Walaupun kes ADUN lompat parti pernah berlaku dalam sejarah politik negara, namun ia telah menjadi satu fenomena baru sejak pengumuman '16 September' dibuat oleh DSAI dengan agenda pembentukan kerajaan baru melalui kaedah MP melompat parti.

Ketika itu ramai juga yang tertunggu-tunggu tarikh 16 September itu seperti menunggu-nunggu pengumuman anak bulan Syawal. Tanpa mempedulikan kesan pembentukan kerajaan melalui kaedah tersebut, ia seperti dianggap bulan jatuh ke riba! Tak kiralah macamana pun, harapnya ialah bulan jatuh ke riba. Hampir semua pimpinan Pakatan Rakyat pun seperti menunggu pucuk dicita ulam mendatang, walaupun ada suara tidak popular yang tidak bersetuju dengan kaedah tersebut!

Cadangan Akta Lompat Parti yang dicadangkan oleh MP BN ketika itu pula hanya dianggap sebagai langkah akhir mereka untuk menyelamatkan diri, tanpa meneliti kesan positifnya secara mendalam. Akhirnya bulan tidak jatuh ke riba, pucuk dicita tiada apa yang dicapai Pakatan Rakyat kekal pembangkang di Parlimen.

Episod hari ini pula sudah tersasar dari jangkaan kita. Umpama 'yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran'. Agaknya kita sedang diberi pelung untuk mengkoreksi diri kita barangkali. Justeru ayuh kita fikirkan bersama iktibar daripadanya.

Mesyuarat Agung PAS semua peringkat akan berlangsung tidak lama lagi, bawalah berbincang perkara ini di dalam usul supaya memikirkan buruk baiknya ADUN atau MP yang lompat parti kepada jemaah yang kita dokongi dan pakatan kita.

Secara pandangan peribadi, jika ada ADUN atau MP yang ingin melompat parti ke Pakatan Rakyat dia boleh diterima keahliannya tetapi mandat perlulah diberi semula kepada rakyat iaitu jawatan sebagai ADUN dan MP perlu dilepaskan agar pilihanraya kecil berlangsung.

Dalam hal ini kita perlu berjiwa besar, apatah lagi sifat integriti itu perlu dipamerkan untuk dibuat perbezaan oleh rakyat.

Walaupun mungkin tiada peruntukan undang-undang mengenainya, tetapi jika ia dibuat sebagai polisi parti sahaja pun sudah memberi impak kepada rakyat dan parti lawan tentang pendekatan dan pendirian kita dalam soal integriti dan ketelusan.

Dalam soal ini, agak sedikit kagum dengan pendirian DAP untuk segera menggubal Akta Lompat Parti.

0 ulasan: