Kahwin Bukan Penghalang Perjuangan


SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA KETUA PEMUDA PAS JYSU
SDR IKHMAL DAN PASANGANNYA

Alam perkahwinan merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh setiap syabab. Hidup berkeluarga merupakan salah satu anugerah Allah swt kepada hambaNya. Manusia akan merasa dirinya bahagia bersama pasangan hidupnya apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak yang menjadi qurrata'ain.

Namun tidak dinafikan, sebilangan syabab merasa bimbang dengan perkahwinan. Bimbang perkahwinan akan menjadi penghalang untuk aktif berjuang. Fenomena ini memang berlaku, walaupun bukanlah semua syabab begitu. Bahkan dimomokkan kepada syabab-syabab yang belum berrumahtangga.. 'alah kau belum kahwin, bolehlah..'

Sebenarnya, bagi sesiapa yang inginkan alasan untuk lari dari perjuangan, dia tak perlu menunggu selepas berkahwin. Sebaliknya, jika seseorang yang menghayati perjuangan, dirinya akan mendapati perkahwinan adalah satu lagi sebab utama mengapa dia perlu aktif berjuang.

Hakikatnya, perjuangan menegakkan Islam memerlukan masa yang panjang. Rasulullah SAW telah meletakkan asas sifat perjuangan Islam begitu. Justeru, apabila kita memilih perjuangan Islam, kita telah meletakkan asas bahawa kejayaan dan hasil perjuangan kita itu kemungkinan besar kita tidak merasainya. Ia akan dirasai oleh generasi-generasi seterusnya.

Jadi, siapakah generasi-generasi seterusnya kalau bukan anak-anak kita? Anak-anak kita yang lahir dari perkahwinan yang suci itu. Adakah kita mahu anak-anak kita hidup dalam suasana masyarakat jahil ataupun dalam masayarakat yang cintakan Islam? Sebab itu, kita perlu menggembleng fikrah dan tenaga bersama pasangan kita itu untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

Syabab mesti berusaha menggembleng fikrah supaya pasangannya juga faham, hakikat perjuangan bukanlah untuk memenangkan Parti PAS dalam pilihanraya sahaja. Bahkan untuk membina masyarakat dan negara Islam yang dirahmati dan diredhai Allah swt. Bila kita berjaya menyemai fikrah itu dalam keluarga kita nescaya masing-masing akan berlapang dada dan ghairah untuk aktif berjuang!

InsyaAllah, kemanisan berumahtangga akan lebih dirasai kelazatannya dengan nikmat yang berpanjangan kerana merasa yakin diri telah menggalas tanggungjawab bukan hanya kepada tubuh isteri dan anak-anak sahaja bahkan kepada Allah swt dan ummah seluruhnya. Jika tidak, ianya tidak lebih dari merasa nikmat yang sedikit dan letih yang berpanjangan serta perasaan bersalah terutama apabila melihat ummah lemah dengan maksiat dan gejala sosial yang tidak berkesudahan..

0 ulasan: