Batal Serah Jawatan PM kerana Tol?

Skrip babak terbaru minggu ini sudah pun bermula, plot kali ini nyata berbeza daripada plot-plot siri yang lalu. Ia bukan lagi isu lompat-melompat bahkan juga bukan isu pornografi. Tetapi ia adalah isu tol.

Plot isu tol tidaklah mendebarkan seperti episod lompat-melompat yang akhirnya dihabiskan dengan aksi rampasan. Bahkan ia tidaklah juga menjolok dada dan iman seperti isu pronografi. Tetapi episod tol mungkin akan menjadi episod dondang sayang ala-ala filem Hindustan.

Bermula dengan babak demonstrasi pemuda dan wanita UMNO yang menampakkan mutu lakonan slapstick yang dibuat-buat membantah kewujudan plaza tol di lebuhraya Grandsaga dan disambung dengan pengumuman sang menteri dengan penghapusan tol di lebuhraya terbabit. Tak cukup dengan itu, gaya plot Hindustan yang dilebih-lebihkan dengan pengumuman penghapusan tol seterusnya dibuat.

Tanpa semena-mena pula, hari ini pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuhraya telah dibuat oleh menteri sama yang tak ubah seperti plot filem Hindustan yang tiba-tiba watak heroin telah berubah dari budak kecil yang miskin dan comot kepada seorang gadis jelita yang misteri sepuluh tahun kemudian…

Lebih dramatik lagi, gadis tersebut dengan tiba-tiba bertemu dengan seorang pemuda yang gagah tanpa diketahui bahawa keluarga pemuda itulah yang menghinanya ketika gadis ini kecil dulu kerana ingin meminta sedekah seperti lagak Pak Lah yang mengkritik kenaikan kadar tol di lebuhraya terbabit yang diumumkan oleh menteri di dalam kabinetnya sendiri?

Agaknya apa kesudahan cerita ini? Semua boleh mengagak, mereka jatuh cinta kemudian berlaku konflik yang akan menagih simpati dan air mata penonton sampailah cinta mereka diabadikan seperti Pak Lah akan menjadi wira rakyat, menghalang kanaikan kadar tol dan tak jadi untuk letak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana alasan krisis ekonomi dan beranggapan ‘rakyat memerlukannya lagi’.. begitulah akhirnya.

Tetapi filem Hindustan lewat ‘Slumdog Millionaire’ nyata berbeza. Jalan ceritanya tak berapa penting tetapi gambaran filem itulah yang menjadi fokus sehingga memenangi banyak anugerah dunia seperti Oscar dan lain-lain lagi.

0 ulasan: