Jangan lupa mengikuti drama minggu ini al-kisah Perak. Sejarah drama politik baru sedang dicipta di sana. Sampai saat ini pun belum tahu klimaksnya, walaupun ia dijangka boleh berlaku bila-bila masa. Tapi tak tau lah jika ini jenis drama yang anti klimaks. Macam sinetron Indon yang dipanjang-panjangkan sampai naik muak mengikutinya.

Jika ada drama yang hebat, selalunya pengarah yang akan dipuji kerana berjaya menghidupkan cerita yang dibawa dalam drama tersebut. Jarang sekali penulis skripnya diberikan kredit atas garapan cerita menarik yang diilhamkannya. Walhal, penulis skrip inilah yang biasanya mencetus idea dan membina plot cerita yang kemudiannya difahami oleh pengarah dan diterjemahkan melalui drama yang diarahkan.

Semua orang melihat drama al-kisah Perak ini sutradaranya adalah Najib. Tapi kita kena juga meneka siapa penulis skripnya. Drama hebat ini baru bermula dan mungkin sedang klimaks ataupun anti klimaks. Jadi kalau nak teka perjalanan drama ini, kenalah tahu siapa penulis skripnya. Baru kita boleh jangka bentuk cerita bagaimana yang bakal disampaikan. Klimaks kah atau anti klimaks kah?

Jika akan berlaku klimaks, skripnya mungkin kerajaan Perak akan bertukar tangan kepada BN, Najib akan mendapat kredit dan akan mendapat mandat penuh dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti langsung menepis semua tohmahan terhadap diri dan isterinya. Dengan megahnya beliau akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ulung.

Jika anti-klimaks, penulis skrip pasti memilih untuk kerajaan Perak dibubarkan dan pilihanraya peringkat negeri akan berlangsung. Episod debaran ini akan lebih panjang, walaupun anti-klimaks tetapi ratingnya tentu tinggi macam sinetron Indon. Seterusnya berlaku episod dramatik pilihanraya, akhirnya Pakatan Rakyat akan memenanginya seperti jangkaan ramai pihak. Lalu drama ini akan jadi meleret-leret, sampai Perhimpunan Agung UMNO. Golongan penentang Najib akan mendapat 'kuasa sakti' untuk menghentam dan mengheret salahlaku Najib semahu-mahunya, biasala budaya UMNO! Berlakulah anti klimaks apabila Najib tidak berjaya mendapat sepenuh mandat dan parti berpecah!

Memang anti-klimaks kerana akhirnya beliau ditolak untuk menduduki kerusi nombor satu UMNO sekaligus tidak jadi dinobatkan sebagai Perdana Menteri! Sama ada Perdana Menteri sekarang kekal ataupun ditukar kepada orang lain penulis skrip belum fikirkan mana yang lebih dramatik! Kemudian drama akan disambung meleret-leret lagi dan lagi dan lagi.


Tetapi episod anti-klimaks ini sebiji macam sinetron Indon, kena letak harga berpatutan supaya stesen TV boleh menerimanya. Nak tahu jenis apa drama ini,kena tahulah penulis skrip ini jenis yang bagaimana dan naskhah yang biasa diciptanya. Kalau penulis skrip ini ialah budak tingkat empat, sudah pasti siri anti klimaks akan dipilihnya!

Walau apa pun drama yang bakal digarap nanti, dalam pentas kehidupan realiti penulis skrip dan pengarah mutlaknya adalah Allah swt. Apa-apa pun boleh berlaku atas kehendaknya, kerana stesen TV mediaalam adalah miliknya juga. Dalam keadaan tidak menentu ini, teringat pada peristiwa 2004 apabila kerajaan negeri Kelantan hampir jatuh ke tangan BN, Tuan Guru Mursyidul-am meminta kita semua bermunajat bersungguh-sungguh memohon agar kerajaan Islam negeri Kelantan diselamatkan. Alhamdulillah ia bertahan walau dengan majoriti setipis-tipisnya dengan kelebihan satu kerusi itupun dengan dua undi sahaja (selepas pilihanraya kecil Pasir Mas). Ia kekal menurut kehendak Allah swt jua. Barangkali sentuhan Tuan Guru Mursyidul-am sangat diperlukan ketika ini untuk menggerakkan ahli yang leka mengikuti drama ini agar segera membentang sejadah mereka masing-masing... Semoga Allah swt membantu kita semua.. amin!!

0 ulasan: