Terlalu sukar untuk meluangkan masa menjenguk ke cawangan-cawangan sedangkan tinggi benar harapan mereka supaya pemimpin dapat turun ke cawangan. Tak payah lah pemimpin pusat, cukup sekadar pemimpin kawasan ataupun dewan-dewan di peringkat kawasan sahaja.
Maklumlah masing-masing pun sudah banyak tugas dan tanggungjawab. Saban hari ada sahaja jemputan program mesra rakyat yang perlu dihadiri. Dari program surau, masjid taman perumahan, kampung, rumah ibadat sampailah program bersama Menteri Besar dan Sultan perlu disantuni dengan baik. Itu belum lagi dikira mesyuarat peringkat kerajaan dan parti, begitu juga perkara mengejut seperti kematian dan bencana!
Sampai terlupa rupanya cawangan sendiri sudah lama tidak disantuni, sampai setahun! Rupa-rupanya fitrah manusia itu sama, semakin kita jauh, semakin banyaklah ruang prejudis itu timbul! Syaitan bertandang jua ke hati-hati kita. Dengki dan buruk sangka mula bersarang. Cerita kedai kopi jadi bahan hidangan ala usrah. Mana yang fitnah mana yang fakta ditelan semahunya.
Akhirnya, ahli sendiri memfitnah pemimpinnya atau sekurang-kurangnya mengiyakan fitnah itu. Apabila fitnah itu berleluasa, pemimpin juga kadang-kadang jadi lupa dan hilang punca. Fitnah dibalas dengan hujjah, hujjah dilatari dengan amarah, amarah disogok dengan kedudukan. Ahli dihukum oleh pemimpin yang berkedudukan dan amarah dengan hujjah.
Ketenangan dalam jemaah jadi kucar. Akhlak dan ukhuwah dipendam atas nama menegakkan kebenaran. Kemaafan tidak kedengaran, merendah diri sudah hilang. Syaitan dan sekutunya girang tidak terkata. Jerangkap sudah mengena!
Justeru berterus-teranglah wahai sahabat, kalau benar kita julang, kalau ada yang salah kita betulkan, yang di atas sangat perlu yang di bawah, yang di bawah kamulah yang menaikkan yang di atas!. Kita punya masa untuk mengkoreksi! Jangan lagi kita bercakap di belakang! Tiada usaha membetulkan kesilapan pemimpin kita. Silap kita kerana kita mendengar bisikan syaitan! Mereka pembantu setia musuh kita dan musuh Islam.
Kita perjuangkan Islam habis-habisan dengan cara dan akhlak Islam. Kita hikmah dan tegas dengan cara Nabi SAW. Kalau ada orang yang mahu memporak-perandakan kita ayuh kita satukan doa-doa kita supaya dihancurkan orang ini hatta mereka di kalangan adik-beradik kita sekalipun! Kerana kecintaan kita adalah untuk Islam, Allah dan Rasulnya.
Lama sudah tiada membuat post dalam blog ini. Acapkali juga digagahkan untuk menulis, tetapi acapkali juga banyak unsur yang mengganggu. Akhirnya, dibiarkan sepi sekejap supaya mendapat ketenangan. Ribut besar sedang melanda minda dan hati kita di sini dan sana, sampai kadang-kadang kita hilang pertimbangan lupa kepada asas dan prinsip.
Betul juga kekadang hidangan blog sini dan sana membuat kita bingung. Kadang-kadang juga membuat kita percaya kepada kebathilan dan kadang-kadang juga ia menjauhkan peribadi dan prinsip asal kita. Sampai terbawa-bawa kepada keputusan-keputusan yang menurut hawa nafsu semata dengan mendahulukan akal dan menidakkan wahyu. Ia cukup bahaya sebenarnya!
Tak percaya bagaimana sebahagian kita boleh menelan isu Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS ingin membawa parti ke pangkuan UMNO. Kalau logik mudah pun kita boleh katakan bahawa Presiden lah barangkali orang yang terakhir akan berbuat demikian kalaupun seantero ahli PAS bersetuju dengan langkah itu. Tetapi kerana kita dihidangkan dengan logika tanpa batasan ditambah dengan asam pedas fitnah dan kekaburan, sebahagian kita mungkin menerima logik ini untuk digagaskan sebagai fakta.
Sungguh malang kerana ia ditelan semahunya oleh mungkin lebih sebahagian perwakilan kalaupun kurang sedikit daripada itu. Lantas, ia mudah dikambus dengan polemik ulama' dan profesional yang sebenarnya hanyalah wayang media yang tak tahu asal puncanya diwujudkan atas dasar sengaja ataupun sekadar telahan. Itupun juga disambut berulang-ulang juga macam menimang bulu rotan, makin ditimang makin rancaklah permainan. Sekali terjatuh, dilambung lagi dan terus ditimang sampai berulang-ulang macam tidak jemu akhirnya keletihan.
Sewajarnya, kita sudah dewasa dengan sepak terajang itu. Kita orang yang ada prinsip, ada akhlak, ada peribadi. Kalau datang apapun berita, hebat dan lazat mana pun berita itu tetapi dari sumber yang boleh dipertikaikan timbanglah dengan ayat quran 'fatabayyanu'. Itu arahan wajib! Janganlah mangsakan pimpinan kita, bahkan pimpinan tertinggi kita dengan telahan yang tiada asas. Malunya kita nanti yang paling gerun besarnya dosa kita itu!
Tak payahlah diulang-ulang polemik kerajaan perpaduan kalau kita tidak faham isi kandungnya. Fahamkan dahulu, carilah nasnya dahulu, sediakan faktanya dahulu baru kita berhujah. Hujah kita pun mestilah berasaskan ingin memperbaiki bukan menghentam individu yang telah kita angkat jadi pimpinan kita.
Kita memilih pemimpin kerana kita ingin memberi wala' kepadanya atas urusan yang tidak mampu kita galas. Kita beri sepenuh kepercayaan kerana kita memilih pemimpin atas dasar Iman dan Taqwanya. Bukan atas dasar lain! Kerana kita percaya dan yakin pemimpin kita memiliki Iman dan Taqwa itu, lantas kita mengharapkan mereka membawa kita menunjuk jalan yang benar dengan sifatnya itu.
Tiba-tiba ada orang lain pula yang menghantui kita dan meracuni kita sampai seolah-olah pemimpin yang kita pilih itu seperti tidak cukup taqwanya sampai sanggup untuk kita memberi wala' kepada orang yang sebenarnya kita lebih tidak pasti. Jangan bermain dengan wala' kerana orang yang kita beri wala' itu akan mengheret sekali dengan kita ke mana mereka akan pergi. Syurgakah atau nerakakah?
Kalau anda yakin anda memberi wala' kepada bakal ahli syurga, dan menidakkan taqwa yang dimiliki oleh seorang yang dipanggil Tok Guru. Pergilah dengan keyakinan anda itu, keyakinan yang disandarkan kepada andaian semata-mata kerana nafsu geram dan buruk sangka anda kepada pemimpin yang selama ini anda yakini taqwanya.
Jika kita mahu dihormati pandangan kita, berilah pandangan dengan cara yang terhormat. Terhormat itu mesti dengan akhlak dan adab. Apatah lagi akhlak dan adab itu sangat besar nilai prinsip dan pahalanya dalam jemaah kita. Tidak mengapa jika kita berlainan pendapat dengan sesiapa pun hatta kepada presiden juga, tetapi sampaikanlah ia dengan penuh penghormatan bahawa kita ini lemah dan sentiasa ingin memberi wala' kepada pemimpin kita.
Semoga adab dan prinsip berjemaah ini dapat kita semua pelihara kerana ia akan menyuburkan lagi gerakan kita. Ia akan membajakan benih ukhuwah dan mahabbah sampai kita takkan terkesan dengan sewenang-wenangnya dengan tohmah media, blog dan kata-kata orang yang tiada asasnya itu.
Ketua Pemuda UMNO Selangor seharusnya memahami bahawa janji syurga dan janji neraka adalah merupakan janji Allah yang direkodkan dlam al-quran terhadap balasan baik dan buruk seseorang hambanya.
Justeru PAS sebagai sebuah parti Islam yang konsisten dengan perjuangan untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran bertanggungjawab untuk menyampaikan janji-janji Allah tersebut untuk kebaikan manusia itu sediri. Cthnya sesiapa yang melakukan kezaliman maka balasannya adalah dosa dan dosa membawa ke neraka.
PAS sangat gembira sekiranya masyarakat menerima janji-janji tersebut sebagai bukti penerimaan mereka terhadap dakwah yang di bawa oleh PAS. Kita yakin masyarakat pengundi hari ini adalah sangat matang untuk menilai janji PAS itu sebagai sesuatu yang benar dan bukan sogokan politik.
UMNO jgn memandang rendah integriti masyarakat hari ini yang tidak mudah disogok dengan rasuah wang dan pembangunan.
Kefahaman terhadap balasan syurga neraka juga menjadi benteng penghalang bagi ahli dan pemimpin PAS daripada terjebakdengan gejala yang tidak sihat dan mungkar.
Sehubungan itu tuduhan politik wang terhadap PAS adalah tidak berasas dan tiada bukti pernah dikemukakan. Pembangkang hanya membangkitkan isu ini untuk mengalih pandangan masyarakat yang sedia maklum sebenarnya mereka yang bergelumang dengan politik wang disamping kecemburuan mereka terhadap perkembangan baik dari sudut peningkatan sokngan rakyat terhadap PAS.
USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KetuaDewan Pemuda PAS Selangor
Blog 'pastikapar' sebagai Wadah Berita DPP Kapar
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:33 PGBagi memudahkan penyaluran berita-berita aktiviti dan gerak kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, sebuah blog baru telah dilancarkan iaituh http://pastikapar.blogspot.com
Isi kandung blog ini hanya akan memaparkan tentang berita-berita aktiviti Dewan Pemuda PAS Kapar terutamanya berita-berita aktiviti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di kawasan Kapar. Blog ini juga telah diwar-warkan kepada media dan wartawan, khususya dari akhbar Sinar Harian.
Ini bagi memenuhi hasrat YDP PAS Kawasan Kapar, Yb Dr Hj Abd Rani Osman yang mahu melihat pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh PAS Kapar khususnya melalui dewan-dewan disiarkan di dalam media arus perdana. Menurut beliau lagi, ini merupakan satu strategi dakwah yang berkesan agar masyarakat melihat peranan dan usaha PAS dalam membangun ummah dan negara.
Walau bagaimanapun, blog 'syababkapar' akan tetap diteruskan dan kekal dengan konsepnya iaitu menyalurkan pandangan dan pemikiran para pemuda di dalam Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar terutama di kalangan barisan kepimpinannya.
Brainstrom DPP Kapar: Aktiviti Dirancang Untuk Capai Matlamat
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:15 PGBarisan kepimpinan baru Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar yang telah disusun dan dilantik telah mengadakan sesi 'brainstorming' bagi merangka plan tindakan dan merancang aktiviti sepanjang tahun untuk dilaksanakan.
Sesi ini telah dijalankan pada 16 Mei 2009 yang lalu yang memakan masa hampir lapan jam. Pelbagai idea dan buah fikiran telah dilontarkan di kalangan AJK hasil daripada mesyuarat dan perbincangan yang telah dijalankan oleh setiap Jawatankuasa.
Sesi ini sangat penting kerana ia akan membentuk keselarasan halatuju dan gerak kerja atau 'wehdatul fikri wal amal' di peringkat Dewan dan pemuda-pemuda cawangan khususnya. Selepas ini dewan pemuda akan menggerakkan sesi perbincangan bersama Dewan Muslimat dan Urusan Ulamak PAS Kawasan Kapar bagi menjalin kerjasama dan silang fungsi.
Selain itu juga, hasil sesi 'brainstorming' ini akan disampaikan kepada pemuda-pemuda cawangan agar ia dapat difahami dan dihayati bersama. Apa yang lebih penting ialah keterlibatan semua pemuda-pemuda PAS di kawasan Kapar dengan gerakerja DPP Kapar.

PKFZ report delayed yet againTwo weeks. That is how long it will take for the Port Klang Free Zone (PKFZ) report to be made public – and that too, if there are no other legal or technical issues to throw a spanner in the works.
"Laporan PKFZ ditangguh lagi. 2 minggu. Itulah tempoh masa yang diperlukan untuk laporan Kawasan Bebas Cukai Pelabuhan Klang akan didedahkan kepada umum – dan bergantung juga, sekiranya tiada isu perundangan atau isu-isu teknikal yang akan ditimbulkan, merencatkan lagi usaha tersebut”
Dalam laporan yang sama juga turut menjelaskan PriceWaterhouseCoopers (PwC) badan audit bebas turut risau untuk mendedahkan laporan tersebut. Dalam waktu yang sama pihak Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dalam mesyuarat pengarahnya, tidak mahu memberikan jaminan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang (letter of indemnity), sekiranya timbul salah tafsiran dan ‘tersalah lapor’.
Laporan itu juga menyebut, menurut sumber tertentu, mesyuarat pihak PKA dikatakan 'hangat' dimana sebahagian lembaga pengarah mempersoalkan apa keperluan didedahkan laporan tersebut – peningkatan mendadak kos projek dari RM1.08 billion ke RM4.6 billion disebabkan lonjakan harga (dari yang sepatutnya mengikut penilaian projek), rasuah, penajaan dan kegagalan perancangan.
Laporan yang sepatutnya diterbitkan untuk tatapan umum minggu ini kini tertangguh lagi. 2 minggu dan mungkin lebih. Yang pasti akan ada banyak pendedahan-pendedahan eksklusif yang melibatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di peringkat nasional dan juga negeri (yang sebelum ini didedahkan penglibatan ADUN ‘subsidi’ Sementa, YB Dato Rahman Palil yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor).

Dalam erti kata lain, kita akan terus memantau isu PKFZ ini dan sejauh mana pemimpin-pemimpin UMNO ini menggunakan kedudukan mereka mewujudkan keadaan 'conflict of interest' mengaut keuntungan hasil dari kedudukan politik mereka.
Teruskan memerhati. Kita hendak tunggu laporan PKFZ ini. Mereka akan melihat nasib mereka nanti andai mereka teringin untuk menjadi calon BN di peringkat DUN mahupun Parlimen di Kapar untuk PRU yang akan datang ini.
-MSR- Lajnah Penerangan, Dakwah dan IT DPPK
Label: PKFZ
Dalam belasan kerusi DUN milik Umno di Selangor, hanya satu kerusi DUN sahaja yang dikira sebagai kerusi “subsidi”. Kerusi yang dimenangi secara percuma kerana calon PR ketika itu gagal mengemukakan borang pencalonan. Ia dikira “subsidi” kerana jika ditakdirkan ada pertandingan ketika itu, pasti kerusi itu akan terlucut dari tangan Umno-BN. Kerusi berkenaan adalah DUN Sementa dalam Parlimen Kapar, satu-satunya kerusi Parlimen di Selangor yang punya 4 kerusi DUN.
PR menang di Parlimen Kapar dengan majoriti 12,297 melalui calon PKR S.Manickavasagam, DUN N.42 Meru dengan majoriti 5,513 melalui calon PAS Dr Abd Rani Osman, N.44 Sg. Pinang dengan majoriti 7,361 melalui calon DAP Teng Chang Khim dan N. 45 Selat Klang dengan majoriti 1,459 melalui calon PAS Dr Halimah Ali.
Penyandang kerusi “subsidi” ini adalah bekas EXCO Agama dizaman Umno-BN, Abd Rahman Palil, yang kini Ketua Penerangan Umno Selangor.Namun walaupun bertahan dengan kerusi “subsidi” Rahman masih mengaum seolah beliau singa yang ganas dan bertaring. Kadangkala beliau seakan lupa yang kerusinya kerusi “subsidi”, beliau bukan lagi EXCO tapi pembangkang dan PR bukannya Umno-BN yang sedang memerintah Selangor.
Dalam akhbar Sinar Harian hariini Rahman mendakwa yang PAS adalah “kuda tunggangan” individu tertentu. PAS kononnya berbalah antara istilah ulamak professional dan ulamak agama angkara anasir luar. Dengan maklumat yang separuh masak Rahman sanggup berkokok bagi membuktikan yang beliau masih punca peranan dan partinya Umno masih releavan di Selangor.
Hari ini juga, tetapi dalam kahbar The Sun, Rahman tak sedar rupanya dalam sibuk beliau berkokok ada pihak telah menelanjangkan beliau bulat-bulat untuk tontonan umum. Kerana terlalu ghairah dan bernafsu menyerang PAS, beliau tidak sedar rekod buruknya didedahkan kepengetahuan dunia!
Akhbar berkenaan mendedahkan darihal Laporan Audit Bebas terhadap Zon Bebas Pelabuhan Kelang atau PKFZ yang banyak mendedahkan kepincangan, salah-guna kuasa dan ketidaktelusan pengurusan yang melibatkan projek bernilai RM4.6 bilion itu, walaupun kos asal sepatutnya RM1.845 bilion.Apa ada kena mengena dengan ADUN Sementa “subsidi” ini?
Menurut laporan itu Rahman merupakan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan Pengarah Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) pada tahun 2002. Tanah untuk membangunkan PKFZ dijual oleh KPPL kepada PKA sedangkan Rahman terlibat dalam kedua-dua badan berkenaan.Kerajaan telah dipaksa membeli 404 hektar tanah untuk membangunkan PKFZ ini dari Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga RM25 sekaki persegi sedangkan syarikat ini membeli tanah berkenaan dari KPPL dengan harga Cuma RM3 sekaki persegi iaitu lebihan sebanyak RM22 sekaki persegi! (Kuala Dimensi Berhad adalah kontraktor “turnkey” projek ini)
Antara kronologi kes PKFZ ini adalah:
2002November 12 KDSB menandatangani perjanjian dengan PKA iaitu bersetuju menjual 999.5 ekar tanah di Pulau Indah dengan harga RM1.09 bilion atau RM25 sekaki persegi. KDSB dimiliki 70% oleh Datuk Seri Tiong King Sing, salah seorang rakan kongsinya adalah Datuk Abdul Rashid Asari Timbalan ketua Umno bahagian Kapar. KDSB membeli tanah berkenaan dari KPPL dengan harga RM95 juta.
2003PKA melantik KDSB untuk membangunkan PKFZ dengan membina blok-blok pejabat, kemudahan pengangkutan perkapalan, gudang dan kemudahan industri ringan dan sederhana bernilai RM1.32 bilion tidak termasuk kos tanah. KDSB melantik Wijaya Baru Global Bhd sebagai sub kontraktor utamanya. (Faizal Abdullah, Ketua Pemuda Umno Kapar, merupakan Timbalan CEO syarikat ini!)
Ringkasnya inilah antara sumbangan Rahman Palil sehingga lingkupnya projek PKFZ ini angkara salah guna kuasa dan ketidaktelusan pengurusan. Dan hari ini ADUN “susbsidi”ini sibuk menuduh PAS ada krisis kepimpinan.
Label: PKFZ, Rahman Palil, UMNO Kapar
PAS untuk Semua.. bukan hanya Ulama' dan Profesional sahaja
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 12:27 PTGRupa-rupanya konotasi slogan 'PAS Untuk Semua' itu bukan hanya untuk mainan politik menjelang pilihanraya bagi memancing undi golongan bukan ahli khususnya masyarakat bukan Islam. Bahkan ia jauh juga mendalam maksudnya kepada diri ahli-ahli PAS itu sendiri. Slogan ini sangat mudah dicanang terutama dalam menangkis arus polemik ulamak dan profesional yang cuba dimainkan oleh media kebelakangan ini.
Bukan hanya golongan ulama' dan profesional sahaja yang boleh memimpin PAS. Bahkan sesiapa sahaja boleh memimpin PAS asalkan dia seorang yang faham benar dengan perlembagaan dan halatuju PAS serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan dalam parti. Jangan terperangkap dengan mainan media yang sedang menconteng sesuatu di wajah parti kita dalam keadaan yang kita tidak sedari.
Polemik antara ulamak dan profesional hanyalah satu sudut pandangan sahaja berkenaan kepimpinan PAS menjelang muktamar agungnya. Hakikatnya, ramai golongan dari pelbagai latarbelakang mewarnai perjuangan PAS sekian lama. Mereka menyertai PAS adalah kerana mereka cintakan perjuangan PAS iaitu menegakkan siyasah Islam.
Apabila kecintaan mereka terhadap agama itu sudah melakar dalam diri mereka, tiada perkara yang lebih penting dari Islam itu sendiri. Siapa pun yang bakal memimpin PAS, yang paling penting adalah penilaian terhadap pengorbanannya kepada perjuangan untuk menegakkan Islam melalui parti ini. Itu yang sepatutnya menjadi neraca asas pemilihan kepimpinan.
Pengorbanan yang dimaksudkan itu luas. Pengorbanan mencari Ilmu dan kemahiran bertahun-tahun untuk dimanfaatkan dalam perjuangan PAS seperti yang dilakukan oleh para ulamak dan profesioanal. Pengorbanan berjuang betahun-tahun dalam keadaan PAS itu dipandang lemah dan juga diangkat kuat. Pengorbanan berani dan kental menghadapi rintangan I.S.A, lokap, mahkamah dan demonstrasi. Pengorbanan menginfakkan diri dan seluruh kehidupannya untuk perjuangan PAS. Semua itu perlu dinilai wajar oleh kita semua.
Kita memilih pemimpin bukan kerana nafsu kita. PAS akan menjadi terlalu eksklusif jika hanya dikuasai oleh ulamak dan profesional. Angkatlah pemimpin yang paling banyak berkorban untuk perjuangan Islam ini. Angkatlah pemimpin yang akan membawa kita bersama-sama berkorban untuk perjuangan ini. Kerana perjuangan ini lumrahnya adalah pengorbanan. Kecuali jika kita ada calon yang lebih hebat dari Rasulullah saw, yang boleh membawa kita ke syurga tanpa pengorbanan...
Aku melalui hari-hari yang agak sukar kebelakangan ini, sampai terlalu banyak yang membeku sarat dalam minda berkenaan suasana jemaah, isu politik yang tak sudah-sudah habisnya dan dengan senarai mesyuarat juga aduan-aduan yang perlu ditangani. Sampai nak diluah dalam blog ini pun rasanya perlu diteliti agar tidak mengeruh keliru yang telah bersarang di dalam kotak otak di kalangan pemuda-pemuda khususnya.
Aku tinggalkan itu semua sekejap untuk abah. Minggu sudah emak hantar sms pendek, abah mengadu sakit dada. Sebenarnya dah lama, tapi kebelakangan ini kerap pula. Abah ambil tak kisah sahaja, sakit sikit-sikit kata emak. Orang perempuan mungkin risaunya lebih, tapi emak jarang mengadu kerisauannya pada anak-anak terutamanya aku. Abah dah pun buat pemeriksaan doktor, tapi tak ada apa-apa katanya.
Selang dua hari emak mintak kelapangan masa untuk abah, pujuk dia ke hospital atau IJN kalau-kalau bimbangnya jadi nyata. Sukar juga untuk penuhi pinta emak itu, kerja masyarakat dan jemaah pun boleh tahan juga banyaknya. Tak apa lah mungkin sekali ini sahaja. Akhirnya, aku bawa saja abah ke IJN kerana malas nak berurusan di hospital di sini yang mungkin akan diarahkan ke sana juga nanti.
Pemerikasaan abah di ruang 'kecemasan' menunjukkan tanda-tanda positif, abah terus ditahan di wad CCU untuk dibuat pemeriksaan lanjut dan akhirnya disahkan serius kerana arteri utamanya telah tersumbat kurang 10% kata doktor. Pembedahan segera akan dibuat esok pagi (6 Mei) kerana jika dibiarkan akan berlaku serangan jantung serius dalam tempoh yang dekat. Doktor kata, kami datang tepat pada masanya kerana dia belum kena serangan mengejut itu. Abah memang sihat saja, cuma sakit dada kalau buat kerja lebih sikit.
Seminggu abah di IJN ini baru aku perasan sudah lama juga aku lupakan abah aku ini. Bila doktor tanya berapa umur abah, sekejap aku berkira-kira sebelum menjawab 62 tahun. Sudah tua abah menjangkau umur Nabi s.a.w. getus hati aku. Bila abah minta bantu wudhuk kan untuknya, aku sudah lupa bila terakhir kali aku sentuh kulit-kulit dan anggota badannya itu selain tapak tangannya untuk dijabat salam. Sudah kusam dan banyak kedut yang tak diendah selama ini.
Rupanya sudah terlalu jauh aku pergi sampai lupa pada abah. Bahagianya aku jika pulang ke rumah dikerumun Athif dan Aiyash yang kedua-duanya mintak di dukung abinya. Bahagianya aku bila Athif dan Aiyash tak sudah-sudah mengadu itu dan meminta ini untuk meraih perhatian abinya. Bahagianya aku bila Athif dan Aiyash buat perangai membaling dan menyepahkan buku-buku dan barangan rumah yang lain. Aku bahagia kerana merasa nikmat seorang bapa yang dipanggil abi.
Tetapi bagi abah aku, bahagia itu mungkin sudah lama hilang dan dia sudah lupa pada bahagia itu barangkali. Anak-anak sudah besar dan tidak perlu bantuannya lagi. Sampai tanggungan kos hospital pun kalau boleh nak dilangsaikan sendiri. Anak-anak ada kehidupan sendiri fikirnya. Ada kerenah dan telatahnya sendiri yang dia faham benar.
Sedang naluri seorang abi dan seorang abah itu tetap sama. Anak di matanya hanyalah seorang anak yang sifatnya keanak-anakan. Membesar dan dewasa lah anak itu, tetapi tetap memakai sifat keanak-anakan di mata abah. Abah hanya bahagia jika anak-anaknya datang mengerumuni dan berpaut di sisinya, abah akan bahagia jika anak-anak bercerita tentang kehidupan dan dunia mereka yang bukan dunia abah, abah akan bahagia jika melihat telatah anak-anaknya yang cuba menunjukkan dirinya masing-masing.
Abah selalu menunggu masa lapang aku datang ke rumah bersama cucu-cucunya itu. Abah ingin dengar pandangan aku tentang isu-isu politik mutakhir yang dia faham benar dunia aku itu. Tetapi aku selalu lupa pada bahagia abah, masa untuk diberi bahagia abah menumpang kasih cucu-cucunya pun sukar dipenuhi kerana bimbang cucu-cucunya akan meletihkannya sahaja, isu-isu politik yang abah tanya hambar sahaja dijawab kerana tak mahu abah fikir perkara yang berbelit-belit itu.
Rupanya bukan maksud abah untuk perkara yang aku bimbang itu. Abah hanyalah seorang abah yang di matanya anak-anaknya itu tetap memakai sifat keanak-anakan walau sehebat mana, setinggi mana anaknya di mata orang lain. Kesempatan dan ujian ini membawa aku pulang kepada abah. Terasa kekok kerana sudah lama tidak meraup anggota tubuh abah yang dulunya aku selalu capai lengannya untuk dibuat baring, dipanjat kakinya untuk dibuat buai, kekar belakang badannya untuk dibuat titi, abah bahagia ketika itu sepertimana aku bahagia sekarang.
Baru aku sedar kenapa abah gembira betul bila aku bawanya dengan emak, adik-adik dan keluarga aku ke Langkawi tempoh hari. Bukan abah nak percutian itu, tapi dia mahu kami semua bahagia di sampingnya. Itu pun ada cakap-cakap orang yang tak senang dengan percutian kami itu kerana ahli majlis tak boleh bersenang-lenang? entahlah! Doa aku, abah selamat dan sihat selalu. Insya Allah kita akan bahagia kerana aku sudah faham dan sudah ingat!!
Mesyuarat Agung PAS Kapar, 'Mesra dan Kasih Sayang'
1 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 9:27 PG
Penuh 'mesra dan kasih sayang'.. itulah ungkapan yang acapkali diucapkan oleh Pengerusi Tetap Mesyuarat Agung PAS Kapar, Cikgu Wahab. Ia juga sinonim dengan suasana yang berlaku di dalam mesyuarat agung kali ini. Kebiasaan mesyuarat agung dilalui dengan suasana 'panas' dan 'tegang' walaupun mesyuarat agung PIBG apatah lagi mesyuarat agung parti-parti politik, tetapi ia tidak berlaku dalam mesyuarat agung ini.
Walaupun jawatan kedua tertinggi iaitu Timbalan Yang Di-Pertua berlaku pertandingan, ia tidak langsung menggambarkan berlakunya perpecahan dan berpuak-puak dalam PAS Kapar. Bertambah manis, apabila jawatan Naib Yang Di-Pertua yang dijangka berlaku pertandingan sengit telah terjadi sebaliknya apabila calon Hj Shamsul Bahari memberi laluan kepada Ustaz Noornajhan untuk menyandang jawatan tersebut.
Begitu juga bagi jawatan Ketua Urusan Ulamak yang menyaksikan Ustaz Wan Hamidi Wan Mat menang tanpa bertanding apabila penyandangnya Ustaz Hj Ibrahim Hj Omar tidak mempertahankan jawatan tersebut. Sebaliknya beliau hanya sudi untuk dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa dan memenanginya sebagaimana kehendak perwakilan.
Sepanjang mesyuarat agung tersebut juga, para perwakilan begitu matang melontarkan idea cadangan dan kritikan sehingga disambut baik oleh semua yang hadir sama ada dari segi emosi dan fikiran. Tuan Hj Khusrin yang juga dicalonkan sebagai Timbalan YDP, nampaknya begitu senang melontarkan cadangan-cadangan bahkan menaruh keyakinan yang tinggi kepada ahli jawatankuasa yang ada dan yang akan dilantik untuk menggalas amanah parti.
Beliau mencadangkan kepada semua perwakilan agar menyerahkan perkara-perkara tertentu yang agak sensitif dan menyentuh strategi parti kepada ahli jawatankuasa untuk memikirkannya dan mencadangkan agar ia tidak dibahaskan panjang lebar di dalam mesyuarat agung ini. Beliau bimbang jika ia dibahaskan di dalam mesyuarat ini dan akan mempunyai keputusan yang perlu dilaksankan, ia akan memberi implikasi besar terhadap parti yang bukan sahaja membabitkan kawasan Kapar bahkan parti keseluruhannya.
Seorang lagi perwakilan iaitu Hj Rahmat yang telah berjaya menempatkan dirinya semula di dalam saf ahli jawatankuasa PAS Kapar, sering mengingatkan kepada para perwakilan tentang halatuju mesyuarat agung kali ini. Beliau yang juga 'orang lama' dalam PAS Kapar sering melontarkan idea-idea bernas dan berani supaya bukan sahaja menghidupkan suasana dalam mesyuarat agung tersebut bahkan juga memberi tauladan khususnya kepada generasi muda untuk berani bersuara.
Begitulah indahnya suasana kemesraan dan kasih sayang di dalam PAS Kapar. Semoga suasana ini akan terus dapat dipelihara. Ruang-ruang 'syuuz zhan' (buruk sangka) perlu dielakkan dan ditangani segera melalui tarbiyah, usrah, perjumpaan, mesyuarat dan sebagainya. Pemimpin perlu rajin mendampingi akar umbi dan begitu juga akar umbi perlu memahami dan bersama-sama kepimpinan. Insya Allah jemaah akan menjadi kuat atas dokongan semua ahli di semua peringkat.
Label: Mesyuarat Agung, PAS Kapar

Dewan Pemuda PAS Kapar Bertekad Tingkatkan Kualiti Ahli
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:38 PG Pada 12 April 2009 telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS, Kawasan Kapar yang dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi bin Abd Rani. Pada majlis perasmian itu juga dihadiri oleh YB Dr Hj Abd Rani Osman yang merupakan YDP PAS Kawasan Kapar selain barisan kepimpinan PAS Kawasan Kapar dan wakil-wakil daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kapar, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kelab Penyokong PAS (KPP) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Ucapan Ketua DPPK Kapar sempena Mesyuarat Agung Tahunan
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 3:04 PTGAlhamdulillah segala puji bagi Allah swt tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan baginda SAW dan ahli keluarganya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pimpinan PAS Pusat khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat, pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, PAS Kawasan Kapar, ahli-ahli PAS khususnya di kawasan Kapar ini, sahabat-sahabat seangkatan di dalam Pakatan Rakyat, rakan-rakan Kelab Penyokong PAS, NGO-NGO, tuan-tuan guru, alim-ulamak serta muslimin-muslimat pendokong dan penyokong PAS yang dikasihi.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui tahun yang ke-21, sempena dengan mesyuarat agungnya kali ini. Dalam tempoh ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui pelbagai episod suka duka dalam lembaran perjuangannya dan telah sedikit-sebanyak membentuk saf kepimpinan di kawasan Kapar ini.
Kewujudan dewan ini sebagai sayap perjuangan parti di kawasan Kapar, telah memberi impak kepada perjuangan panjang untuk menegakkan Islam meskipun pelbagai ujian terpaksa ditempuh yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit terutamanya dari golongan terdahulu.
Memperkukuh Organisasi
Allah SWT telah berfirman di dalam surah As-Soff: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan Allah dengan berbaris-baris seumpama bangunan yang tersusun”. Saiyidina Ali Karamaullahu Wajhah pula ada mengatakan “Kebenaran yang tidak tersusun (organisasi) akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun (organisasi)”.
Dalam menyusur arus perubahan yang dijunjung rakyat, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melihat peri pentingnya usaha dan idea baru untuk memperkukuhkan organisasi dewan ini bagi melaksanakan tanggungjawab dan peranan dakwah dengan lebih berkesan. Beberapa perubahan dalam struktur organisasi ahlijawatankuasanya yang dilihat tidak bercanggah dengan aspirasi Dewan Pemuda PAS Pusat telah dilaksanakan.
Selain daripada konsep ‘Management by Objective’ (MBO) yang diterapkan dalam menyusun aktiviti dan gerakkerjanya, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar juga telah cuba menerapkan konsep ‘teamwork’ di dalam perlaksanaan aktiviti dan gerakerjanya tadi, melalui kombinasi lajnah dan jabatan di dalamnya untuk melaksanakan objektif/matlamat yang hampir sama iaitu:
· Jawatankuasa Pemerkasaan Organisasi yang dianggotai oleh Lajnah Politik dan Pilihanraya, Lajnah Organisasi dan IT, Bendahari serta Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan.
· Jawatankuasa Penerangan & Perkaderan yang dianggotai olah Lajnah Penerangan dan Dakwah, Pengarah UKJ serta Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan.
· Jawatankuasa Pendidikan & Kemasyarakatan yang dianggotai olah Jabatan PASTI, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan serta Jabatan Kerajaan & Swasta dan PAKSI.
· Jawatankuasa Amal dan Mesra Rakyat pula dianggotai olah Lajnah Sukan dan Kebudayaan, Jabatan Amal dan Jabatan Pembangunan Pelajar dan Mahasiswa.
Tarbiyah, Ukhuwah & Cintakan Pengorbanan
Melihat kepada cabaran dan tribulasi yang sedang dan bakal dihadapi oleh Dewan Pemuda PAS di Kawasan Kapar, terutamanya ketika pasca kemenangan ini, usaha tarbiyah perlu segera diperkemaskan agar ia menjadi benteng yang paling ampuh kepada saf pemuda. Benteng ini sangat diperlukan bagi menghindar anasair-anasir halus yang cuba menyelinap dan memusnahkan kesepaduan pemuda dari dalam dan memesongkan penghayatan pemuda kepada asas perjuangan dan ad-deen yang sejati:
Firman Allah swt:
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku, satu-satunya jalan yang lurus, maka ikutlah ia, dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan terpesong dari jalan Allah, dan kamu akan jadi bercerai-berai dan porak peranda” (Surah Al-An’am: 153)
Tidak dinafikan, cabaran luaran dari sudut tanggugjawab dan beban tugas yang terpaksa dipikul nampaknya telah sedikit sebanyak menyebabkan tumpuan kepada tarbiyah ini sedikit terabai. Oleh itu, adalah wajar agar peringatan ini dilontarkan supaya saf pemuda tidak memandang remeh kepada aspek tarbiyah ini.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah mengorak langkah awal dengan menubuhkan Usrah Nuqaba’ Muda di bawah Lajnah Tarbiyah bagi memastikan usaha memperkemaskan tarbiyah berjalan lancar. Walaupun, ia masih belum menampakkan hasil yang memberangsangkan namun cetusan ini diharapkan mampu melonjakkan usaha tarbiyah untuk menjadikan usrah ini sebagai nadi utama kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar.
Generasi Pelapis
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sedar bahawa kewujudannya adalah untuk menjana seramai mungkin generasi pelapis di kalangan pemuda-pemuda yang cintakan perjuangan Islam. Dewan ini bukan sahaja perlu meraih seramai mungkin sokongan di kalangan golongan itu ketika musim pilihanraya, bahkan juga perlu membentuk mereka menjadi generasi pelapis.
Di sinilah peranan lajnah tarbiyah yang perlu diperkemaskan bukan sahaja untuk memperbanyakkan aktiviti bahkan juga perlu mempekayakan pendekatannya supaya pelbagai dan sesuai dengan golongan pemuda yang juga variasi sifatnya. Bentuk tarbiyah yang pelbagai ini diharapkan bukan sahaja dapat membentuk jiwa pemuda yang telah sedia cintakan Islam, bahkan juga dapat menarik minat pemuda-pemuda yang jauh dari Islam dan membesar dengan suasana yang sarat dengan gejala sosial.
Cabaran ini perlu digalas bersama berbekalkan keyakinan kepada Allah swt berdasarkan firmannya:
“Pada hari ini orang-orang kafir berputus asa daripada agama kamu maka jangan kamu takutkan agama mereka, takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah-Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan bagi kamu nikmat-ku dan telah Aku redha Islam menjadi agama kamu.” (Surah Al-Maidah: 3)
Perubahan kepimpinan negara dan gelombang rakyat
Negara telah menyaksikan perubahan kepimpinannya ke tangan Perdana Menteri yang keenam lewat perlantikan Datuk Seri Najib Tun Abd Razak. Walaupun dicemari dengan pelbagai tuduhan yang melatarii imejnya sebagai kepala negara melalui laporan media dalam dan luar Negara, namun usaha beliau untuk menangkis sekaligus membersihkan dirinya masih di tunggu-tunggu rakyat.
Umum melihat bahawa perubahan tampuk kepimpinan Negara ini tidak lebih daripada usaha Barisan Nasional bagi meredakan kemarahan rakyat dan meraih kembali sokongan yang telah hilang daripada mereka. Namun, usaha ini dijangka bakal menemui kegagalan kerana gelombang rakyat masih lagi belum surut walaupun cuba diasak media yang jelas berusaha keras melindungi Barisan Nasional.
Justeru, Pakatan Rakyat yang telah berjaya memerintah negeri Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang telah dirampas perlu memperlihatkan prestasi yang luarbiasa dalam pemerintahnya. Saf pemuda yang menjadi salah satu agen yang akan merakyatkan kepimpinan Pakatan Rakyat perlu bertindak pantas agar meluas sebaran tentang program-program kebajikan untuk rakyat dan juga ke arah menjadikan rakyat supaya mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab mereka kepada Allah swt dan sesama manusia.
Firma Allah swt: “Demi sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya, sesungguhnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa. Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahajalah akibat segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)
Cabaran Ekonomi dan nasib umat Islam
Usaha-usaha untuk memberi kefahaman Islam dan seterusnya penghayatan kepada ajarannya yang suci itu perlu dilestarikan dan dijadikan agenda oleh para pejuang Islam di dalam parti ini khususnya golongan pemuda. Sifat-sifat sebenar seorang yang memahami lunas-lunas Islam yang syumul perlu ditampilkan dengan penuh bermesej agar ajaran Islam mudah diterima oleh semua lapisan kaum dan agama. Ini termasuk amalan berjimat-cermat dalam membelanjakan wang rakyat oleh para pemerintah, galakkan mengamalkan cara hidup bersederhana oleh pemimpin-pemimpin parti dan mudah didekati rakyat.
Amalan ini juga perlu diteruskan terutama ketika mana kita diuji dengan kemenangan demi kemenangan. Inilah juga amaran yang telah dilontarkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah, aku tidak bimbang kamu menjadi fakir, tetapi aku bimbang apabila dibentangkan kepada kamu dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat-umat yang terdahulu daripada kamu lalu kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi, maka dunia membinasakan kamu sebagaimana pernah membinasakan umat-umat terdahulu.”
Dalam suasana ekonomi global yang sedang menghadapi keruntuhan ini, alternatif terbaik adalah sistem ekonomi Islam yang jauh dari amalan riba’. Keyakinan ini perlu disemaikan di dalam hati rakyat seluruhnya dengan akhlak dan kesungguhan pemimpin-pemimpin PAS untuk menghadapi cabaran yang getir ini. Justeru, gagasan kita yang ampuh perlu ditonjolkan segera agar dapat dilihat rakyat seluruhnya bahawa Islam itu agama penyelesaian. Dalam soal ini, kemungkinan agenda politik parti perlu kita ketepikan seketika bagi meraih sokongan kepada gagasan ajaran Islam itu sendiri.
Kembali kepada Islam
Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah swt kepada kita dengan mengenali Islam. Malah lebih besar lagi nikmat itu kerana kita mengenal perjuangan Islam. Tidak ramai di kalangan umat manusia memperolehi nikmat yang kita semua di sini perolehi. Namun, nikmat itu boleh sahaja diingkari jika kita tidak mahu mensyukurinya dengan mendalami kefahaman dan memperbaharui tekad kita terhadap perjuangan ini.
Allah swt boleh sahaja mengurniakan nikmat yang sangat besar ini kepada sesiapa pun. Namun, takdirnya anugerah ini telah kita perolehi untuk dihayati oleh kita semua. Justeru, insafilah perjuangan ini lahir daripada matlamat menegakkan Islam. Matlamat itu pula menjadi asas kepada kejadian dan kehidupan kita di muka bumi ini.
Firman Allah swt,
“Dan takutlah kamu pada hari kamu semua akan dikembalikan kepada Allah, lalu ditunaikan kepada tiap-tiap diri akan apa yang dilakukan dan usahakan dalam keadaan mereka tidak dizalimi sedikitpun”. (Al-Baqarah: 281)
Marilah kita bermuhasabah sejauh manakah pegangan kita dengan Islam, sejauh manakah perjuangan kita untuk Islam, sejauh manakah persaudaraaan kita di atas dsar Islam dan sejahuh manakah kita menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebelum kita dihisab di hadapan Allah.
Siru wal’ala barakatillah.
Selamat bermukatamar dan bermuhasabah.
Sekian,
HAIDAR TASLIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar 2007-09
Label: DPPK Kapar
Awas! UMNO/BN Akan Heret Sesiapa pun Untuk Tenggelam Bersama
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 11:18 PGLabel: Bukit Gantang, Istana Perak, pilihanraya kecil
SMS terkini Sdr Aszmi dari Bukit Gantang: "Mesyuarat MTD tadi telah lantik ana sebagai Ketua Keselamatan DUN Trong kerana perkembangan semasa, SB kacau muslimat kita setiap hari, ada perayu undi kita diugut sampai ada yang berani menyentuh muslimat kita. BN sudah mula kacau dan cabar kita. Mohon bantuan sahabat pemuda Selangor, tolong datang segera!"Sudah acapkali saya gagal menghabiskan membaca beberapa buku, ada yang sampai lumat kulitnya dek kerana 'quriosity' anak-anak yang sedang membesar. Sampailah saya berazam untuk menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku untuk awal tahun ini, lalu saya beli sahaja buku nipis yang ada nilai tinggi isinya. Pilihan saya ialah: Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan karangan Zainon Ismail.
Kisah jihad dan syahid mungkin satu kisah yang biasa diceritakan lewat makalah-makalah tokoh perang Palestin, Iraq dan negara Islam lain yang bergolak. Tetapi memoir jihad ini berbeza sedikit kerana ia adalah memoir seorang anak melayu yang lahir dan membesar di Malaysia yang memilih untuk pergi berjihad di negara asing yang tiada kaitan sejarah dalam hidupnya!
Yang menarik perhatian ialah perjalanan anak muda as-Syahid Fauzi meniti pengalaman hidup yang asing dari pergolakan dan peperangan, tiada suasana keterpaksaan, bahkan dihidang suasana kehidupan yang terbentang luas dengan peluang meraih keuntungan dunia. Beliau memilih untuk pergi berjihad, menggalang senjata berat menentang musuh bersama rakan seperjuangan yang tidak berkongsi walau seperenggan bahasa pun!
Anak muda ini bukan lahir dari mana-mana universiti atau kolej atau diajar oleh profesor juga doktor, tetapi beliau lahir dari sebuah usrah yang dididik oleh seorang naqib biasa yang benar-benar tulus dan ikhlas. Sampai terpana dalam sanubari anak usrahnya untuk memahami hakikat jihad dan pengorbanan yang jauh untuk digapai penghayatannya walau oleh seorang alim sekalipun.
Ya, seorang alim pun sukar untuk memahami hakikat jihad dan pengorbanan itu kerana terlalu asyik diulit intan! Tetapi ia segar dalam usrah yang disertai as-Syahid Fauzi dan rakan-rakannya itu. Mereka sama-sama berusaha mengerah setiap sen untuk dibelanjakan bukan untuk jalan jihad orang lain, tetapi untuk mengangkat diri mereka sendiri agar boleh mengembara untuk sebaris dengan mujahidin!
Begitulah hebatnya as-Syahid Fauzi dan rakan-rakannya. Sebenarnya untuk melahirkan individu seperti beliau adalah melalui usrah. Usrah yang ikhlas naqibnya, tulus ahlinya, indah ukhuwahnya, jitu pengorbanannya, aula aktivitinya. Usrah seperti ini rupanya bukan khayalan, bukan teori dan bukan sangkaan ia berlaku dan dibuktikan!
Usrah yang nilainya seperti ini perlu diwujudkan, digerakkan dan disuburkan. Ayuh bermimpilah kita semua untuk menganggotai usrah yang begitu. Semoga mimpi kita itu jadi nyata, seperti nyatanya mimpi-mimpi as-Syahid Fauzi berasmara dengan bidadari syurga itu. Al-Fatihah..
Tak sangka betul itu yang bakal saya temui. Perjalanan saya ke Taiping bukanlah dirancang sangat kerana banyak program-program di Meru dan sekitarnya pun tak kurang juga walaupun tiada pilihanraya kecil di situ. Tapi kerana ingin melihat apa yang berlaku di Bukit Gantang pasca pilihanraya kecil, dihalakan juga motokar ke sana.
Oleh kerana, saya sampai pun agak lewat sekitar jam 2 pagi, tidak banyak aktiviti yang berlaku di Bukit Gantang sekitar Changkat Jering di mana tempat 'exit' dari lebuhraya Pantang Lalu Undur Selalu / PLUS. Seperti lazim di mana-mana pilihanraya di Malaysia ini, kibaran bendera lambang BN tetaplah menjadi penyemak utama di sekitar kawasan pilihanraya.
Setelah menyegarkan diri dengan secawan kopi, kami mencari-cari tempat untuk berehat sementara menunggu subuh menjelang. Kami memilih untuk meletakkan kenderaan berdekatan sebuah masjid di bandar Taiping, mengambil kira faktor ia terletak di bandar dan mungkin kurang tumpuan kerana berada di luar kawasan pilihanraya berdasarkan tiada bendera parti dicacakkan di situ. Mudah untuk kami solat subuh nanti dan membersihkan diri.
Terdapat juga jemaah lain di masjid tersebut yang datang dari luar kawasan untuk tujuan pilihanraya. Kami berehat sekejap sambil menunggu waktu fajar. Kami dikejutkan dengan laungan azan subuh beberapa ketika. Nyata agak nyenyak tidur kami. Suasana sudah berubah, jemaah semakin ramai dan berpusu-pusu. Untuk mengambil wudhuk sahaja sudah menunggu 15 minit. Solat jemaah dibuat beberapa kali kerana ruang solat tidak mencukupi. Malah bekalan air masjid tersebut juga kehabisan!
Rupa-rupanya percaturan kami tersilap kerana masjid itulah yang paling dekat dengan tempat penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Orang ramai, penyokong PAS segera bergegas berarak dengan pakaian dan bendera masing-masing walaupun waktu masih awal dan gelap lagi. Tetapi penyokong PAS tidak sendiri kerana diiringi pasukan Polis dan FRU yang entah berapa trak berpusu-pusu seperti akan berlaku kekacauan dahsyat di Taiping.
Kami menyusur arus manusia yang ramai itu kerana kami pun tidak tahu arah dituju. Ketika itu seakan-akan bandar Taiping sudah ditawan olah pasukan orang berbaju hijau. Mereka datang dari setiap penjuru, sampailah di kawasan berbukit di mana orang ramai, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul dan bersorak-sorai seperti baru menang perang! Di situlah, di Dewan Majlis Perbandaran Taiping akan diadakan penamaan calon untuk pilihanraya ini.
Akan tetapi, agak menghairankan kerana tiada penyokong lawan di sekitarnya. Langsung tidak ada, bendera BN bahkan orang-orang BN pun tiada, yang ada hanya polis dan FRU. Tersilap tempat kah kami? Oleh kerana, sudah terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat di sini ditambah dengan kehadiran para pemimpin bahkan calon juga melalui kawasan berkumpul ini, kami yakin penyokong-penyokong BN yang tiada di situ.
Semakin ramai penyokong calon PAS yang hadir sampai penuh ruang yang dikhaskan sehingga orang ramai terpaksa menawan bukit-bukit di belakang mereka, itupun masih tidak mencukupi. Sehinggalah kemunculan penyokong-penyokong BN yang mula berarak masuk memenuhi tempat kumpul mereka yang tidak penuh pun, para penyokong PAS masih tidak putus berarak memenuhi kawasan mereka.
Sorak-sorai penuh mesej dan sindir, nyata menggamatkan. Teriakan seperti RASUAH, RASUAH, RASUAH... ALTANTUYA, ALTANTUYA, ALTANTUYA.. nyanyian, zikir dan selawat bergema tidak sudah-sudah. Ombak manusia juga dibentuk dari orang ramai yang memenuhi lereng bukit seperti menyambut pasukan bola sepak. Perhimpunan hari ini cukup mengujakan dan paling meriah! Paling kurang 20,000 orang di situ.
Namun, yang menggemparkan ialah penyokong-penyokong BN yang tenggelam dek kemeriahan penyokong PR. Kakak-makcik berselendang merah tak kelihatan, adik berskaf merah jambu juga entah ke mana, apalagi abang-pakcik yang berbaju biru itu. Mereka sudah tenggelam bahkan sudah jadi spesis terancam di Taiping. Boleh dimasukkan muzium ataupun zoo saja kerana jumlah mereka tak sampai pun 1/10 dari jumlah yang hadir.
Apa pun, kerja kuat penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tetap dituntut di Bukit Gantang. Gambaran sedikitnya penyokong BN ketika hari penamaan calon tidak boleh menjadikan PAS selesa sehinggalah pengumuman kemenangan PAS dengan majoriti berganda di Bukit Gantang nanti.
Label: Bukit Gantang, PRK
SDR IKHMAL DAN PASANGANNYA
Alam perkahwinan merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh setiap syabab. Hidup berkeluarga merupakan salah satu anugerah Allah swt kepada hambaNya. Manusia akan merasa dirinya bahagia bersama pasangan hidupnya apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak yang menjadi qurrata'ain.
Namun tidak dinafikan, sebilangan syabab merasa bimbang dengan perkahwinan. Bimbang perkahwinan akan menjadi penghalang untuk aktif berjuang. Fenomena ini memang berlaku, walaupun bukanlah semua syabab begitu. Bahkan dimomokkan kepada syabab-syabab yang belum berrumahtangga.. 'alah kau belum kahwin, bolehlah..'
Sebenarnya, bagi sesiapa yang inginkan alasan untuk lari dari perjuangan, dia tak perlu menunggu selepas berkahwin. Sebaliknya, jika seseorang yang menghayati perjuangan, dirinya akan mendapati perkahwinan adalah satu lagi sebab utama mengapa dia perlu aktif berjuang.
Hakikatnya, perjuangan menegakkan Islam memerlukan masa yang panjang. Rasulullah SAW telah meletakkan asas sifat perjuangan Islam begitu. Justeru, apabila kita memilih perjuangan Islam, kita telah meletakkan asas bahawa kejayaan dan hasil perjuangan kita itu kemungkinan besar kita tidak merasainya. Ia akan dirasai oleh generasi-generasi seterusnya.
Jadi, siapakah generasi-generasi seterusnya kalau bukan anak-anak kita? Anak-anak kita yang lahir dari perkahwinan yang suci itu. Adakah kita mahu anak-anak kita hidup dalam suasana masyarakat jahil ataupun dalam masayarakat yang cintakan Islam? Sebab itu, kita perlu menggembleng fikrah dan tenaga bersama pasangan kita itu untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita.
Syabab mesti berusaha menggembleng fikrah supaya pasangannya juga faham, hakikat perjuangan bukanlah untuk memenangkan Parti PAS dalam pilihanraya sahaja. Bahkan untuk membina masyarakat dan negara Islam yang dirahmati dan diredhai Allah swt. Bila kita berjaya menyemai fikrah itu dalam keluarga kita nescaya masing-masing akan berlapang dada dan ghairah untuk aktif berjuang!
InsyaAllah, kemanisan berumahtangga akan lebih dirasai kelazatannya dengan nikmat yang berpanjangan kerana merasa yakin diri telah menggalas tanggungjawab bukan hanya kepada tubuh isteri dan anak-anak sahaja bahkan kepada Allah swt dan ummah seluruhnya. Jika tidak, ianya tidak lebih dari merasa nikmat yang sedikit dan letih yang berpanjangan serta perasaan bersalah terutama apabila melihat ummah lemah dengan maksiat dan gejala sosial yang tidak berkesudahan..
Label: kahwin muda
SMS terkini dari Setiausaha PAS Kawasan Kapar mengatakan ' Jadual Bertugas PAS Kapar di Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang: Tempat bertugas UPU Pasir Hitam DUN Trong pada 29 - 31 Mac dan 7 April (Pembuangan undi). Ketua Petugas PAS Kapar ialah YB Dr Hj Abd Rani bin Osman (YDP PAS Kapar) 019-3422151. Urusetia bertugas Tn Hj Rahmat 019-2490860.
SMS terdahulu daripada Sdr Aszmi Anuar - Pengarah Unit Amal Selangor mengatakan 'Kapar ditugaskan di Pulau Pasir Hitam, 45 minit perjalanan dengan bot dari Kuala Terong. Beliau meminta supaya membawa bersama risalah-risalah berbahasa cina di samping pasukan perubatan, peralatan memasak dan jaket keselamatan.' Maklumat juga diterima pengundi di pulau tersebut sekitar 300 orang dan PAS tewas di sana sebelum ini dengan 50 majoriti.
Ketua Pemuda PAS Kapar ditugaskan untuk mengendalikan rombongan Kelab Penyokong PAS (Kaum Cina dan India) ke Bukit Gantang untuk tujuan kempen dijangka pada 4 dan 5 April. Diucapkan Selamat Berjuang untuk semua!!
Di saat rakyat semakin celik untuk menilai keburukan UMNO, di saat itu jugalah ahli UMNO sangat buta untuk menilai diri mereka. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai untuk dipadankan dengan suasana politik semasa.
Untuk apa digantung permit Harakah dan Suara Keadilan sampai saat ini pun tiada siapa yang pasti. Siapa pun pasti boleh meneka reaksi umum kepada perkara ini ialah kemarahan dan rasa tidak puashati pasti meluap-luap bukan sahaja di kalangan pembaca akhbar-akhbar itu, bahkan yang tidak membacanya juga!
Menyekat maklumat pada zaman IT ini ibarat menutup bangkai gajah dengan nyiru. Semua orang boleh tahu walau dari jarak berbatu-batu. Bahkan keputusan nekad Suara Keadilan untuk terbit seperti biasa pasti bakal disambut seperti goreng pisang panas yang baru siap dihidang dengan secawan kopi pekat ketika waktu hujan lebat baru reda.
Begitulah tidak belajarnya UMNO/BN dari kesilapan-kesilapan mereka. Adakah mereka terlalu tolol untuk memahami itu semua atau mereka terlalu buta untuk melihat apa yang di depan mata?
Nah, berita terkini Pemuda UMNO sudah dapat ketua yang baru! Ketua baru mereka adalah orang yang didapati bersalah politik wang/RASUAH, tetapi dibebaskan. Sayap sebuah parti yang memerintah negara rela berketuakan seorang kaki rasuah! Kemudian mencerca-cerca orang lain adalah petualang? Tahniah Pemuda UMNO, tahniah Khairy Jamaludin.
Siapa yang lebih petualang kalau bukan kaki rasuah? Susah sangat ke untuk faham itu? Kenapa terlalu buta untuk memilih orang lain yang sekurang-kurangnya tidak disabitkan sebagai kaki rasuah? Kalau sayap pun sudah bergeluput dengan rasuah, apalah yang diharap badan?
Semakin jelas, UMNO sudah tidak boleh diharapkan dan diselamatkan lagi. Sudah sampai ketikanya Pemuda PAS segera bangkit untuk menggantikan ruang yang bakal kosong sekejap lagi. Asahlah minda, asahlah kepimpinan, masyarakat sedang menunggu kita. Waktunya sudah sangat hampir, ibarat fajar sadiq menjelang subuh.
Sangat menarik jika kita analisa kenyataan-kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden kita. Bukan sekali kenyataan-kenyataan mereka mencabar minda semua orang! Ya, semua orang termasuklah ahli dan pemimpin PAS tak terkecuali wartawan media dan lebih-lebih lagi pemimpin lawan!!
Biasanya, cerita baru akan dicipta dengan kenyataan mereka yang cukup mendebarkan hati terutama ahli dan pemimpin PAS semua peringkat. Ia akan kelihatan sangat negatif, provokatif dan mendedahkan peluru-peluru media sesumpah BN untuk dimuntahkan kepada PAS.
Dari dulu lagi memang begitu. Memang sukar untuk menjawab pada permulaan isu itu ditimbulkan! Isu 'Barua', 'Tuhan Samseng' dan terkini isu 'Kerajaan Perpaduan'. Tetapi lumrahnya, isu ini akan diperdebatkan di sana-sini, dalam ceramah, dalam kuliah, dalam email, dalam blog, akhirnya ia akan jadi lumat selumat-lumatnya sampai betul-betul difahami dan tak berani lagi pihak lawan untuk memainkan isu itu. Begitulah kesudahannya.
Karisma Tuan Guru kita memang begitu. Sebab itu orang hormat, orang sayang pada mereka. Orang yang suka marah-marah akan jadi malu sendiri akhirnya. Orang yang suka merendahkan dan meremehkan akhirnya orang itu jugalah yang akan menjulangnya.
Ketika, Parlimen Bukit Gantang diisytiharkan kosong, bukan sedikit suara yang meminta supaya Hj Ir Nizar dijadikan calon untuk ukur sejauhmana sokongan rakyat pada beliau dan Pakatan Rakyat. Tuan Guru Nik Aziz menolak atas alasan beliau Menteri Besar dengan penolakan yang bersungguh-sungguh, sampai semua orang yakin Hj Ir Nizar tidak akan dicalonkan untuk kerusi itu. Semua orang termasuklah BN/UMNO semua peringkat.
Sejak itu, Hj Ir Nizar cuma dijadikan bahan berita media kerana krisis di Perak, tidak lebih dari itu. Wajahnya kerap dalam media kerana berita-berita yang diciptanya. Orang ramai yang perihatin, cuba mencari berita sebenar dan memberi simpati pada beliau sebagai orang yang teraniaya.
Akhirnya, beliau dijulang sebagai calon Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang ketika UMNO dan media seluruhnya sibuk dengan Mesyuarat Agong mereka yang sarat isu dan rasuah itu. Hj Ir Nizar dibiarkan media tanpa berita-berita memburuk dan membunuh karektor beliau. Hj Ir Nizar telah terpahat wajahnya yang perlu diberi simpati di dalam sanubari rakyat.
Media UMNO/BN telah mensia-siakan masa yang panjang yang telah diberikan oleh SPR untuk membunuh karektor Hj Ir Nizar kerana tertipu dengan kenyataan Tn Guru Nik Aziz. Sebab itu ahli PAS semua jangan gelabah lah dengan Tuan Guru kita, sabar sedikit, nanti ada berita baik di penghujungnya. Tunggulah saja isu kerajaan perpaduan pula.
SELAMAT MENYAMBUT SATU TAHUN
PEMERINTAHAN PAKATAN RAKYAT DI NEGERI SELANGOR
Sedar tak sedar sudah setahun Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di negeri Selangor dan beberapa negeri yang lain iaitu Pulau Pinang dan Kedah. Manakala Kelantan pula sudah jauh ke depan, namun Perak terumbang-ambing tidak ketentuan. Dalam tempoh itu, bukan sedikit pengalaman dan pengajaran telah dikutip di sepanjang perjalanan liku dan onak, pahit dan jerih suasana baru memerintah ini.
Umum mengetahui tragedi bersejarah di negeri Perak telah memahat kesan yang sangat mendalam di dalam lipatan sejarah negara. Ia sepatutnya menjadi iktibar untuk semua terutama pemimpin dan negarawan agar berjiwa besar dan memandang jauh ke hadapan.
Suasana politik negara tidak lagi seperti sebelum PRU 12, BN yang menerajui pemerintahan negara tidak lagi boleh dianggap kerajaan yang stabil kerana telah kehilangan 2/3 majoriti. Pakatan Rakyat pula tidak menjadi kerajaan yang kuat di negeri-negeri yang diperintahnya kerana situasi yang sama bahkan suasana baru memerintah itu menuntut banyak perkara rumit untuk diselesaikan yang bukan sedikit untuk dikorbankan.
Suasana PRU 13 akan datang pula masih tidak ketentuan lagi. Sedang suasana semasa semakin menuntut kepada kejituan kepimpinan Negara bagi memimpin rakyat menghadapi situasi yang kian sukar saban hari. Situasi kesan ekonomi global nampaknya semakin dirasai rakyat, sedang pemimpin Negara masih dibuai arus politik tak tentu sini dan sana.
Justeru apabila Tuan Guru Presiden telah melontarkan idea ‘unity government’ pasca Muktamar Sanawi PAS Pusat. Ramai yang sangsi dengan idea ini dan tidak kurang juga yang sinis dengannya walaupun belum mendapat keterangan lanjut. Bahkan media segera melaga-lagakan pandangan berbeza Tuan Guru Presiden dan Tok Guru Mursyidul Am.
Apa pun perkara ini perlu diperhalusi secara matang dan segar. Forum Muktamar Sanawi PAS Pusat adalah ruang yang paling tepat untuk para ahli bijaksana PAS untuk sisi idea ini untuk dilumatkan dan dalami maksud sebenarnya oleh semua.
Kemeriahan mesyuarat agung sedang dirasai di sana-sini. Ketika ini cawangan-cawangan PAS di Kawasan Kapar sedang bermesyuarat agung sebelum Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Kawasan Kapar pada 22 Mac 2009 diikuti dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar pada 12 April 2009 dan diakhiri dengan PAS Kawasan Kapar pada 26 April 2009.
Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Namun, desas-desus pemilihan baru seperti tidak kedengaran sebagaimana tahun-tahun pemilihan yang lazim. Dalam PAS, ahli melalui cawangannya berhak mencalonkan siapa sahaja yang dirasakan layak sebagai pemimpin. Tiada istilah lobi-melobi atau menurut arahan pimpinan, dan harapnya begitulah selamanya.
Ahli dididik supaya menjadi matang untuk memilih pemimpin. Pemilihan bukan atas faktor populariti dan kedudukannya tetapi dipilih berdasarkan taqwa dan kepimpinannya. Begitulah keadaannya, walaupun selepas PAS memeperolehi kemenangan di Selangor melalui Pakatan Rakyat. Ahli dididik supaya memilih pemimpin berdasarkan merit jamaah dan merit Islam bukan bersandar pada faktor semasa.
Tidak semestinya kerana seseorang itu ada jawatan dalam kerajaan, maka dia perlu 'dimasukkan' dalam saf kepimpinan parti dan jamaah, tak kiralah sama ada seorang Ahli Parlimen, ADUN, EXCO atau Ahli Majlis sepatutnya ia tidak mempengaruhi ahli untuk membuat pencalonan dan pemilihan.
Ahli perlu sedar bahawa jawatan-jawatan tersebut hanya diperolehi oleh seseorang individu itu atas ihsan parti dan jamaah. Seorang YB hanya akan menjadi YB setelah parti dan jamaah memilihnya sebagai calon pilihanraya dan memenangi pilihanraya tersebut. Begitu jugalah yang lain-lainnya. Maka, bukan sahaja ahli bahkan semua individu yang telah memiliki jawatan ini juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh menjadikan alasan jawatan untuk menjadi pimpinan parti dan jamaah.
Justeru, ahli khususnya pemuda perlu matang membuat pemilihan. Ahli Majlis tak semestinya perlu kekal sebagai Ketua Pemuda. Sebaliknya, Ketua Pemuda boleh dilantik sebagai ahli majlis jika dipersetujui parti. Ahli Pemuda digalakkan untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang mempunyai kriteria layak sebagai Ketua Pemuda dan AJK nya.
Pencalonan ini penting bagi menggarap kekuatan parti. Muka-muka baru dan mempunyai kelayakan kadang-kadang tidak dilihat oleh pimpinan perlu segera ditonjolkan oleh cawangan-cawangan. Lebih-lebih lagi muka baru di kalangan Saf Pemuda. Bukanlah bermaksud yang sedia ada tidak layak dan perlu diganti, tetapi mencari pengganti yang lebih afdhal adalah satu keutamaan kerana ingin melihat parti dan jamaah menjadi lebih kuat. InsyaAllah
Label: DPPK Kapar
Catatan Pengalaman: Gas Pemedih Mata Menjayakan Himpunan PPSMI
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 12:40 PGSatu perkara yang pihak kerajaan BN rumuskan bila menghadapi himpunan bantahan oleh rakyat ialah bertindak lebih keras! Apatah lagi himpunan raksasa. Begitulah yang dapat kita lihat dalam himpunan PPSMI pada Sabtu yang lalu.

Drama Perak; Mancari Laksamana Do-Re-Mi untuk Membunuh Menteri Fa-So-La
0 ulasan Dicatat oleh Haidar bin Taslin di 10:45 PGAdegan terkini drama Perak semua sudah tahu bahkan seluruh dunia pun tahu. Sidang DUN paling bersejarah diadakan di bawah sepohon pokok seperti Raja Pasir Dua Butir bersemayam di atas takhtanya di bawah pokok. Itu dalam filem Allahyarham P.Ramlee Laksamana Do-Re-Mi.
Satu masa nanti peristiwa ini akan direkodkan di dalam buku teks pelajaran Sejarah anak-anak kita sebagai peristiwa penting. Itupun kalau buku sejarah itu masih ditulis dalam Bahasa Melayu. Manalah tahu kalau pelajaran Sejarah pun bakal menjadi seperti PPSMI. Maknanya pemerintah sedia ada kini akan kekal hingga zaman itu dan pelajaran Sejarah akan diinggeriskan maka tiadalah peristiwa sidang di bawah pokok dalam lipatan sejarah!
Oleh itu, hiruk pikuk ini perlu segera ditamatkan. Kalau tidak semua akan jadi celaru. Bayangkan nanti negeri Perak akan mempunyai menteri besar sebanyak 17 orang dalam tempoh sebelum pilihanraya umum berlangsung! Bagaimana mungkin dasar kerajaan negeri dapat dibentuk? Apakah jenis belanjawan yang akan dinikmati oleh rakyat Perak? Atau tiada langsung belanjawan?
Rakyat Perak akan jadi mangsa kerana ketamakan kuasa Menteri Fa-So-La yang merampas pemerintahan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan. Alasannya terlalu remeh hanya kerana tidak mendapat restu untuk mengahwini puteri baginda seperti hanya kerana sokongan ADUN yang berpaling tadah dan mempunyai kes rasuah di Mahkamah yang sedang dibicarakan.
Menteri Fa-So-La mempunyai kekebalan seperti kebalnya pemimpin BN dengan SPRM dan Mahkamah!. Namun Menteri Fa-So-La boleh dibunuh dengan buluh runcing dan ditikam di tapak kakinya! Laksamana Do-Re-Mi akan melaksanakan tugas ini. Dalam filem tersebut mereka berjaya kerana ia filem!
Laksamana DO-Re-Mi ini mungkin akan muncul dari dua bukit iaitu Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Seorang lagi mungkin dari Batang Ai. Mereka ini akan bawa bersama alat-alat ajaib dan buluh runcing iaitu suara rakyat yang keramat itu.
Lewat PRU-13, tiada siapa nafikan Himpunan BERSIH itu telah mencipta gelombang yang benar-benar menghempas tembok UMNO-BN sehingga musnah sebahagian besarnya termasuk kubu-kubu kuatnya seperti di Selangor.
Ketika berlaku Himpunan BERSIH itu bukan sedikit kecaman diterima oleh pimpinan Pakatan Rakyat (ketika itu Barisan Alternatif) yang cuba dikaitkan dengan isu keganasan, demonstrasi jalanan sehinggalah gelaran monyet kepada peserta-peserta BERSIH. Namun, itu semua sedikit pun tidak menyekat gelombang BERSIH.
Kemudian diteruskan pula dengan gelombang HINDRAF. Nasib himpunan HINDRAF lebih malang lagi sehingga pemimpinnya di'ISA'kan. Tindakan-tindakan agresif kerajaan hanya menyemarakkan gelombang rakyat sehinggalah kekalahan teruk BN di tempat-tempat tertentu.
Kini, gelombang baru pula sedang dicipta. Penciptaan gelombang ini nyata berbeza dari gelombang-gelombang terdahulu. Isunya berbeza, orangnya berbeza dan tanggapannya pun berbeza.
Gelombang ini sedang diketuai oleh MB Ir Nizar. Auranya sangat berbeza dari aura pemimpin yang memimpin himpunan-himpunan terdahulu. Gelombang ini dicipta sedikit demi sedikit, isunya digarap dari semasa ke semasa, kefahaman rakyat dibina lebih mendalam, kemuncaknya belum dapat dilihat. Tapi rakyat mengharapkan ia sangat hebat!
Mungkin gelombang inilah yang akan betul-betul meranapkan semua sisa BN yang ada. Mungkin gelombang inilah sebenarnya gelombang rakyat. Ia bukan dicipta sesiapa, bukan juga dirancang sesiapa. Ia adalah milikNya. Doa kita untuk kemenangan Islam.
Skrip babak terbaru minggu ini sudah pun bermula, plot kali ini nyata berbeza daripada plot-plot siri yang lalu. Ia bukan lagi isu lompat-melompat bahkan juga bukan isu pornografi. Tetapi ia adalah isu tol.
Plot isu tol tidaklah mendebarkan seperti episod lompat-melompat yang akhirnya dihabiskan dengan aksi rampasan. Bahkan ia tidaklah juga menjolok dada dan iman seperti isu pronografi. Tetapi episod tol mungkin akan menjadi episod dondang sayang ala-ala filem Hindustan.
Bermula dengan babak demonstrasi pemuda dan wanita UMNO yang menampakkan mutu lakonan slapstick yang dibuat-buat membantah kewujudan plaza tol di lebuhraya Grandsaga dan disambung dengan pengumuman sang menteri dengan penghapusan tol di lebuhraya terbabit. Tak cukup dengan itu, gaya plot Hindustan yang dilebih-lebihkan dengan pengumuman penghapusan tol seterusnya dibuat.
Tanpa semena-mena pula, hari ini pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuhraya telah dibuat oleh menteri sama yang tak ubah seperti plot filem Hindustan yang tiba-tiba watak heroin telah berubah dari budak kecil yang miskin dan comot kepada seorang gadis jelita yang misteri sepuluh tahun kemudian…
Lebih dramatik lagi, gadis tersebut dengan tiba-tiba bertemu dengan seorang pemuda yang gagah tanpa diketahui bahawa keluarga pemuda itulah yang menghinanya ketika gadis ini kecil dulu kerana ingin meminta sedekah seperti lagak Pak Lah yang mengkritik kenaikan kadar tol di lebuhraya terbabit yang diumumkan oleh menteri di dalam kabinetnya sendiri?
Agaknya apa kesudahan cerita ini? Semua boleh mengagak, mereka jatuh cinta kemudian berlaku konflik yang akan menagih simpati dan air mata penonton sampailah cinta mereka diabadikan seperti Pak Lah akan menjadi wira rakyat, menghalang kanaikan kadar tol dan tak jadi untuk letak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana alasan krisis ekonomi dan beranggapan ‘rakyat memerlukannya lagi’.. begitulah akhirnya.
Tetapi filem Hindustan lewat ‘Slumdog Millionaire’ nyata berbeza. Jalan ceritanya tak berapa penting tetapi gambaran filem itulah yang menjadi fokus sehingga memenangi banyak anugerah dunia seperti Oscar dan lain-lain lagi.
Program ini disertai 36 Pemuda dari 4 DUN yang berlangsung di Pusat paintball Taman Pertanian Malaysia Bukit Cerakah Shah Alam. Peserta terlebih dahulu diberi taklimat oleh pemilik Pusat Paintball, Raja Aznir berkaitan penggunaan senjata paintball yang digunakan.
Taklimat ini termasuk ciri-ciri keselamatan yang harus dipatuhi, ia bagi memastikan tiada kemalangan yang serius berlaku memandangkan peluru `pellet' untuk senjata yang digunakan mampu mencapai kelajuan sehingga 300 kaki sesaat.
Peserta kemudiannya dibahagikan kpd 4 pasukan (Gaza, Hamas, Hizbullah & Mujahideen) yang berentap sesama sendiri dalam beberapa permainan objektif (Objective Game) yang telah disusun.
Dua permainan pertama berbentuk latihan untuk menyesuaikan diri dengan Paintball dinamakan `Elimination game' dimana kedua-dua pihak cuba menyerang & menghapuskan lawan satu demi satu di kubu masing-masing sehingga menang.
Dua permainan terakhir di dalam hutan dinamakan `Retrieving Flag' dimana 2 pihak yang bertarung cuba mendapatkan bendera oren untuk mencapai kemenangan.
Disini kumpulan Hamas yg diketuai SU DPPK menunjukkan kehebatan dengan kemenangan 2-0 ke atas Hizbullah, manakala kumpulan Gaza dan Mujahidden seri 1-1.
Program ini selain mendedahkan ahli-ahli Pemuda Kapar kepada sukan baru berbentuk `adventure' ia dapat memupuk semangat setiakawan di kalangan pemuda, merapatkan ukhuwwah, meningkatkan disiplin, belajar merancang strategi dan mendengar arahan bagi mencapai kemenangan disamping merasai sendiri bagaimana hidup dalam suasana peperangan sebagaimana saudara kita di Gaza.
Beberapa ahli pemuda turut merasai kepedihan & kesakitan terkena peluru `pellet' yang meninggalkan kesan pada kulit (lihat gambar) termasuk luka yang mengakibatkan pendarahan kecil. Ini turut memberi tambahan rasa keinsafan perjuangan di Palestin yang dihujani peluru hidup.
Program sebegini wajar diteruskan dari masa ke semasa, mungkin di masa akan datang program adventure lain seperti sukan `Go-Kart', Canoe-Kayak, Gliding dsb dapat diperkenalkan.
HMH