Terlupa Pada Orang yang Dekat dengan Kita

Aku melalui hari-hari yang agak sukar kebelakangan ini, sampai terlalu banyak yang membeku sarat dalam minda berkenaan suasana jemaah, isu politik yang tak sudah-sudah habisnya dan dengan senarai mesyuarat juga aduan-aduan yang perlu ditangani. Sampai nak diluah dalam blog ini pun rasanya perlu diteliti agar tidak mengeruh keliru yang telah bersarang di dalam kotak otak di kalangan pemuda-pemuda khususnya.

Aku tinggalkan itu semua sekejap untuk abah. Minggu sudah emak hantar sms pendek, abah mengadu sakit dada. Sebenarnya dah lama, tapi kebelakangan ini kerap pula. Abah ambil tak kisah sahaja, sakit sikit-sikit kata emak. Orang perempuan mungkin risaunya lebih, tapi emak jarang mengadu kerisauannya pada anak-anak terutamanya aku. Abah dah pun buat pemeriksaan doktor, tapi tak ada apa-apa katanya.

Selang dua hari emak mintak kelapangan masa untuk abah, pujuk dia ke hospital atau IJN kalau-kalau bimbangnya jadi nyata. Sukar juga untuk penuhi pinta emak itu, kerja masyarakat dan jemaah pun boleh tahan juga banyaknya. Tak apa lah mungkin sekali ini sahaja. Akhirnya, aku bawa saja abah ke IJN kerana malas nak berurusan di hospital di sini yang mungkin akan diarahkan ke sana juga nanti.

Pemerikasaan abah di ruang 'kecemasan' menunjukkan tanda-tanda positif, abah terus ditahan di wad CCU untuk dibuat pemeriksaan lanjut dan akhirnya disahkan serius kerana arteri utamanya telah tersumbat kurang 10% kata doktor. Pembedahan segera akan dibuat esok pagi (6 Mei) kerana jika dibiarkan akan berlaku serangan jantung serius dalam tempoh yang dekat. Doktor kata, kami datang tepat pada masanya kerana dia belum kena serangan mengejut itu. Abah memang sihat saja, cuma sakit dada kalau buat kerja lebih sikit.

Seminggu abah di IJN ini baru aku perasan sudah lama juga aku lupakan abah aku ini. Bila doktor tanya berapa umur abah, sekejap aku berkira-kira sebelum menjawab 62 tahun. Sudah tua abah menjangkau umur Nabi s.a.w. getus hati aku. Bila abah minta bantu wudhuk kan untuknya, aku sudah lupa bila terakhir kali aku sentuh kulit-kulit dan anggota badannya itu selain tapak tangannya untuk dijabat salam. Sudah kusam dan banyak kedut yang tak diendah selama ini.

Rupanya sudah terlalu jauh aku pergi sampai lupa pada abah. Bahagianya aku jika pulang ke rumah dikerumun Athif dan Aiyash yang kedua-duanya mintak di dukung abinya. Bahagianya aku bila Athif dan Aiyash tak sudah-sudah mengadu itu dan meminta ini untuk meraih perhatian abinya. Bahagianya aku bila Athif dan Aiyash buat perangai membaling dan menyepahkan buku-buku dan barangan rumah yang lain. Aku bahagia kerana merasa nikmat seorang bapa yang dipanggil abi.

Tetapi bagi abah aku, bahagia itu mungkin sudah lama hilang dan dia sudah lupa pada bahagia itu barangkali. Anak-anak sudah besar dan tidak perlu bantuannya lagi. Sampai tanggungan kos hospital pun kalau boleh nak dilangsaikan sendiri. Anak-anak ada kehidupan sendiri fikirnya. Ada kerenah dan telatahnya sendiri yang dia faham benar.

Sedang naluri seorang abi dan seorang abah itu tetap sama. Anak di matanya hanyalah seorang anak yang sifatnya keanak-anakan. Membesar dan dewasa lah anak itu, tetapi tetap memakai sifat keanak-anakan di mata abah. Abah hanya bahagia jika anak-anaknya datang mengerumuni dan berpaut di sisinya, abah akan bahagia jika anak-anak bercerita tentang kehidupan dan dunia mereka yang bukan dunia abah, abah akan bahagia jika melihat telatah anak-anaknya yang cuba menunjukkan dirinya masing-masing.

Abah selalu menunggu masa lapang aku datang ke rumah bersama cucu-cucunya itu. Abah ingin dengar pandangan aku tentang isu-isu politik mutakhir yang dia faham benar dunia aku itu. Tetapi aku selalu lupa pada bahagia abah, masa untuk diberi bahagia abah menumpang kasih cucu-cucunya pun sukar dipenuhi kerana bimbang cucu-cucunya akan meletihkannya sahaja, isu-isu politik yang abah tanya hambar sahaja dijawab kerana tak mahu abah fikir perkara yang berbelit-belit itu.

Rupanya bukan maksud abah untuk perkara yang aku bimbang itu. Abah hanyalah seorang abah yang di matanya anak-anaknya itu tetap memakai sifat keanak-anakan walau sehebat mana, setinggi mana anaknya di mata orang lain. Kesempatan dan ujian ini membawa aku pulang kepada abah. Terasa kekok kerana sudah lama tidak meraup anggota tubuh abah yang dulunya aku selalu capai lengannya untuk dibuat baring, dipanjat kakinya untuk dibuat buai, kekar belakang badannya untuk dibuat titi, abah bahagia ketika itu sepertimana aku bahagia sekarang.

Baru aku sedar kenapa abah gembira betul bila aku bawanya dengan emak, adik-adik dan keluarga aku ke Langkawi tempoh hari. Bukan abah nak percutian itu, tapi dia mahu kami semua bahagia di sampingnya. Itu pun ada cakap-cakap orang yang tak senang dengan percutian kami itu kerana ahli majlis tak boleh bersenang-lenang? entahlah! Doa aku, abah selamat dan sihat selalu. Insya Allah kita akan bahagia kerana aku sudah faham dan sudah ingat!!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

boleh bagi ulasan kat sini