Mesyuarat Agung Tahunan DPP Kapar 12 April


Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar akan di adakan pada 12 April 2009 iaitu hari Ahad ini. Mesyuarat itu akan dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ust Azman Shafawi bin Abd Rani.

Mesyuarat tersebut juga dijangka akan dihadiri oleh YDP PAS Kawasan Kapar, YB Dr Hj abd Rani Osman yang juga ADUN bagi kawasan Meru. Selain itu juga, wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan pimpinan tertinggi PAS Kawasan Kapar serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Kapar juga akan turut sama di dalam acara perasmian pada sebelah pagi yang dijangka bermula jam 9.00 di Dewan Orang Ramai Sungai Pinang.

Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada kali ini akan menampilkan sedikit kelainan agar penyertaan menyeluruh di kalangan perwakilan yang dijangka seramai lebih 100 orang itu dapat diwujudkan. Antaranya, wakil bagi setiap pemuda cawangan telah dibekalkan buku mesyuarat agung tersebut lebih awal yang mengandungi minit mesyuarat yang lalu, laporan aktiviti dan kewangan selain ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sendiri.

Selain itu, setiap pemuda cawangan diminta untuk melantik seorang pembahas yang akan mewakili mereka untuk berbahas di dalam mesyuarat agung tersebut yang akan menyentuh isi kandungan buku mesyuarat agung itu secara khusus dan hal-ehwal pemuda secara umumnya. Ini bagi memastikan para perwakilan lebih bersedia untuk berbahas dengan idea cadangan dan kritikan yang bernas untuk memperbaiki pencapaian Dewan Pemuda PAS Kapar.

Pada tahun ini juga akan menyaksikan berlaku sesi pemilihan untuk Ahlijawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar. Bagi jawatan Ketua Pemuda tidak berlaku pertandingan kerana ketuanya kini Ust Haidar bin Taslin tidak dicabar oleh sesiapa. Manakala, bagi jawatan Timbalan Ketua pula akan berlaku pemilihan membabitkan tiga penjuru iaitu Ust Kheirul Farid Mahmud yang mempertahankan jawatannya, dicabar oleh Ust Yusri Miskan yang kini menjawat sebagai Naib Ketua dan juga Sdr Izwan bin Baidawi yang merupakan Pengarah Amal Kapar.

Bagi jawatan Naib Ketua pula, pencalonan yang diterima dan disahkan adalah sebanyak empat pencalonan dan akan berlaku pertandingan empat penjuru iaitu Ust Mohd Farid Zainal yang merupakan Pengerusi Jabatan Pelajar dan Mahasiswa DPPK, calon yang kedua ialah Ust Mohd Faizan Subkhi yang merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan, calon yang ketiga pula ialah Sdr Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar yang merupakan Ketua Pemuda Cawangan Jalan Yadi Sg Udang dan calon yang keempat ialah Sdr Mohd Fared Hassan yang juga sebagai Ketua Penerangan DPPK kini.

Sesi usul pula, pada kali ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar akan membentangkan semua usul yang dikemukakan oleh pemuda cawangan untuk dibahaskan. Ini dilakukan bukan sahaja untuk menghargaikan pandangan mereka menerusi usul tersebut, tetapi juga untuk mengetahui maksud sebenar usul tersebut disampaikan dan menggalakkan sesi percambahan minda di kalangan perwakilan berlaku dengan baik.

Semoga, Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada kali ini akan menatijahkan sesuatu yang baik dan bermanfaat khususnya untuk para ahli pemuda PAS Kawasan Kapar yang diharapkan memberi lonjakan baru dalam semangat berjuang, bekerja dan berkorban demi Islam dalam wadah parti PAS yang dicintai ini.

0 ulasan: