Apa saja kaedah yang tidak digunakan oleh UMNO/BN di dalam kempen Pilihanraya Kecil Bukit Gantang? Daripada Istana Perak sampai lah ke Putrajaya dan Istana Negara semuanya dihalakan ke Bukit Gantang!

Petugas-petugas pilihanraya, pelawat-pelawat dan rakyat di Bukit Gantang sangat sedar perkara itu. Ini semua gara-gara lawan UMNO/BN adalah Ir. Nizar yang menggerunkan mereka. Ir. Nizar sudah jadi ikon baru Pakatan Rakyat dan juga telah dinobatkan ikon untuk rakyat juga. Bukan kerana dirinya seorang yang sangat berkarisma atau berharta dan juga berpangkat, tetapi kerana dirinya seorang yang teraniaya mewakili rakyat yang dianiaya.

Akhirnya, mesej jelas itu telah dilontarkan sejelas-jelasnya untuk sang penguasa di istana Putrajaya dan Bukit Chandan daripada majoriti rakyat yang merasa diri mereka dianiaya! Cakaplah dan kempenlah apa saja untuk rakyat.. Nizar Penderhaka, Sokong Nizar Bererti Menderhaka.. Nizar Boneka Cina.. Nizar Gila Kuasa.. Semua itu tidak akan menafikan hakikat dan sedar rakyat bahawa mereka telah dianiaya.

Berilah dan taburlah apa sahaja.. Pinjaman TEKUN, janji geran tanah untuk kaum cina, jalan baru dan longkang baru (projek mee segera), kain batik, kain palekat, wang ringgit yang khabarnya RM5000 untuk pengundi cina dan RM3000 untuk pengundi melayu... semua itu tidak akan melalaikan rakyat bahawa Ir. Nizar adalah menteri besar sebenar yang dilantik oleh rakyat!

Bawalah apa sahaja dan sesiapa sahaja.. Bekas PM Tun Mahathir, artis Jamal Abdillah dan artis wanita cina yang berskrit pendek sampai ke celah peha, sambil disaksikan menteri agamanya, menteri-menteri kanan, kiri, depan dan belakang.. semua itu hanya memaparkan depan mata rakyat siapa yang mengganas di sebalik krisis di negeri Perak itu.

Tapi sayangnya ia terlalu sukar untuk diambil pelajaran oleh UMNO/BN. Jauh sekali untuk mengakui kesilapan mereka. Kuasa rakyat sedang dan akan menenggelamkan mereka sedikit demi sedikit, kini UMNO/BN sedang tercungap-cungap kelemasan. Kalau orang yang sedang lemas cara untuk menyelamatkannya ialah dengan mendakap lehernya dari belakang atau biarkan ia lemas seketika kemudian barulah diselamatkan.

Kalau tersilap, orang yang lemas itu akan mengheret orang lain yang cuba menyelamatkannya dan akan lemas bersama. Itulah yang mungkin terjadi kepada Istana Perak jika tidak berhati-hati dengan UMNO/BN ini. Kempen yang membabitkan Istana Perak sepatutnya diharamkan polis sebagaimana mereka haramkan kempen Altantuya di Bukit Gantang.

0 ulasan: