Satu perkara yang pihak kerajaan BN rumuskan bila menghadapi himpunan bantahan oleh rakyat ialah bertindak lebih keras! Apatah lagi himpunan raksasa. Begitulah yang dapat kita lihat dalam himpunan PPSMI pada Sabtu yang lalu.


Saya dan rakan-rakan hadir hanyalah dengan jangkaan untuk meramaikan acara sambil peluang untuk berjalan kaki di jalan utama di tengah-tengah ibukota yang biasanya sesak oleh kenderaan dan tiada siapa pun memilih untuk berjalan kaki di situ.

Setelah memilih untuk menaiki kenderaan awam daripada Stesen Bas Klang Sentral, tak terasa langsung tekanan sekatan jalan raya oleh polis cuma agak bimbang dengan hujan dan lewat ditinggalkan oleh kumpulan perarakan.

Sampainya di Central Market melihat ramai lagi anggota Unit Amal solat di surau sudah terasa bahang kejayaan himpunan ini walaupun tak sehebat Himpunan BERSIH. Selesai solat kami menuju Masjid Negara tempat tumpuan himpunan melalui susur Dayabumi. Keluar susur jalan itu sudah terlihat kumpulan perarakan terdiri dari mahasiswa lelaki dan perempuan penuh semangat. Kumpulan ini terus menuju Istana Negara kerana kumpulan dari Masjid Negara pun sudah berlepas ke sana.

Kami menelusuri Jalan Kinabalu menuju 'Federal Highway' dan mungkin ke Jalan Kg Attap untuk berhimpun di depan Istana Negara. Namun hembusan gas pemedih mata yang telah dilepaskan khabarnya di depan Istana Negara sudah cukup menyesakkan! Ketika ini sudah bercantum beberapa kumpulan yang entah dari mana tersekat di 'Federal Highway'.

Oleh kerana sekatan yang dibuat di depan Istana Negara, kumpulan di 'Fedaral Highway' hanya mundar-mandir di situ. Sekejap maju dan sekejap berundur semula setelah ditembak gas pemedih mata. Tetapi kumpulan yang berjumlah lebih 5000 orang ini tetap juga melakukan beberapa kali cubaan untuk bercantum dengan kumpulan Istana Negara, walaupun akhirnya diarahkan pulang semula ke Masjid Negara kerana memorandum telah berjaya diserahkan. Beberapa das tembakan gas sempat juga dilepaskan sebelum kami segera ke Masjid Negara.

Berjalan ke Masjid Negara terasa terharu dengan sikap-sikap peserta perarakan. Suasana mesra sambil bertukar-tukar ayat paling berbisa untuk Polis dan Pemimpin Negara dihiasi dengan gelak ketawa, terasa kegembiraan yang terus melupakan kepedihan gas yang telah dirasai sekejap tadi. Namun kegembiraan kami segera dirangsang oleh adegan semburan cecair dan tembakan gas sekali lagi betul-betul di hadapan Masjid Negara.

Setelah reda sekejap, terasa keinginan yang membuak-buak untuk merasai pula bisa semburan dan gas di sana pula. Kumpulan kami berjalan bersusun melintasi depan 'truck' FRU yang membuat semburan dan berkubu di dalam masjid. Baru sebahagian berjaya meloloskan diri ke dalam masjid semburan dan tembakan yang ditunggu-tunggu menerjah masuk ke halaman dan ruang masjid.

Kali ini lebih lagi jumlahnya sampai kiri dan kanan bahu saya dihujani tembakan dan terasa seperti lagak Keanu Reeve dalam Matrix! Setelah berlari mencari ruang untuk bernafas, baru sedar wanita dan kanak-kanak rupanya sama menderita di dalam masjid itu, terduduk dan bergelimpangan menangis merasai sedikit derita ala Ghaza diserang Yahudi.

Keadaan akhirnya reda, kesakitan yang dirasai beransur hilang. Keberanian peserta himpunan kembali menguasai. Berkumpul sekejap di dalam masjid dan di luarnya sambil berhadapan dengan 'truck' FRU yang tidak tahu bakal menyembur atau tidak. Setelah beberapa ketika berkumpul, bermesra bertemu kawan-kawan sekampung, kawan-kawan lama, bertanya khabar, merakam gambar dan bertukar pandangan, 'truck' FRU yang ganas itu beredar dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Barulah terasa haus dan lapar. Segera berkumpul dengan rakan-rakan untuk mencari habuan tekak dan perut pula...

0 ulasan: