Penuh 'mesra dan kasih sayang'.. itulah ungkapan yang acapkali diucapkan oleh Pengerusi Tetap Mesyuarat Agung PAS Kapar, Cikgu Wahab. Ia juga sinonim dengan suasana yang berlaku di dalam mesyuarat agung kali ini. Kebiasaan mesyuarat agung dilalui dengan suasana 'panas' dan 'tegang' walaupun mesyuarat agung PIBG apatah lagi mesyuarat agung parti-parti politik, tetapi ia tidak berlaku dalam mesyuarat agung ini.

Walaupun jawatan kedua tertinggi iaitu Timbalan Yang Di-Pertua berlaku pertandingan, ia tidak langsung menggambarkan berlakunya perpecahan dan berpuak-puak dalam PAS Kapar. Bertambah manis, apabila jawatan Naib Yang Di-Pertua yang dijangka berlaku pertandingan sengit telah terjadi sebaliknya apabila calon Hj Shamsul Bahari memberi laluan kepada Ustaz Noornajhan untuk menyandang jawatan tersebut.
Begitu juga bagi jawatan Ketua Urusan Ulamak yang menyaksikan Ustaz Wan Hamidi Wan Mat menang tanpa bertanding apabila penyandangnya Ustaz Hj Ibrahim Hj Omar tidak mempertahankan jawatan tersebut. Sebaliknya beliau hanya sudi untuk dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa dan memenanginya sebagaimana kehendak perwakilan.

Sepanjang mesyuarat agung tersebut juga, para perwakilan begitu matang melontarkan idea cadangan dan kritikan sehingga disambut baik oleh semua yang hadir sama ada dari segi emosi dan fikiran. Tuan Hj Khusrin yang juga dicalonkan sebagai Timbalan YDP, nampaknya begitu senang melontarkan cadangan-cadangan bahkan menaruh keyakinan yang tinggi kepada ahli jawatankuasa yang ada dan yang akan dilantik untuk menggalas amanah parti.

Beliau mencadangkan kepada semua perwakilan agar menyerahkan perkara-perkara tertentu yang agak sensitif dan menyentuh strategi parti kepada ahli jawatankuasa untuk memikirkannya dan mencadangkan agar ia tidak dibahaskan panjang lebar di dalam mesyuarat agung ini. Beliau bimbang jika ia dibahaskan di dalam mesyuarat ini dan akan mempunyai keputusan yang perlu dilaksankan, ia akan memberi implikasi besar terhadap parti yang bukan sahaja membabitkan kawasan Kapar bahkan parti keseluruhannya.

Seorang lagi perwakilan iaitu Hj Rahmat yang telah berjaya menempatkan dirinya semula di dalam saf ahli jawatankuasa PAS Kapar, sering mengingatkan kepada para perwakilan tentang halatuju mesyuarat agung kali ini. Beliau yang juga 'orang lama' dalam PAS Kapar sering melontarkan idea-idea bernas dan berani supaya bukan sahaja menghidupkan suasana dalam mesyuarat agung tersebut bahkan juga memberi tauladan khususnya kepada generasi muda untuk berani bersuara.

Begitulah indahnya suasana kemesraan dan kasih sayang di dalam PAS Kapar. Semoga suasana ini akan terus dapat dipelihara. Ruang-ruang 'syuuz zhan' (buruk sangka) perlu dielakkan dan ditangani segera melalui tarbiyah, usrah, perjumpaan, mesyuarat dan sebagainya. Pemimpin perlu rajin mendampingi akar umbi dan begitu juga akar umbi perlu memahami dan bersama-sama kepimpinan. Insya Allah jemaah akan menjadi kuat atas dokongan semua ahli di semua peringkat.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kurang panas la mesyuarat agung kali ni.. kurang muhasabah