'PAS for All' itu suatu yang 'real'


Semalam 31 Januari 09, PAS Kawasan Kapar telah menganjurkan satu majlis munaqasyah daripada Ucapan Dasar Presiden tertumpu pada tajuk 'PAS for All' di Dewan Ismail Hashim, Markaz Tarbiyah PAS, Sementa.

Ironinya, munaqasyah ini adalah lanjutan program dalaman parti peringkat PAS kawasan untuk menjana 'wehdatul fikr wal amal', terutamanya pasca kemenangan PAS melalui Pakatan Rakyat di Selangor. Moderator kepada munaqasyah ini ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Saudara Roslan Shahir @ Roslan SMS.

'PAS for All' ialah slogan yang sangat signifikan kepada perkembangan PAS dewasa ini. Hakikatnya, slogan ini bukan sahaja memuntahkan madah kepada misi baru PAS, bahkan juga ia menuntut kepada satu eksplorasi ke arah medium dakwah baru yang sukar dan jarang disentuh bahkan mungkin 'taboo' bagi orang PAS sebelum ini.

Mahu tidak mahu, kepercayaan rakyat berbilang kaum kepada PAS lewat PRU yang lalu adalah gambaran kepada kemahuan yang tinggi masyarakat untuk melihat PAS berubah pendekatan kepada yang lebih dinamik. Namun, PAS tidak boleh berubah hanya kerana kemahuan pengundinya kerana PAS adalah parti yang memegang prinsipnya iaitu Islam.

Hakikat 'PAS for All' perlu diterjemahkan sebagai 'Islam for All'. Di sinilah cabaran sebenar PAS sebagai dai'e atau pandakwah kepada masyarakat pengundi sebagai mad'u atau yang didakwah. Pendekatan PAS perlu 'real' kepada masyarakat sebagai pendekatan yang ideal dan bukan sekadar cakap kosong dan janji manis terutama kepada masyarakat yang berbilang kaum terutamanya kaum melayu itu sendiri.

Kewujudan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai oleh penyokong-penyokong yang bukan ahli kerana kekangan perlembagaannya adalah satu keterbukaan PAS kepada semua kaum itu. Pun begitu, keterbukaan ini perlu dilihat sebagai perkasa dan bukan sekadar 'melepas batuk ditangga'. Kelab Penyokong PAS perlu berfungsi sebagai wadah yang mengumpulkan semua jenis penyokong yang ingin memahami perjuangan PAS. Hakikatnya, mereka perlu diletak sebagai mad'u yang prior dalam meletakkan darjah kecenderungan kepada PAS. Biarlah mereka diberi sedikit keistimewaan yang tidak dicemburui oleh ahli kerana beza antara mereka ialah ahli itu pendakwah dan penyokong itu mad'u. Bezanya lagi pendakwah itu sudah tentu dimuliakan di sisi Allah swt.

Justeru, Kelab Penyokong PAS perlu dijadikan instrument penting untuk menjayakan visi 'PAS for all'. Biarlah KPP ini diwarnai oleh pelbagai lapisan dan jenis manusia yang mahu kepada PAS, tetapi belum mahu kepada Islam yang total. Biarlah ia menjadi wadah kepada orang yang beralasan untuk menyertai PAS tetapi menyokong perjuangannya. Gambarannya mungkin satu hari nanti bendera-bendera PAS akan dijulang oleh makcik-makcik yang berambut perang dan berjambul, adik-kakak yang berseluar jeans malah berskrit pendek dengan baju t-shirt saiz baby, laungan 'allahuakbar' akan bergema oleh pakcik-pakcik berseluar pendek dan bert-shirt pagoda, begitu juga usahawan-kontraktor yang berpakaian dan berkasut jenama.

Ahli PAS perlu segera bersedia menjadi mad'u kepada gelombang ini. Waktunya sudah sangat hampir tiba, insyaAllah.

0 ulasan: