Usrah Nuqaba' Pemuda Perlu Diperkasa



Usrah Nuqaba' Muda, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berjaya dilaksanakan pada 25 Disember 2008 yang lalu. Al-hamdulillah kehadiran agak memberangsangkan untuk kategori program tarbiyah bagi golongan muda, apalagi dalam masa yang sama dianjurkan Pertandingan Bowling Persahabatan PAS Kawasan Kapar yang dianjurkan oleh Lajnah Sukan dan Kebudayaannya.

Apa pun yang penting speaker pada pagi tersebut Yang Berbahagia Ustaz Idris Ahmad telah memberi gambaran perjalanan usrah untuk diperkasakan. Beberapa cadangan untuk memperkasakan usrah khususnya peringkat pemuda telah dapat dirumuskan untuk diambil tindakan. Ini bagi memastikan momentum berterusan dalam pembinaan parti dalam diteruskan terutama dalam suasana kemenangan ini.

Usrah dilihat sangat relevan untuk menggalas cabaran ini, agar parti sentiasa menerima banyak pelapis-pelapis terutamanya di kalangan mereka yang faham aqidah perjuangan yang sebenar. Justeru, ketetapan untuk mengadakan Usrah Nuqaba' Muda secara lebih sistematik dan berkesan mesti segera direalisasikan.


Usrah Nuqaba' Muda ini nanti akan menjadi nadi terpenting dalam menggerakkan jemaah dan parti kerana sasarannya ialah pembinaan amilin dan murabbitin melaluinya. Cerapan yang berterusan oleh nuqaba' yang lahir dari usrah ini akan menjana nuqaba' baru yang sedia ada di dalam usrah-usrah yang dijalankan oleh cawangan-cawangan dan sayapnya.


Justeru, perlaksanaan kepada Usrah Nuqaba' Muda ini perlu diberi perhatian serius dan mendalam. Melaluinya banyak perkara boleh dilakukan terutamanya isu pengisian usrah. Nuqaba' Muda diharapkan dapat menyumbang idea dan pendekatan agar semua boleh berkongsi dan bertukar fikiran untuk dilaksanakan di peringkat usrah masing-masing.


Langkah Lajnah Tarbiyah untuk mewujudkan mekanisme ini wajar diteruskan lagi dengan langkah-langkah yang istiqamah dan mapan. Ayuh teruskan perjuangan..



0 ulasan: