Mohon Simpati Untuk Sang Penderhaka

Dalam sejarah melayu, penderhaka kepada raja atau sultan adalah sinonim dengan Hang Jebat. Sejarah Hang Tuah, Hang Jebat dan rakan lain-lainnya ada ditulis di dalam kitab Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang.

Semasa sekolah rendah dahulu, cikgu-cikgu sudah ceritakan tentang kitab sejarah dan cerita tentang Hang Tuah dan Hang Jebat ini. Malah di perpustakaan pun cikgu selalu tunjuk naskhah kitab sejarah melayu itu yang kelihatan tebal, usang dan besar itu tetapi tidak pernah diusik apatah lagi membelek dan mengkajinya.

Namun, sejarah Hang Jebat derhaka sering sahaja dijadikan topik perbincangan. Agak sukar untuk mencari konklusi siapa di pihak yang benar kerana sejarah ini unik dan dramatik. Kalau bukan Tun Sri Lanang yang menulis kitab ini, mungkin ia hanya dianggap satira rakyat sahaja. Akan tetapi, Tun Sri Lanang bukan penulis biasa bertaraf novelis atau penglipur lara bahkan beliau seorang ulama' yang mahir dalam ilmu agama seperti Fiqh dan Ilmu Hadis. Jadi wajarlah naskhah ini dijadikan bahan rujukan dan sandaran.

Umum melihat tindakan Hang Jebat menderhaka adalah wajar kerana menegakkan prinsip kebenaran dan keyakinan yang dipegangnya. Simpati datang juga bila beliau digelar sebagai penderhaka. Namun, bagi Hang Tuah yang setia menjalankan tugasnya juga dihormati kerana ketaatan dan pengorbanannya yang menjadi mangsa dalam mainan politik Istana.

Akhirnya, sejarah menghormati watak wira Hang Tuah berbanding Hang Jebat yang dilabelkan penderhaka dan kurang dikenang mahupun dihargai.

Sejarah itu barangkali sedang berulang, hanya pemain wataknya sahaja yang berbeza dan belum dapat ditentukan siapa memainkan watak siapa. Pastinya, dahulu di Melaka kini di Perak. Justeru, pemilihan watak yang tepat perlu segera direbut untuk menjadi orang yang dikenang dan dihargai. Watak itu, sudah tentunya bukan Hang Jebat tetapi adalah Hang Tuah!

Watak Hang Jebat yang tidak dihina bahkan dilimpahi simpati itu hampir sahaja direbut oleh Karpal Singh. Oleh kerana beliau bukan seorang melayu dan tidak beragama Islam, sentimen derhaka itu kelihatan melebih-lebih. Walhal, perbuatan beliau menyaman sultan mungkin ada kewajarnnya berbanding tindakan orang melayu UMNO yang jelas menderhaka tanpa kewajaran sebelum ini. Tidak mengapa kerana sejarah akan dipandang berbeza oleh kacamata generasi yang berbeza.

Apa yang lebih penting adalah watak hero yang bakal meraih nama dan dikenang itu. Kita mahu sahaja Nizar dinobatkan untuk watak ini. Watak yang terkorban oleh mainan politik dan membuat 'come back' bergaya dengan jasa yang bukan sedikit untuk dikenang! Tetapi kehendak media nampaknya mahu menghilangkan watak Hang Tuah dan hanya ada Sultan dan Hang Jebat sahaja. Situasi ini perlu diubah.

Justeru, satu perancangan untuk membuat 'come back' tersebut perlu dilakukan supaya rakyat nampak watak hero itu. Mungkinkah melalui Pilihanraya Kecil Bukit Gantang nanti akan diadakan 'come back' itu nanti ataupun tersilap langkah yang hanya akan mengesahkan watak Hang Jebat sahaja? Kalau Nizar menjadi calon, mungkin beliau hanya akan mengesahkan watak Hang Jebat dan membunuh watak Hang Tuah beliau.

Kalau itu berlaku maka amat malanglah kerana watak sultan memang sudah stereotaip dan tidak akan dipersalahkan. Kalau pun Nizar menjadi calon nanti, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan beliau memenangi watak Hang Tuah! Hang Tuah yang dituduh derhaka tetapi hakikatnya beliaulah yang paling taat dan berjasa.

Cuma akhir-akhir ini watak Hang Tuah bukan begitu kerana Hang Tuah moden hanya pandai bercinta dan memeluk tubuh isteri orang yang berkemban lewat teater PGL -Puteri Gunung Ledang... Apa sudah jadi??

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Harap Nizar berjaya menjernihkan hubungan PR dengan Istana.. Karpal bertindak betul, tapi tidak meraih sokongan...