Gempar: Spesis Terancam Dijumpai di Taiping!

Tak sangka betul itu yang bakal saya temui. Perjalanan saya ke Taiping bukanlah dirancang sangat kerana banyak program-program di Meru dan sekitarnya pun tak kurang juga walaupun tiada pilihanraya kecil di situ. Tapi kerana ingin melihat apa yang berlaku di Bukit Gantang pasca pilihanraya kecil, dihalakan juga motokar ke sana.

Oleh kerana, saya sampai pun agak lewat sekitar jam 2 pagi, tidak banyak aktiviti yang berlaku di Bukit Gantang sekitar Changkat Jering di mana tempat 'exit' dari lebuhraya Pantang Lalu Undur Selalu / PLUS. Seperti lazim di mana-mana pilihanraya di Malaysia ini, kibaran bendera lambang BN tetaplah menjadi penyemak utama di sekitar kawasan pilihanraya.

Setelah menyegarkan diri dengan secawan kopi, kami mencari-cari tempat untuk berehat sementara menunggu subuh menjelang. Kami memilih untuk meletakkan kenderaan berdekatan sebuah masjid di bandar Taiping, mengambil kira faktor ia terletak di bandar dan mungkin kurang tumpuan kerana berada di luar kawasan pilihanraya berdasarkan tiada bendera parti dicacakkan di situ. Mudah untuk kami solat subuh nanti dan membersihkan diri.

Terdapat juga jemaah lain di masjid tersebut yang datang dari luar kawasan untuk tujuan pilihanraya. Kami berehat sekejap sambil menunggu waktu fajar. Kami dikejutkan dengan laungan azan subuh beberapa ketika. Nyata agak nyenyak tidur kami. Suasana sudah berubah, jemaah semakin ramai dan berpusu-pusu. Untuk mengambil wudhuk sahaja sudah menunggu 15 minit. Solat jemaah dibuat beberapa kali kerana ruang solat tidak mencukupi. Malah bekalan air masjid tersebut juga kehabisan!

Rupa-rupanya percaturan kami tersilap kerana masjid itulah yang paling dekat dengan tempat penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Orang ramai, penyokong PAS segera bergegas berarak dengan pakaian dan bendera masing-masing walaupun waktu masih awal dan gelap lagi. Tetapi penyokong PAS tidak sendiri kerana diiringi pasukan Polis dan FRU yang entah berapa trak berpusu-pusu seperti akan berlaku kekacauan dahsyat di Taiping.

Kami menyusur arus manusia yang ramai itu kerana kami pun tidak tahu arah dituju. Ketika itu seakan-akan bandar Taiping sudah ditawan olah pasukan orang berbaju hijau. Mereka datang dari setiap penjuru, sampailah di kawasan berbukit di mana orang ramai, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul dan bersorak-sorai seperti baru menang perang! Di situlah, di Dewan Majlis Perbandaran Taiping akan diadakan penamaan calon untuk pilihanraya ini.

Akan tetapi, agak menghairankan kerana tiada penyokong lawan di sekitarnya. Langsung tidak ada, bendera BN bahkan orang-orang BN pun tiada, yang ada hanya polis dan FRU. Tersilap tempat kah kami? Oleh kerana, sudah terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat di sini ditambah dengan kehadiran para pemimpin bahkan calon juga melalui kawasan berkumpul ini, kami yakin penyokong-penyokong BN yang tiada di situ.

Semakin ramai penyokong calon PAS yang hadir sampai penuh ruang yang dikhaskan sehingga orang ramai terpaksa menawan bukit-bukit di belakang mereka, itupun masih tidak mencukupi. Sehinggalah kemunculan penyokong-penyokong BN yang mula berarak masuk memenuhi tempat kumpul mereka yang tidak penuh pun, para penyokong PAS masih tidak putus berarak memenuhi kawasan mereka.

Sorak-sorai penuh mesej dan sindir, nyata menggamatkan. Teriakan seperti RASUAH, RASUAH, RASUAH... ALTANTUYA, ALTANTUYA, ALTANTUYA.. nyanyian, zikir dan selawat bergema tidak sudah-sudah. Ombak manusia juga dibentuk dari orang ramai yang memenuhi lereng bukit seperti menyambut pasukan bola sepak. Perhimpunan hari ini cukup mengujakan dan paling meriah! Paling kurang 20,000 orang di situ.

Namun, yang menggemparkan ialah penyokong-penyokong BN yang tenggelam dek kemeriahan penyokong PR. Kakak-makcik berselendang merah tak kelihatan, adik berskaf merah jambu juga entah ke mana, apalagi abang-pakcik yang berbaju biru itu. Mereka sudah tenggelam bahkan sudah jadi spesis terancam di Taiping. Boleh dimasukkan muzium ataupun zoo saja kerana jumlah mereka tak sampai pun 1/10 dari jumlah yang hadir.

Apa pun, kerja kuat penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tetap dituntut di Bukit Gantang. Gambaran sedikitnya penyokong BN ketika hari penamaan calon tidak boleh menjadikan PAS selesa sehinggalah pengumuman kemenangan PAS dengan majoriti berganda di Bukit Gantang nanti.

0 ulasan: