Musim Memilih Pemimpin

Tahun 2009 ini pastinya menjanjikan banyak babak-babak menarik di atas pentas politik Malaysia. Harapnya syabab tidak ketinggalan mengikuti setiap detik babak-babak ini. Jangan pula nanti terpinga-pinga pula bila rakan-rakan lain berbincang tentang 'hot-topic' yang berkisar tentang politik Malaysia tapi kita cuma tahu tentang vokalis MUH yang kecoh akan ditukar itu.

Politik bukan lagi jadi cakap-cakap orang pertengahan umur yang duduk di kedai kopi sahaja sekarang ini. Politik sudah semakin menjadi 'hot-topic' semua orang, lebih-lebih lagi orang muda. Dalam facebook, myspace, YM ramai yang sedang bicara tentang politik. Ayat-ayat cinta sudah tidak laku lagi kalau tak tahu bicara politik.

Orang muda sudah semakin sedar tentang politik, sudah ada idea sendiri tentang politik, idea yang segar dan baru pula. Syabab tidak boleh ketinggalan, bahkan syabab perlu jadi pembakar dan peneraju idea-idea politik orang muda.

Krisis di Perak juga telah membelah minda muda hari ini. Krisis ini tidak habis dengan terlantiknya Menteri Besar baru perampas kuasa itu. Bahkan skripnya dipanjang-panjangkan pula dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Nak buat macamana kalau empunya sebenar hakcipta skrip nak jadikan jalan ceritanya seperti itu.

Menjalar pula sampai ke DUN Selambau, Kedah. Skripnya macam sama, tapi mungkin plotnya berbeza. Rakyat dipaksa untuk memilih lagi.. Paksa dalam rela. Bagi rakyat, yang penting ialah memilih pemimpin mereka. Bagi parti ialah pemilihan rakyat adalah kemenangan mereka. Kemenangan mereka adalah pentanda kepada tanda yang banyak tanda.

Memilih di Parlimen Bukit Gantang, memilih di Dun Selambau. Jangan lupa memilih juga akan berlaku di PWTC nanti, Perhimpunan Agung UMNO. Tikanya mungkin dekat-dekat sama. Apa yang berlaku di Bukit Gantang dan Selambau akan menjadi skrip di PWTC nanti. Skrip PWTC belum boleh dikarang lagi gara-gara Bukit Gantang dan Selambau.

Memilih juga akan berlaku di Muktamar Sanawi PAS. Di mana belum ditentukan kerana sekarang banyak pilihan! Tapi belum kedengaran politik wang dalam pemilihan PAS, moga-moga takkan ada lah begitu.

Memilih dalam PAS, ialah memilih pemimpin yang paling baik di antara mereka. Kepimpinan Pemuda, Muslimat, Ulama' dan seterusnya ditentukan dengan meritnya yang tersendiri. Setiap pemimpin mengharapkan ada orang yang lebih baik untuk menggantikannya. Pemimpin sentiasa mencari-cari pengganti. Pengganti untuk memikul tugas, bukan pengganti yang boleh menjaga kepentingan atau boleh berkongsinya.

Musim memilih sudah sangat dekat. Dalam PAS tiada bahang, cuma sejuk memikirkan bimbang akan dipilih atau dikekalkan kelak. Sejuk kerana takut memikul amanah. Sejuk kerana bimbang kalau-kalau ada budaya baru melobi dan memburukkan. Sejuk kerana bimbang suasana kemenangan ini jadi badai yang melanda....

0 ulasan: