Jangan Gelabah dengan Tn Guru Kita..

Sangat menarik jika kita analisa kenyataan-kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden kita. Bukan sekali kenyataan-kenyataan mereka mencabar minda semua orang! Ya, semua orang termasuklah ahli dan pemimpin PAS tak terkecuali wartawan media dan lebih-lebih lagi pemimpin lawan!!

Biasanya, cerita baru akan dicipta dengan kenyataan mereka yang cukup mendebarkan hati terutama ahli dan pemimpin PAS semua peringkat. Ia akan kelihatan sangat negatif, provokatif dan mendedahkan peluru-peluru media sesumpah BN untuk dimuntahkan kepada PAS.

Dari dulu lagi memang begitu. Memang sukar untuk menjawab pada permulaan isu itu ditimbulkan! Isu 'Barua', 'Tuhan Samseng' dan terkini isu 'Kerajaan Perpaduan'. Tetapi lumrahnya, isu ini akan diperdebatkan di sana-sini, dalam ceramah, dalam kuliah, dalam email, dalam blog, akhirnya ia akan jadi lumat selumat-lumatnya sampai betul-betul difahami dan tak berani lagi pihak lawan untuk memainkan isu itu. Begitulah kesudahannya.

Karisma Tuan Guru kita memang begitu. Sebab itu orang hormat, orang sayang pada mereka. Orang yang suka marah-marah akan jadi malu sendiri akhirnya. Orang yang suka merendahkan dan meremehkan akhirnya orang itu jugalah yang akan menjulangnya.

Ketika, Parlimen Bukit Gantang diisytiharkan kosong, bukan sedikit suara yang meminta supaya Hj Ir Nizar dijadikan calon untuk ukur sejauhmana sokongan rakyat pada beliau dan Pakatan Rakyat. Tuan Guru Nik Aziz menolak atas alasan beliau Menteri Besar dengan penolakan yang bersungguh-sungguh, sampai semua orang yakin Hj Ir Nizar tidak akan dicalonkan untuk kerusi itu. Semua orang termasuklah BN/UMNO semua peringkat.

Sejak itu, Hj Ir Nizar cuma dijadikan bahan berita media kerana krisis di Perak, tidak lebih dari itu. Wajahnya kerap dalam media kerana berita-berita yang diciptanya. Orang ramai yang perihatin, cuba mencari berita sebenar dan memberi simpati pada beliau sebagai orang yang teraniaya.

Akhirnya, beliau dijulang sebagai calon Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang ketika UMNO dan media seluruhnya sibuk dengan Mesyuarat Agong mereka yang sarat isu dan rasuah itu. Hj Ir Nizar dibiarkan media tanpa berita-berita memburuk dan membunuh karektor beliau. Hj Ir Nizar telah terpahat wajahnya yang perlu diberi simpati di dalam sanubari rakyat.

Media UMNO/BN telah mensia-siakan masa yang panjang yang telah diberikan oleh SPR untuk membunuh karektor Hj Ir Nizar kerana tertipu dengan kenyataan Tn Guru Nik Aziz. Sebab itu ahli PAS semua jangan gelabah lah dengan Tuan Guru kita, sabar sedikit, nanti ada berita baik di penghujungnya. Tunggulah saja isu kerajaan perpaduan pula.

0 ulasan: