Rupa-rupanya konotasi slogan 'PAS Untuk Semua' itu bukan hanya untuk mainan politik menjelang pilihanraya bagi memancing undi golongan bukan ahli khususnya masyarakat bukan Islam. Bahkan ia jauh juga mendalam maksudnya kepada diri ahli-ahli PAS itu sendiri. Slogan ini sangat mudah dicanang terutama dalam menangkis arus polemik ulamak dan profesional yang cuba dimainkan oleh media kebelakangan ini.

Bukan hanya golongan ulama' dan profesional sahaja yang boleh memimpin PAS. Bahkan sesiapa sahaja boleh memimpin PAS asalkan dia seorang yang faham benar dengan perlembagaan dan halatuju PAS serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan dalam parti. Jangan terperangkap dengan mainan media yang sedang menconteng sesuatu di wajah parti kita dalam keadaan yang kita tidak sedari.

Polemik antara ulamak dan profesional hanyalah satu sudut pandangan sahaja berkenaan kepimpinan PAS menjelang muktamar agungnya. Hakikatnya, ramai golongan dari pelbagai latarbelakang mewarnai perjuangan PAS sekian lama. Mereka menyertai PAS adalah kerana mereka cintakan perjuangan PAS iaitu menegakkan siyasah Islam.

Apabila kecintaan mereka terhadap agama itu sudah melakar dalam diri mereka, tiada perkara yang lebih penting dari Islam itu sendiri. Siapa pun yang bakal memimpin PAS, yang paling penting adalah penilaian terhadap pengorbanannya kepada perjuangan untuk menegakkan Islam melalui parti ini. Itu yang sepatutnya menjadi neraca asas pemilihan kepimpinan.

Pengorbanan yang dimaksudkan itu luas. Pengorbanan mencari Ilmu dan kemahiran bertahun-tahun untuk dimanfaatkan dalam perjuangan PAS seperti yang dilakukan oleh para ulamak dan profesioanal. Pengorbanan berjuang betahun-tahun dalam keadaan PAS itu dipandang lemah dan juga diangkat kuat. Pengorbanan berani dan kental menghadapi rintangan I.S.A, lokap, mahkamah dan demonstrasi. Pengorbanan menginfakkan diri dan seluruh kehidupannya untuk perjuangan PAS. Semua itu perlu dinilai wajar oleh kita semua.

Kita memilih pemimpin bukan kerana nafsu kita. PAS akan menjadi terlalu eksklusif jika hanya dikuasai oleh ulamak dan profesional. Angkatlah pemimpin yang paling banyak berkorban untuk perjuangan Islam ini. Angkatlah pemimpin yang akan membawa kita bersama-sama berkorban untuk perjuangan ini. Kerana perjuangan ini lumrahnya adalah pengorbanan. Kecuali jika kita ada calon yang lebih hebat dari Rasulullah saw, yang boleh membawa kita ke syurga tanpa pengorbanan...

0 ulasan: