Skrip babak terbaru minggu ini sudah pun bermula, plot kali ini nyata berbeza daripada plot-plot siri yang lalu. Ia bukan lagi isu lompat-melompat bahkan juga bukan isu pornografi. Tetapi ia adalah isu tol.
Plot isu tol tidaklah mendebarkan seperti episod lompat-melompat yang akhirnya dihabiskan dengan aksi rampasan. Bahkan ia tidaklah juga menjolok dada dan iman seperti isu pronografi. Tetapi episod tol mungkin akan menjadi episod dondang sayang ala-ala filem Hindustan.
Bermula dengan babak demonstrasi pemuda dan wanita UMNO yang menampakkan mutu lakonan slapstick yang dibuat-buat membantah kewujudan plaza tol di lebuhraya Grandsaga dan disambung dengan pengumuman sang menteri dengan penghapusan tol di lebuhraya terbabit. Tak cukup dengan itu, gaya plot Hindustan yang dilebih-lebihkan dengan pengumuman penghapusan tol seterusnya dibuat.
Tanpa semena-mena pula, hari ini pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuhraya telah dibuat oleh menteri sama yang tak ubah seperti plot filem Hindustan yang tiba-tiba watak heroin telah berubah dari budak kecil yang miskin dan comot kepada seorang gadis jelita yang misteri sepuluh tahun kemudian…
Lebih dramatik lagi, gadis tersebut dengan tiba-tiba bertemu dengan seorang pemuda yang gagah tanpa diketahui bahawa keluarga pemuda itulah yang menghinanya ketika gadis ini kecil dulu kerana ingin meminta sedekah seperti lagak Pak Lah yang mengkritik kenaikan kadar tol di lebuhraya terbabit yang diumumkan oleh menteri di dalam kabinetnya sendiri?
Agaknya apa kesudahan cerita ini? Semua boleh mengagak, mereka jatuh cinta kemudian berlaku konflik yang akan menagih simpati dan air mata penonton sampailah cinta mereka diabadikan seperti Pak Lah akan menjadi wira rakyat, menghalang kanaikan kadar tol dan tak jadi untuk letak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana alasan krisis ekonomi dan beranggapan ‘rakyat memerlukannya lagi’.. begitulah akhirnya.
Tetapi filem Hindustan lewat ‘Slumdog Millionaire’ nyata berbeza. Jalan ceritanya tak berapa penting tetapi gambaran filem itulah yang menjadi fokus sehingga memenangi banyak anugerah dunia seperti Oscar dan lain-lain lagi.
Program ini disertai 36 Pemuda dari 4 DUN yang berlangsung di Pusat paintball Taman Pertanian Malaysia Bukit Cerakah Shah Alam. Peserta terlebih dahulu diberi taklimat oleh pemilik Pusat Paintball, Raja Aznir berkaitan penggunaan senjata paintball yang digunakan.
Taklimat ini termasuk ciri-ciri keselamatan yang harus dipatuhi, ia bagi memastikan tiada kemalangan yang serius berlaku memandangkan peluru `pellet' untuk senjata yang digunakan mampu mencapai kelajuan sehingga 300 kaki sesaat.
Peserta kemudiannya dibahagikan kpd 4 pasukan (Gaza, Hamas, Hizbullah & Mujahideen) yang berentap sesama sendiri dalam beberapa permainan objektif (Objective Game) yang telah disusun.
Dua permainan pertama berbentuk latihan untuk menyesuaikan diri dengan Paintball dinamakan `Elimination game' dimana kedua-dua pihak cuba menyerang & menghapuskan lawan satu demi satu di kubu masing-masing sehingga menang.
Dua permainan terakhir di dalam hutan dinamakan `Retrieving Flag' dimana 2 pihak yang bertarung cuba mendapatkan bendera oren untuk mencapai kemenangan.
Disini kumpulan Hamas yg diketuai SU DPPK menunjukkan kehebatan dengan kemenangan 2-0 ke atas Hizbullah, manakala kumpulan Gaza dan Mujahidden seri 1-1.
Program ini selain mendedahkan ahli-ahli Pemuda Kapar kepada sukan baru berbentuk `adventure' ia dapat memupuk semangat setiakawan di kalangan pemuda, merapatkan ukhuwwah, meningkatkan disiplin, belajar merancang strategi dan mendengar arahan bagi mencapai kemenangan disamping merasai sendiri bagaimana hidup dalam suasana peperangan sebagaimana saudara kita di Gaza.
Beberapa ahli pemuda turut merasai kepedihan & kesakitan terkena peluru `pellet' yang meninggalkan kesan pada kulit (lihat gambar) termasuk luka yang mengakibatkan pendarahan kecil. Ini turut memberi tambahan rasa keinsafan perjuangan di Palestin yang dihujani peluru hidup.
Program sebegini wajar diteruskan dari masa ke semasa, mungkin di masa akan datang program adventure lain seperti sukan `Go-Kart', Canoe-Kayak, Gliding dsb dapat diperkenalkan.
HMH
Memang rencah politik itu bogel membogel. Tetapi biasanya ramuan bogel ialah rasuah dan penyelewengan. Bukan sedikit isu bogel rasuah dan penyelewengan. Tetapi rakyat sudah rasa basi-basi sahaja untuk ikuti isu bogel jenis ini. Sudah tahu macamana rasanya.. tawar-tawar payau gitu.
Tetapi bogel batang tubuh ini yang rasanya lemak-lemak manis barangkali. Tak kiralah bogel itu aksi CCTV yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan pelbagai lagak yang diimitasi dari laman web porno dan cakera CD atau aksi terselak skirt semasa tidur dan diambil gambar betul-betul di sudut yang mengaibkan! Rasanya tetap berbeza dari bogel politik rasuah penyelewengan.
Telah terbukti pun cara ini bukan sahaja boleh melondehkan maruah mangsa, bahkan juga akan terlondehlah segala-segalanya terutama jawatan yang dilantik mahupun yang dipilih yang dimiliki mangsa itu. Tak kiralah kalau pun selepas isu tersebut reda nanti akan terpilih semula!
Semasa Elizabeth Wong 'dibogelkan' maka ramai beranggapan sama sahaja dengan Chua Soi Lek 'diaksikan'. Tetapi apabila isu bogel Elizabeth ini semakin sensasi, rupanya yang terbogel itu tidak hilang maruah! Tetapi yang bersorak pula yang terasa malu bahkan dimarahi dan dibenci pula.
Rupanya rakyat kini sudah tidak berapa ghairah dengan isu bogel dan membayangkan yang bukan-bukan dengan aksi yang imaginatif. Tetapi kerana limpahan maklumat itu berlaku, ghairahnya rakyat ingin melihat sejauhmanakah kebenarannya. Nyata rakyat sudah tahu bahkan bijak menilai.
Kini mata rakyat tertumpu kepada Hilmi Malik yang disyaki sebagai dalang kepada penyorak-penyorak mangsa bogel iaitu UMNO/BN. Rakyat akan terus bersimpati dengan mangsa, dan terus membenci penyorak dan dalangnya sekali.
Semasa sekolah rendah dahulu, cikgu-cikgu sudah ceritakan tentang kitab sejarah dan cerita tentang Hang Tuah dan Hang Jebat ini. Malah di perpustakaan pun cikgu selalu tunjuk naskhah kitab sejarah melayu itu yang kelihatan tebal, usang dan besar itu tetapi tidak pernah diusik apatah lagi membelek dan mengkajinya.
Namun, sejarah Hang Jebat derhaka sering sahaja dijadikan topik perbincangan. Agak sukar untuk mencari konklusi siapa di pihak yang benar kerana sejarah ini unik dan dramatik. Kalau bukan Tun Sri Lanang yang menulis kitab ini, mungkin ia hanya dianggap satira rakyat sahaja. Akan tetapi, Tun Sri Lanang bukan penulis biasa bertaraf novelis atau penglipur lara bahkan beliau seorang ulama' yang mahir dalam ilmu agama seperti Fiqh dan Ilmu Hadis. Jadi wajarlah naskhah ini dijadikan bahan rujukan dan sandaran.
Umum melihat tindakan Hang Jebat menderhaka adalah wajar kerana menegakkan prinsip kebenaran dan keyakinan yang dipegangnya. Simpati datang juga bila beliau digelar sebagai penderhaka. Namun, bagi Hang Tuah yang setia menjalankan tugasnya juga dihormati kerana ketaatan dan pengorbanannya yang menjadi mangsa dalam mainan politik Istana.
Akhirnya, sejarah menghormati watak wira Hang Tuah berbanding Hang Jebat yang dilabelkan penderhaka dan kurang dikenang mahupun dihargai.
Sejarah itu barangkali sedang berulang, hanya pemain wataknya sahaja yang berbeza dan belum dapat ditentukan siapa memainkan watak siapa. Pastinya, dahulu di Melaka kini di Perak. Justeru, pemilihan watak yang tepat perlu segera direbut untuk menjadi orang yang dikenang dan dihargai. Watak itu, sudah tentunya bukan Hang Jebat tetapi adalah Hang Tuah!
Watak Hang Jebat yang tidak dihina bahkan dilimpahi simpati itu hampir sahaja direbut oleh Karpal Singh. Oleh kerana beliau bukan seorang melayu dan tidak beragama Islam, sentimen derhaka itu kelihatan melebih-lebih. Walhal, perbuatan beliau menyaman sultan mungkin ada kewajarnnya berbanding tindakan orang melayu UMNO yang jelas menderhaka tanpa kewajaran sebelum ini. Tidak mengapa kerana sejarah akan dipandang berbeza oleh kacamata generasi yang berbeza.
Apa yang lebih penting adalah watak hero yang bakal meraih nama dan dikenang itu. Kita mahu sahaja Nizar dinobatkan untuk watak ini. Watak yang terkorban oleh mainan politik dan membuat 'come back' bergaya dengan jasa yang bukan sedikit untuk dikenang! Tetapi kehendak media nampaknya mahu menghilangkan watak Hang Tuah dan hanya ada Sultan dan Hang Jebat sahaja. Situasi ini perlu diubah.
Justeru, satu perancangan untuk membuat 'come back' tersebut perlu dilakukan supaya rakyat nampak watak hero itu. Mungkinkah melalui Pilihanraya Kecil Bukit Gantang nanti akan diadakan 'come back' itu nanti ataupun tersilap langkah yang hanya akan mengesahkan watak Hang Jebat sahaja? Kalau Nizar menjadi calon, mungkin beliau hanya akan mengesahkan watak Hang Jebat dan membunuh watak Hang Tuah beliau.
Kalau itu berlaku maka amat malanglah kerana watak sultan memang sudah stereotaip dan tidak akan dipersalahkan. Kalau pun Nizar menjadi calon nanti, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan beliau memenangi watak Hang Tuah! Hang Tuah yang dituduh derhaka tetapi hakikatnya beliaulah yang paling taat dan berjasa.
Cuma akhir-akhir ini watak Hang Tuah bukan begitu kerana Hang Tuah moden hanya pandai bercinta dan memeluk tubuh isteri orang yang berkemban lewat teater PGL -Puteri Gunung Ledang... Apa sudah jadi??
Tahun 2009 ini pastinya menjanjikan banyak babak-babak menarik di atas pentas politik Malaysia. Harapnya syabab tidak ketinggalan mengikuti setiap detik babak-babak ini. Jangan pula nanti terpinga-pinga pula bila rakan-rakan lain berbincang tentang 'hot-topic' yang berkisar tentang politik Malaysia tapi kita cuma tahu tentang vokalis MUH yang kecoh akan ditukar itu.
Politik bukan lagi jadi cakap-cakap orang pertengahan umur yang duduk di kedai kopi sahaja sekarang ini. Politik sudah semakin menjadi 'hot-topic' semua orang, lebih-lebih lagi orang muda. Dalam facebook, myspace, YM ramai yang sedang bicara tentang politik. Ayat-ayat cinta sudah tidak laku lagi kalau tak tahu bicara politik.
Orang muda sudah semakin sedar tentang politik, sudah ada idea sendiri tentang politik, idea yang segar dan baru pula. Syabab tidak boleh ketinggalan, bahkan syabab perlu jadi pembakar dan peneraju idea-idea politik orang muda.
Krisis di Perak juga telah membelah minda muda hari ini. Krisis ini tidak habis dengan terlantiknya Menteri Besar baru perampas kuasa itu. Bahkan skripnya dipanjang-panjangkan pula dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Nak buat macamana kalau empunya sebenar hakcipta skrip nak jadikan jalan ceritanya seperti itu.
Menjalar pula sampai ke DUN Selambau, Kedah. Skripnya macam sama, tapi mungkin plotnya berbeza. Rakyat dipaksa untuk memilih lagi.. Paksa dalam rela. Bagi rakyat, yang penting ialah memilih pemimpin mereka. Bagi parti ialah pemilihan rakyat adalah kemenangan mereka. Kemenangan mereka adalah pentanda kepada tanda yang banyak tanda.
Memilih di Parlimen Bukit Gantang, memilih di Dun Selambau. Jangan lupa memilih juga akan berlaku di PWTC nanti, Perhimpunan Agung UMNO. Tikanya mungkin dekat-dekat sama. Apa yang berlaku di Bukit Gantang dan Selambau akan menjadi skrip di PWTC nanti. Skrip PWTC belum boleh dikarang lagi gara-gara Bukit Gantang dan Selambau.
Memilih juga akan berlaku di Muktamar Sanawi PAS. Di mana belum ditentukan kerana sekarang banyak pilihan! Tapi belum kedengaran politik wang dalam pemilihan PAS, moga-moga takkan ada lah begitu.
Memilih dalam PAS, ialah memilih pemimpin yang paling baik di antara mereka. Kepimpinan Pemuda, Muslimat, Ulama' dan seterusnya ditentukan dengan meritnya yang tersendiri. Setiap pemimpin mengharapkan ada orang yang lebih baik untuk menggantikannya. Pemimpin sentiasa mencari-cari pengganti. Pengganti untuk memikul tugas, bukan pengganti yang boleh menjaga kepentingan atau boleh berkongsinya.
Musim memilih sudah sangat dekat. Dalam PAS tiada bahang, cuma sejuk memikirkan bimbang akan dipilih atau dikekalkan kelak. Sejuk kerana takut memikul amanah. Sejuk kerana bimbang kalau-kalau ada budaya baru melobi dan memburukkan. Sejuk kerana bimbang suasana kemenangan ini jadi badai yang melanda....
Agak terkilan juga bila menghadiri sesi taklimat tertutup Penerangan PAS Pusat Maklumlah, apa yang diharapkan ialah isu kerajaan PR di Perak dan isu-isu lain sebagai tambahan akan diberi penerangan supaya jentera penerangan parti dapat bergerak dalam mekanismenya sendiri.
Tetapi tumpuan lebih terarah kepada isu PPSMI. Bukanlah nak mengatakan isu pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini tidak penting, tetapi sekadar berpandangan ia adalah sub-isu kepada isu krisis perlembagaan yang lebih besar untuk kita hadapi.
Lebih malang lagi isu ini tidak dikongsi bersama oleh banyak pihak terutama rakyat di bandar, rakyat bukan berbangsa melayu dan rakyat yang tidak merasa isu bahasa akan mengancam mereka. Lantas, idea untuk menghimpunkan rakyat sejumlah 100,000 berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum ini akan menemui jalan sukar dan mungkin gagal.
Waktu yang singkat untuk menggerakkan rakyat pada 7 Mac 2009 ini juga dilihat terlalu singkat, berbanding Himpunan BERSIH yang dipromosikan sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum ia berlaku.
Sekadar berpandangan, agar himpunan ini diubah kepada 'Himpunan Rakyat Menjunjung Perlembagaan' dengan mencantumkan isu PPSMI dengan isu-isu lain yang mempunyai dasar yang sama seperti Gerakkan Mansuhkan ISA dan krisis perlembagaan di Perak.
Ini dapat menarik perhatian rakyat yang perihatin terhadap isu negara tanpa terbatas kepada isu-isu tertentu, kaum tertentu dan golongan tertentu sahaja. Dengan pelbagai mekanisme penerangan bekenaan PPSMI, GMI, isu Perak dan sebagainya dijangka lontaran isu akan lebih mudah difahami dan menarik simpati rakyat untuk berarak ke Istana Negara nanti.
Semoga dapat diambil perhatian dan perhalusi dengan kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat.
7 Feb - PAS Kapar melalui Lajnah Tarbiyahnya telah menganjurkan Tamrin Qiyadi (Pimpinan) perimgkat kawasan yang dihadiri oleh kepimpinannya peringkat kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Ketua-ketua Cawangan. Program ini telah dilaksanakan di Kg Jawa, Klang.
Menikmati Malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 5:12 PTG Malam itu saya dan kawan-kawan ambil keputusan untuk tidur di dewan dekat kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Itu pun tidur-tidur ayam saja dengan rakan-rakan Unit Amal yang lain. Tak banyak bicara kami sesama sendiri, semuanya menanti hari esok dengan penuh tanda tanya.
Menelusuri jalan-jalan di bandaraya Ipoh sebelum sampai ke sini pun terasa begitu sunyi dan asing. Tapi tak nampak pula tanda-tanda pergolakan sedang berlaku dalam kerajaan negeri ini. Tak ada suasana hiruk pikuk selain gambaran media perdana yang betul-betul berat sebelah itu.
Rumah ini bakal menjadi saksi sejarah. Ia ibarat kubu rakyat atau kubu kerajaan pilihan rakyat yang sedang dibunuh. Sejarah telah terpahat, barangkali paling manis dan paling panjang ceritanya untuk disampaikan kepada anak cucu nanti. Itu semua untuk pejuang-pejuang Islam melalui PAS.
Ketika perjuangan Islam dijulang dan dimartabatkan rakyat berbilang kaum. Ketika itu jualah ia dirobek dan dibunuh oleh orang sebangsa dan seagamanya. Pelik tetapi itu lah kenyataannya. Ketika kaum cina begitu berbangga dengan orang melayu Islam yang memimpinnya, ketika kaum india merasa senang dengan pemimpin parti Islam menerajui mereka. Ketika itulah orang melayu UMNO merasa sangat berdendam dengan semua itu.
Pasrah sahaja kepada Ilahi, semua daya telah diupayakan, takdirNya diterima dengan redha. Al-hamdulillah dalam bisik-bisik sahabat di Perak, banyak juga perbincangan tentang kelemahan yang ada sebagai muhasabah untuk diperbaiki. Mungkin juga itulah titik keizinan tuhan kejatuhan itu berlaku. Barangkali juga itu adalah ujian untuk mendapat kemenangan yang lebih besar. Pastinya seribu hikmah dapat dijadikan iktibar untuk semua ketentuan ini....
Drama al-kisah Perak: antara klimaks dan anti klimaks
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:10 PTG
Firman Allah:
Sabda Rasulullah saw:
Abu Bakar As-Siddiq:
Ibnu Taimiyyah
Asy-Syahid Abdullah Azzam
Mereka yang percaya bahawa Islam boleh berkembang ke arah kejayaan tanpa Jihad, Peperangan dan Darah adalah sekadar bermimpi dan tidaklah mereka itu memahami sifat sebenar agama ini. Kehormatan seseorang Da'i, pengaruh Islam dan maruah serta harga diri umat Islam tidak akan dapat diperolehi tanpa Jihad.--
turntoAllah
Usrah Nuqaba' Muda, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berjaya dilaksanakan pada 25 Disember 2008 yang lalu. Al-hamdulillah kehadiran agak memberangsangkan untuk kategori program tarbiyah bagi golongan muda, apalagi dalam masa yang sama dianjurkan Pertandingan Bowling Persahabatan PAS Kawasan Kapar yang dianjurkan oleh Lajnah Sukan dan Kebudayaannya. Apa pun yang penting speaker pada pagi tersebut Yang Berbahagia Ustaz Idris Ahmad telah memberi gambaran perjalanan usrah untuk diperkasakan. Beberapa cadangan untuk memperkasakan usrah khususnya peringkat pemuda telah dapat dirumuskan untuk diambil tindakan. Ini bagi memastikan momentum berterusan dalam pembinaan parti dalam diteruskan terutama dalam suasana kemenangan ini. Usrah dilihat sangat relevan untuk menggalas cabaran ini, agar parti sentiasa menerima banyak pelapis-pelapis terutamanya di kalangan mereka yang faham aqidah perjuangan yang sebenar. Justeru, ketetapan untuk mengadakan Usrah Nuqaba' Muda secara lebih sistematik dan berkesan mesti segera direalisasikan. Usrah Nuqaba' Muda ini nanti akan menjadi nadi terpenting dalam menggerakkan jemaah dan parti kerana sasarannya ialah pembinaan amilin dan murabbitin melaluinya. Cerapan yang berterusan oleh nuqaba' yang lahir dari usrah ini akan menjana nuqaba' baru yang sedia ada di dalam usrah-usrah yang dijalankan oleh cawangan-cawangan dan sayapnya. Justeru, perlaksanaan kepada Usrah Nuqaba' Muda ini perlu diberi perhatian serius dan mendalam. Melaluinya banyak perkara boleh dilakukan terutamanya isu pengisian usrah. Nuqaba' Muda diharapkan dapat menyumbang idea dan pendekatan agar semua boleh berkongsi dan bertukar fikiran untuk dilaksanakan di peringkat usrah masing-masing. Langkah Lajnah Tarbiyah untuk mewujudkan mekanisme ini wajar diteruskan lagi dengan langkah-langkah yang istiqamah dan mapan. Ayuh teruskan perjuangan.. |
Jeritan kecilnya sungguh sayup di kejauhan,
Mongel manjanya jadi kesayangan,
Jernih matanya tatapan hiburan,
Gebu pipinya kemerahan,
Bersama rakan-rakan nikmati ruang kedamaian..
Lincah keanak-anakannya menggamit ibu,
Benderangnya langit Ghaza tidak memberitakan apa-apa,
Deruan memecah keheningan langit memekak telinga,
Sementelah tiba peluru dan bom Israel laknatullah,
Debu berterbangan, jeritan kecil tiada lagi kedengaran..
Gadis kecil longlai seperti tiada bernyawa,
Gadis kecil berlumuran darah, sedang ibu berhamburan airmata dan kata nista,
Gadis kecil diusung pantas menuju rumah sakit yang sedia sakit,
Gadis kecil dirodok jejarum dan ubatan demi di hujung nyawa..
Gadis kecil berjuang untuk membawa berita,
Kepada ibu, kepada kawan, kepada ummah, kepada lawan..
Takdir Rabbulizzati mengatasi segala,
Gadis kecil sedar kembali segar mekar,
Tetapi disambut tangis duka di sekelilingnya,
Ibu, kawan dan saudara sedia mendapat berita,
Gadis kecil meredup mata, bertanya ibu mengapa bersedih?..
Ibu berbicara; duhai anak gadis kecilku, kedua kakimu tiada lagi anakku...
Gadis kecil melempar senyum manja melontar bicara,
Membawa berita gembira yang telah dilupai semua;
Wahai ibu, wahai kawan, wahai saudara..
Kedua kakiku kini sudah di syurga,
Tinggalkan tubuhku di dunia fana,
Untukku sampaikan berita,
Tiada duka di bumi ini,
Bumi Ghaza adalah pintu ke syurga,
Buat ummah yang cintakan agama,
Cintakan Rasul, cintakan Allah,
Kita hanya menghadapi bangsa rakus,
Menghina diri pada ketamakan dunia,
Memulia kita di sisi yang Esa...
(antara kisah yang disampaikan oleh
YB Dr Rani sekembalinya dari Ghaza)
PRK Behrang & Changkat Jering: Klimaks Perubahan?
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:53 PTG24 & 25 Jan 09 - XPDC seramai 30 orang pemuda DUN Meru, Selat Klang dan Sg Pinang di Ulu Bendul, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Ramai muka-muka baru dan baru berkenalan. Syabas pd semua yang menjayakan. Gambar2 akan diupload dalam ruangan gambar memori..
Label: Syabab Kapar