Tahun Sukar yang Mendewasakan...


Tengahari tadi selepas bermesyuarat berkenaan perpindahan operasi bas ke Klang Sentral buat ke sekian kalinya, saya bersama rakan-rakan ahli majlis iaitu Hj Termizi, Hj Razali dan Azmizam menerima pelawaan Hj Ismail untuk makan tengahari di tempat pilihan beliau. Tanpa disangka-sangka kenderaan Hj Ismail yang kami naiki, menerima kecelakaan dihempas motorsikal yang datang dari arah bertentangan dengan lajunya memotong dua kenderaan di selekoh dengan garisan berkembar! Pemandunya yang tercampak sehingga ke belakang kenderaan kami meraung kesakitan. Walaupun tiada pendarahan berlaku, kereta ambulan dipanggil untuk keselamatan dan mudah-mudahan penunggang itu tidak mengalami kecederaan dalaman yang serius!

Itu adalah cerita yang berlaku pada hari ini, setelah pada sebelah paginya dalam mesyuarat bersama Yang Berhormat dan Ahli-ahli majlis telah berjaya mengumpulkan suara majoriti untuk satu keputusan mantap berkenaan perpindahan operasi bas ke Klang Sentral. Sebenarnya, tiada apa-apa keputusan baru yang dicapai, hanya mungkin kalau boleh dikatakan sebagai satu pungutan suara untuk melihat pandangan sebenar setiap kepimpinan di Klang berkenaan isu ini. Itu sahaja.

Sukar juga untuk menghadapi isu perpindahan bas ini rupanya. Terlalu banyak pihak yang berkepentingan di sini dan di sana menyuarakan hak mereka tak kiralah dengan cara apa sekalipun, ada yang bising-bising sahaja, ada yang menulis surat, ada yang membuat kenyataan akhbar, ada juga yang berpiket membantah dan sampai memboikot serta tidak menghiraukan keputusan majlis. Ditambah lagi dengan peruntukan undang-undang kepada majlis yang terhad, pihak yang sepatutnya membuat penguatkuasaan tidak memberi kerjasama terbaik, pegawai-pegawai majlis sendiri yang kurang efisien dan macam-macam lagi cabaran yang terpaksa ditempuh!

Itu semua, gara-gara saya diamanahkan untuk menjadi ahli majlis oleh parti. Mahu tidak mahu terpaksa juga menghadapi pelbagai permasalahan yang bukan masalah saya pun, untuk diselesaikan. Itu belum lagi masalah-masalah dalaman majlis yang melibatkan jabatan-jabatan serta berbondong-bondong aduan masyarakat sampai di meja saya untuk diambil perhatian. Apalagi fitnah dan cerita-cerita panas yang dikaitkan dengan ahli majlis, setiap inci pakaian dan peralatan yang digunakan oleh kami akan cuba dikaitkan dengan wang rasuah dan hadiah kontraktor.

Sungguh! Itulah yang berlaku pada saya dan rakan-rakan ahli majlis dalam tempoh setahun ini, ada yang sampai keretanya di simbah cecair seperti asid dan juga pelbagai ugutan itu dan ini dan juga surat layang. Belum lagi kisah rakan-rakan yang terpaksa menghadapi cabaran dalaman parti dek kerana jawatan maka berlaku perpecahan, cabar-mencabar dan sebagainya terpaksa diharungi. Pengalaman yang ini saya tiada.

Oleh sebab itu, cepat-cepat saya pulangkan semula ke dalam mesyuarat PAS Kawasan untuk membuat penilaian adakah khidmat saya sebagai ahli majlis yang dicadangkan parti perlu diteruskan atau pun tidak. Saya akan terima dengan patuh sebarang keputusan kerana saya akan merasa sangat lega jika jawatan itu diberi pada orang lain dan dalam masa yang sama jika saya diberikan semula kepercayaan itu maka pilihan yang ada ialah saya mesti melaksanakannya bersungguh-sungguh.

Saya tidak akan menjadi seperti Khairy Jamaludin yang berpura-pura menerima kedudukannya yang tidak dilantik menjadi menteri tetapi dalam masa yang sama membuat serangan hendap kepada pentadbiran DS Najib. Sungguh! Saya akan memikirkan sepenuhnya untuk membina barisan pemuda yang kukuh di Kawasan Kapar ini kerana saya baru sahaja menyandang semula sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar yang juga begitu lain cabarannya.

Maknanya akan kurang lah skop cabaran yang bakal saya terima. Banyaklah masalah-maslaah yang bukan masalah saya itu tidak perlu untuk saya ambil peduli sangat. Banyak juga perkara yang kurang menjadi keutamaan sebelum ini akan menjadi keutamaan untuk saya selepas ini seperti memperkasakan tarbiyah pemuda, memperkasakan PASTI, memperkasakan ekonomi, menyambung pelajaran dan sebagainya.

Tetapi jika parti masih menghendaki saya sebagai ahli majlis, akan saya hadapi segala cabaran, mesyuarat, tikam lidah, aduan, piket, surat layang, fitnah, sikap pegawai, sikap ahli majlis, sikap Yang Berhormat, sikap EXCO, sikap media, sikap wartawan dan yang pasti elaun yang tak cukup makan itu juga! Semuanya kerana Islam dan jamaah, insya Allah. Ia akan mendewasakan!

0 ulasan: