanya yang dilihat tidak bercanggah dengan aspirasi Dewan Pemuda PAS Pusat telah dilaksanakan.

Selain daripada konsep ‘Management by Objective’ (MBO) yang diterapkan dalam menyusun aktiviti dan gerakkerjanya, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar juga telah cuba menerapkan konsep ‘teamwork’ di dalam perlaksanaan aktiviti dan gerakerjanya tadi, melalui kombinasi lajnah dan jabatan di dalamnya untuk melaksanakan objektif/matlamat yang hampir sama iaitu:
· Jawatankuasa Pemerkasaan Organisasi yang dianggotai oleh Lajnah Politik dan Pilihanraya, Lajnah Organisasi dan IT, Bendahari serta Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan.
· Jawatankuasa Penerangan & Perkaderan yang dianggotai olah Lajnah Penerangan dan Dakwah, Pengarah UKJ serta Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan.
· Jawatankuasa Pendidikan & Kemasyarakatan yang dianggotai olah Jabatan PASTI, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan serta Jabatan Kerajaan & Swasta dan PAKSI.
· Jawatankuasa Amal dan Mesra Rakyat pula dianggotai olah Lajnah Sukan dan Kebudayaan, Jabatan Amal dan Jabatan Pembangunan Pelajar dan Mahasiswa.


Tarbiyah, Ukhuwah & Cintakan Pengorbanan

Melihat kepada cabaran dan tribulasi yang sedang dan bakal dihadapi oleh Dewan Pemuda PAS di Kawasan Kapar, terutamanya ketika pasca kemenangan ini, usaha tarbiyah perlu segera diperkemaskan agar ia menjadi benteng yang paling ampuh kepada saf pemuda. Benteng ini sangat diperlukan bagi menghindar anasair-anasir halus yang cuba menyelinap dan memusnahkan kesepaduan pemuda dari dalam dan memesongkan penghayatan pemuda kepada asas perjuangan dan ad-deen yang sejati:

Firman Allah swt:
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku, satu-satunya jalan yang lurus, maka ikutlah ia, dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan terpesong dari jalan Allah, dan kamu akan jadi bercerai-berai dan porak peranda” (Surah Al-An’am: 153)

Tidak dinafikan, cabaran luaran dari sudut tanggugjawab dan beban tugas yang terpaksa dipikul nampaknya telah sedikit sebanyak menyebabkan tumpuan kepada tarbiyah ini sedikit terabai. Oleh itu, adalah wajar agar peringatan ini dilontarkan supaya saf pemuda tidak memandang remeh kepada aspek tarbiyah ini.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah mengorak langkah awal dengan menubuhkan Usrah Nuqaba’ Muda di bawah Lajnah Tarbiyah bagi memastikan usaha memperkemaskan tarbiyah berjalan lancar. Walaupun, ia masih belum menampakkan hasil yang memberangsangkan namun cetusan ini diharapkan mampu melonjakkan usaha tarbiyah untuk menjadikan usrah ini sebagai nadi utama kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar.


Generasi Pelapis

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sedar bahawa kewujudannya adalah untuk menjana seramai mungkin generasi pelapis di kalangan pemuda-pemuda yang cintakan perjuangan Islam. Dewan ini bukan sahaja perlu meraih seramai mungkin sokongan di kalangan golongan itu ketika musim pilihanraya, bahkan juga perlu membentuk mereka menjadi generasi pelapis.

Di sinilah peranan lajnah tarbiyah yang perlu diperkemaskan bukan sahaja untuk memperbanyakkan aktiviti bahkan juga perlu mempekayakan pendekatannya supaya pelbagai dan sesuai dengan golongan pemuda yang juga variasi sifatnya. Bentuk tarbiyah yang pelbagai ini diharapkan bukan sahaja dapat membentuk jiwa pemuda yang telah sedia cintakan Islam, bahkan juga dapat menarik minat pemuda-pemuda yang jauh dari Islam dan membesar dengan suasana yang sarat dengan gejala sosial.

Cabaran ini perlu digalas bersama berbekalkan keyakinan kepada Allah swt berdasarkan firmannya:
“Pada hari ini orang-orang kafir berputus asa daripada agama kamu maka jangan kamu takutkan agama mereka, takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah-Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan bagi kamu nikmat-ku dan telah Aku redha Islam menjadi agama kamu.” (Surah Al-Maidah: 3)


Perubahan kepimpinan negara dan gelombang rakyat

Negara telah menyaksikan perubahan kepimpinannya ke tangan Perdana Menteri yang keenam lewat perlantikan Datuk Seri Najib Tun Abd Razak. Walaupun dicemari dengan pelbagai tuduhan yang melatarii imejnya sebagai kepala negara melalui laporan media dalam dan luar Negara, namun usaha beliau untuk menangkis sekaligus membersihkan dirinya masih di tunggu-tunggu rakyat.

Umum melihat bahawa perubahan tampuk kepimpinan Negara ini tidak lebih daripada usaha Barisan Nasional bagi meredakan kemarahan rakyat dan meraih kembali sokongan yang telah hilang daripada mereka. Namun, usaha ini dijangka bakal menemui kegagalan kerana gelombang rakyat masih lagi belum surut walaupun cuba diasak media yang jelas berusaha keras melindungi Barisan Nasional.

Justeru, Pakatan Rakyat yang telah berjaya memerintah negeri Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang telah dirampas perlu memperlihatkan prestasi yang luarbiasa dalam pemerintahnya. Saf pemuda yang menjadi salah satu agen yang akan merakyatkan kepimpinan Pakatan Rakyat perlu bertindak pantas agar meluas sebaran tentang program-program kebajikan untuk rakyat dan juga ke arah menjadikan rakyat supaya mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab mereka kepada Allah swt dan sesama manusia.

Firma Allah swt: “Demi sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya, sesungguhnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa. Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahajalah akibat segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)


Cabaran Ekonomi dan nasib umat Islam

Usaha-usaha untuk memberi kefahaman Islam dan seterusnya penghayatan kepada ajarannya yang suci itu perlu dilestarikan dan dijadikan agenda oleh para pejuang Islam di dalam parti ini khususnya golongan pemuda. Sifat-sifat sebenar seorang yang memahami lunas-lunas Islam yang syumul perlu ditampilkan dengan penuh bermesej agar ajaran Islam mudah diterima oleh semua lapisan kaum dan agama. Ini termasuk amalan berjimat-cermat dalam membelanjakan wang rakyat oleh para pemerintah, galakkan mengamalkan cara hidup bersederhana oleh pemimpin-pemimpin parti dan mudah didekati rakyat.

Amalan ini juga perlu diteruskan terutama ketika mana kita diuji dengan kemenangan demi kemenangan. Inilah juga amaran yang telah dilontarkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah, aku tidak bimbang kamu menjadi fakir, tetapi aku bimbang apabila dibentangkan kepada kamu dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat-umat yang terdahulu daripada kamu lalu kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi, maka dunia membinasakan kamu sebagaimana pernah membinasakan umat-umat terdahulu.”

Dalam suasana ekonomi global yang sedang menghadapi keruntuhan ini, alternatif terbaik adalah sistem ekonomi Islam yang jauh dari amalan riba’. Keyakinan ini perlu disemaikan di dalam hati rakyat seluruhnya dengan akhlak dan kesungguhan pemimpin-pemimpin PAS untuk menghadapi cabaran yang getir ini. Justeru, gagasan kita yang ampuh perlu ditonjolkan segera agar dapat dilihat rakyat seluruhnya bahawa Islam itu agama penyelesaian. Dalam soal ini, kemungkinan agenda politik parti perlu kita ketepikan seketika bagi meraih sokongan kepada gagasan ajaran Islam itu sendiri.


Kembali kepada Islam

Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah swt kepada kita dengan mengenali Islam. Malah lebih besar lagi nikmat itu kerana kita mengenal perjuangan Islam. Tidak ramai di kalangan umat manusia memperolehi nikmat yang kita semua di sini perolehi. Namun, nikmat itu boleh sahaja diingkari jika kita tidak mahu mensyukurinya dengan mendalami kefahaman dan memperbaharui tekad kita terhadap perjuangan ini.

Allah swt boleh sahaja mengurniakan nikmat yang sangat besar ini kepada sesiapa pun. Namun, takdirnya anugerah ini telah kita perolehi untuk dihayati oleh kita semua. Justeru, insafilah perjuangan ini lahir daripada matlamat menegakkan Islam. Matlamat itu pula menjadi asas kepada kejadian dan kehidupan kita di muka bumi ini.

Firman Allah swt,
“Dan takutlah kamu pada hari kamu semua akan dikembalikan kepada Allah, lalu ditunaikan kepada tiap-tiap diri akan apa yang dilakukan dan usahakan dalam keadaan mereka tidak dizalimi sedikitpun”. (Al-Baqarah: 281)

Marilah kita bermuhasabah sejauh manakah pegangan kita dengan Islam, sejauh manakah perjuangan kita untuk Islam, sejauh manakah persaudaraaan kita di atas dsar Islam dan sejahuh manakah kita menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebelum kita dihisab di hadapan Allah.

Siru wal’ala barakatillah.
Selamat bermukatamar dan bermuhasabah.

Sekian,

HAIDAR TASLIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar 2007-09


Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar akan di adakan pada 12 April 2009 iaitu hari Ahad ini. Mesyuarat itu akan dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ust Azman Shafawi bin Abd Rani.

Mesyuarat tersebut juga dijangka akan dihadiri oleh YDP PAS Kawasan Kapar, YB Dr Hj abd Rani Osman yang juga ADUN bagi kawasan Meru. Selain itu juga, wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan pimpinan tertinggi PAS Kawasan Kapar serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Kapar juga akan turut sama di dalam acara perasmian pada sebelah pagi yang dijangka bermula jam 9.00 di Dewan Orang Ramai Sungai Pinang.

Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada kali ini akan menampilkan sedikit kelainan agar penyertaan menyeluruh di kalangan perwakilan yang dijangka seramai lebih 100 orang itu dapat diwujudkan. Antaranya, wakil bagi setiap pemuda cawangan telah dibekalkan buku mesyuarat agung tersebut lebih awal yang mengandungi minit mesyuarat yang lalu, laporan aktiviti dan kewangan selain ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sendiri.

Selain itu, setiap pemuda cawangan diminta untuk melantik seorang pembahas yang akan mewakili mereka untuk berbahas di dalam mesyuarat agung tersebut yang akan menyentuh isi kandungan buku mesyuarat agung itu secara khusus dan hal-ehwal pemuda secara umumnya. Ini bagi memastikan para perwakilan lebih bersedia untuk berbahas dengan idea cadangan dan kritikan yang bernas untuk memperbaiki pencapaian Dewan Pemuda PAS Kapar.

Pada tahun ini juga akan menyaksikan berlaku sesi pemilihan untuk Ahlijawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar. Bagi jawatan Ketua Pemuda tidak berlaku pertandingan kerana ketuanya kini Ust Haidar bin Taslin tidak dicabar oleh sesiapa. Manakala, bagi jawatan Timbalan Ketua pula akan berlaku pemilihan membabitkan tiga penjuru iaitu Ust Kheirul Farid Mahmud yang mempertahankan jawatannya, dicabar oleh Ust Yusri Miskan yang kini menjawat sebagai Naib Ketua dan juga Sdr Izwan bin Baidawi yang merupakan Pengarah Amal Kapar.

