Adegan terkini drama Perak semua sudah tahu bahkan seluruh dunia pun tahu. Sidang DUN paling bersejarah diadakan di bawah sepohon pokok seperti Raja Pasir Dua Butir bersemayam di atas takhtanya di bawah pokok. Itu dalam filem Allahyarham P.Ramlee Laksamana Do-Re-Mi.

Satu masa nanti peristiwa ini akan direkodkan di dalam buku teks pelajaran Sejarah anak-anak kita sebagai peristiwa penting. Itupun kalau buku sejarah itu masih ditulis dalam Bahasa Melayu. Manalah tahu kalau pelajaran Sejarah pun bakal menjadi seperti PPSMI. Maknanya pemerintah sedia ada kini akan kekal hingga zaman itu dan pelajaran Sejarah akan diinggeriskan maka tiadalah peristiwa sidang di bawah pokok dalam lipatan sejarah!

Oleh itu, hiruk pikuk ini perlu segera ditamatkan. Kalau tidak semua akan jadi celaru. Bayangkan nanti negeri Perak akan mempunyai menteri besar sebanyak 17 orang dalam tempoh sebelum pilihanraya umum berlangsung! Bagaimana mungkin dasar kerajaan negeri dapat dibentuk? Apakah jenis belanjawan yang akan dinikmati oleh rakyat Perak? Atau tiada langsung belanjawan?

Rakyat Perak akan jadi mangsa kerana ketamakan kuasa Menteri Fa-So-La yang merampas pemerintahan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan. Alasannya terlalu remeh hanya kerana tidak mendapat restu untuk mengahwini puteri baginda seperti hanya kerana sokongan ADUN yang berpaling tadah dan mempunyai kes rasuah di Mahkamah yang sedang dibicarakan.

Menteri Fa-So-La mempunyai kekebalan seperti kebalnya pemimpin BN dengan SPRM dan Mahkamah!. Namun Menteri Fa-So-La boleh dibunuh dengan buluh runcing dan ditikam di tapak kakinya! Laksamana Do-Re-Mi akan melaksanakan tugas ini. Dalam filem tersebut mereka berjaya kerana ia filem!

Laksamana DO-Re-Mi ini mungkin akan muncul dari dua bukit iaitu Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Seorang lagi mungkin dari Batang Ai. Mereka ini akan bawa bersama alat-alat ajaib dan buluh runcing iaitu suara rakyat yang keramat itu.

0 ulasan: