Pemuda Kapar Perlu Mencorak Parti

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL
"Wahdah Pemangkin Khaira Ummah"

Kemeriahan mesyuarat agung sedang dirasai di sana-sini. Ketika ini cawangan-cawangan PAS di Kawasan Kapar sedang bermesyuarat agung sebelum Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Kawasan Kapar pada 22 Mac 2009 diikuti dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada 12 April 2009 dan diakhiri dengan PAS Kawasan Kapar pada 26 April 2009.

Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Namun, desas-desus pemilihan baru seperti tidak kedengaran sebagaimana tahun-tahun pemilihan yang lazim. Dalam PAS, ahli melalui cawangannya berhak mencalonkan siapa sahaja yang dirasakan layak sebagai pemimpin. Tiada istilah lobi-melobi atau menurut arahan pimpinan, dan harapnya begitulah selamanya.

Ahli dididik supaya menjadi matang untuk memilih pemimpin. Pemilihan bukan atas faktor populariti dan kedudukannya tetapi dipilih berdasarkan taqwa dan kepimpinannya. Begitulah keadaannya, walaupun selepas PAS memeperolehi kemenangan di Selangor melalui Pakatan Rakyat. Ahli dididik supaya memilih pemimpin berdasarkan merit jamaah dan merit Islam bukan bersandar pada faktor semasa.

Tidak semestinya kerana seseorang itu ada jawatan dalam kerajaan, maka dia perlu 'dimasukkan' dalam saf kepimpinan parti dan jamaah, tak kiralah sama ada seorang Ahli Parlimen, ADUN, EXCO atau Ahli Majlis sepatutnya ia tidak mempengaruhi ahli untuk membuat pencalonan dan pemilihan.

Ahli perlu sedar bahawa jawatan-jawatan tersebut hanya diperolehi oleh seseorang individu itu atas ihsan parti dan jamaah. Seorang YB hanya akan menjadi YB setelah parti dan jamaah memilihnya sebagai calon pilihanraya dan memenangi pilihanraya tersebut. Begitu jugalah yang lain-lainnya. Maka, bukan sahaja ahli bahkan semua individu yang telah memiliki jawatan ini juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh menjadikan alasan jawatan untuk menjadi pimpinan parti dan jamaah.

Justeru, ahli khususnya pemuda perlu matang membuat pemilihan. Ahli Majlis tak semestinya perlu kekal sebagai Ketua Pemuda. Sebaliknya, Ketua Pemuda boleh dilantik sebagai ahli majlis jika dipersetujui parti. Ahli Pemuda digalakkan untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang mempunyai kriteria layak sebagai Ketua Pemuda dan AJK nya.

Pencalonan ini penting bagi menggarap kekuatan parti. Muka-muka baru dan mempunyai kelayakan kadang-kadang tidak dilihat oleh pimpinan perlu segera ditonjolkan oleh cawangan-cawangan. Lebih-lebih lagi muka baru di kalangan Saf Pemuda. Bukanlah bermaksud yang sedia ada tidak layak dan perlu diganti, tetapi mencari pengganti yang lebih afdhal adalah satu keutamaan kerana ingin melihat parti dan jamaah menjadi lebih kuat. InsyaAllah

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ni kira kempen ke ??? walau apa pun saya mendoakan yang terbaik utk DPP Kapar. Selamat berjuang..ALLAHUAKBAR !!!