Bagi jawatan Naib Ketua pula, pencalonan yang diterima dan disahkan adalah sebanyak empat pencalonan dan akan berlaku pertandingan empat penjuru iaitu Ust Mohd Farid Zainal yang merupakan Pengerusi Jabatan Pelajar dan Mahasiswa DPPK, calon yang kedua ialah Ust Mohd Faizan Subkhi yang merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan, calon yang ketiga pula ialah Sdr Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar yang merupakan Ketua Pemuda Cawangan Jalan Yadi Sg Udang dan calon yang keempat ialah Sdr Mohd Fared Hassan yang juga sebagai Ketua Penerangan DPPK kini.

Sesi usul pula, pada kali ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar akan membentangkan semua usul yang dikemukakan oleh pemuda cawangan untuk dibahaskan. Ini dilakukan bukan sahaja untuk menghargaikan pandangan mereka menerusi usul tersebut, tetapi juga untuk mengetahui maksud sebenar usul tersebut disampaikan dan menggalakkan sesi percambahan minda di kalangan perwakilan berlaku dengan baik.

Semoga, Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada kali ini akan menatijahkan sesuatu yang baik dan bermanfaat khususnya untuk para ahli pemuda PAS Kawasan Kapar yang diharapkan memberi lonjakan baru dalam semangat berjuang, bekerja dan berkorban demi Islam dalam wadah parti PAS yang dicintai ini.


Apa saja kaedah yang tidak digunakan oleh UMNO/BN di dalam kempen Pilihanraya Kecil Bukit Gantang? Daripada Istana Perak sampai lah ke Putrajaya dan Istana Negara semuanya dihalakan ke Bukit Gantang!

Petugas-petugas pilihanraya, pelawat-pelawat dan rakyat di Bukit Gantang sangat sedar perkara itu. Ini semua gara-gara lawan UMNO/BN adalah Ir. Nizar yang menggerunkan mereka. Ir. Nizar sudah jadi ikon baru Pakatan Rakyat dan juga telah dinobatkan ikon untuk rakyat juga. Bukan kerana dirinya seorang yang sangat berkarisma atau berharta dan juga berpangkat, tetapi kerana dirinya seorang yang teraniaya mewakili rakyat yang dianiaya.

Akhirnya, mesej jelas itu telah dilontarkan sejelas-jelasnya untuk sang penguasa di istana Putrajaya dan Bukit Chandan daripada majoriti rakyat yang merasa diri mereka dianiaya! Cakaplah dan kempenlah apa saja untuk rakyat.. Nizar Penderhaka, Sokong Nizar Bererti Menderhaka.. Nizar Boneka Cina.. Nizar Gila Kuasa.. Semua itu tidak akan menafikan hakikat dan sedar rakyat bahawa mereka telah dianiaya.

Berilah dan taburlah apa sahaja.. Pinjaman TEKUN, janji geran tanah untuk kaum cina, jalan baru dan longkang baru (projek mee segera), kain batik, kain palekat, wang ringgit yang khabarnya RM5000 untuk pengundi cina dan RM3000 untuk pengundi melayu... semua itu tidak akan melalaikan rakyat bahawa Ir. Nizar adalah menteri besar sebenar yang dilantik oleh rakyat!

Bawalah apa sahaja dan sesiapa sahaja.. Bekas PM Tun Mahathir, artis Jamal Abdillah dan artis wanita cina yang berskrit pendek sampai ke celah peha, sambil disaksikan menteri agamanya, menteri-menteri kanan, kiri, depan dan belakang.. semua itu hanya memaparkan depan mata rakyat siapa yang mengganas di sebalik krisis di negeri Perak itu.

Tapi sayangnya ia terlalu sukar untuk diambil pelajaran oleh UMNO/BN. Jauh sekali untuk mengakui kesilapan mereka. Kuasa rakyat sedang dan akan menenggelamkan mereka sedikit demi sedikit, kini UMNO/BN sedang tercungap-cungap kelemasan. Kalau orang yang sedang lemas cara untuk menyelamatkannya ialah dengan mendakap lehernya dari belakang atau biarkan ia lemas seketika kemudian barulah diselamatkan.

Kalau tersilap, orang yang lemas itu akan mengheret orang lain yang cuba menyelamatkannya dan akan lemas bersama. Itulah yang mungkin terjadi kepada Istana Perak jika tidak berhati-hati dengan UMNO/BN ini. Kempen yang membabitkan Istana Perak sepatutnya diharamkan polis sebagaimana mereka haramkan kempen Altantuya di Bukit Gantang.

SMS terkini Sdr Aszmi dari Bukit Gantang: "Mesyuarat MTD tadi telah lantik ana sebagai Ketua Keselamatan DUN Trong kerana perkembangan semasa, SB kacau muslimat kita setiap hari, ada perayu undi kita diugut sampai ada yang berani menyentuh muslimat kita. BN sudah mula kacau dan cabar kita. Mohon bantuan sahabat pemuda Selangor, tolong datang segera!"

Sudah acapkali saya gagal menghabiskan membaca beberapa buku, ada yang sampai lumat kulitnya dek kerana 'quriosity' anak-anak yang sedang membesar. Sampailah saya berazam untuk menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku untuk awal tahun ini, lalu saya beli sahaja buku nipis yang ada nilai tinggi isinya. Pilihan saya ialah: Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan karangan Zainon Ismail.

Kisah jihad dan syahid mungkin satu kisah yang biasa diceritakan lewat makalah-makalah tokoh perang Palestin, Iraq dan negara Islam lain yang bergolak. Tetapi memoir jihad ini berbeza sedikit kerana ia adalah memoir seorang anak melayu yang lahir dan membesar di Malaysia yang memilih untuk pergi berjihad di negara asing yang tiada kaitan sejarah dalam hidupnya!

Yang menarik perhatian ialah perjalanan anak muda as-Syahid Fauzi meniti pengalaman hidup yang asing dari pergolakan dan peperangan, tiada suasana keterpaksaan, bahkan dihidang suasana kehidupan yang terbentang luas dengan peluang meraih keuntungan dunia. Beliau memilih untuk pergi berjihad, menggalang senjata berat menentang musuh bersama rakan seperjuangan yang tidak berkongsi walau seperenggan bahasa pun!

Anak muda ini bukan lahir dari mana-mana universiti atau kolej atau diajar oleh profesor juga doktor, tetapi beliau lahir dari sebuah usrah yang dididik oleh seorang naqib biasa yang benar-benar tulus dan ikhlas. Sampai terpana dalam sanubari anak usrahnya untuk memahami hakikat jihad dan pengorbanan yang jauh untuk digapai penghayatannya walau oleh seorang alim sekalipun.

Ya, seorang alim pun sukar untuk memahami hakikat jihad dan pengorbanan itu kerana terlalu asyik diulit intan! Tetapi ia segar dalam usrah yang disertai as-Syahid Fauzi dan rakan-rakannya itu. Mereka sama-sama berusaha mengerah setiap sen untuk dibelanjakan bukan untuk jalan jihad orang lain, tetapi untuk mengangkat diri mereka sendiri agar boleh mengembara untuk sebaris dengan mujahidin!

Begitulah hebatnya as-Syahid Fauzi dan rakan-rakannya. Sebenarnya untuk melahirkan individu seperti beliau adalah melalui usrah. Usrah yang ikhlas naqibnya, tulus ahlinya, indah ukhuwahnya, jitu pengorbanannya, aula aktivitinya. Usrah seperti ini rupanya bukan khayalan, bukan teori dan bukan sangkaan ia berlaku dan dibuktikan!

Usrah yang nilainya seperti ini perlu diwujudkan, digerakkan dan disuburkan. Ayuh bermimpilah kita semua untuk menganggotai usrah yang begitu. Semoga mimpi kita itu jadi nyata, seperti nyatanya mimpi-mimpi as-Syahid Fauzi berasmara dengan bidadari syurga itu. Al-Fatihah..

;;